Tahun 1983 – DI UPACARA MELETAKKAN BATU ASAS BANGUNAN MALAYAN BANKING

Lokasi :BUKIT MAHKAMAH, JALAN TUN PERAK, KUALA LUMPUR

Tarikh :03/09/83

Yang Berbahagia Dato Jaafar Hussain, Pengerusi Lembaga Pengarah Malayan Banking; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Malayan Banking kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melakukan upacara Meletakkan Batu Asas Bangunan Malayan Banking pada petang ini.

2. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlukan satu kumpulan tenaga pekerja yang dedikasi terhadap kerja masing-masing. Setiap pekerja, walau apa jawatannya sekalipun, mestilah berdedikasi kepada institusi atau agensi di mana mereka berkhidmat supaya segala objektif institusi dan agensi dapat dicapai.

3. Di negara kita, umumnya sifat dedikasi para pekerja, termasuklah para pegawai pengurusan institusi kewangan dan bank-bank perdagangan, tidak begitu kuat. Gejala berpindah tempat kerja dari satu institusi ke satu institusi masih lagi lumrah. Kadang-kadang seseorang pegawai hanya leka mencari-cari peluang jawatan baru yang menawarkan gaji yang lebih lumayan di tempat-tempat lain. Kesah "mencuri" atau 'pinching' oleh sesebuah bank akan seseorang pegawai bank lain, dengan menawarkan gaji dan kemudahan yang lebih lumayan, tidak asing bagi kita. Gejala ini, walaupun sekarang tidak sebegitu teruk seperti beberapa ketika dahulu, tetapi ia masih berlaku.

4. Salah satu akibatnya ialah pekerja itu tidak dapat mengumpul pengalaman yang perlu di satu-satu bank. Pengalaman adalah cara yang berkesan sekali bagi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja, dan ini bukan sahaja akan menguntungkan majikan tetapi juga pekerja itu sendiri. Sebaliknya pemindahan pegawai yang terlatih merupakan satu kerugian bagi kedua-dua pihak. Di samping itu, gejala 'pinching' ini akan mengecewakan program latihan yang dijalankan oleh sesebuah bank. Apabila sesebuah bank menjalankan program latihannya, harapannya adalah bagi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja. Tetapi apabila pegawai yang terlatih meletakkan jawatan kerana ditawar dengan gaji yang lebih oleh bank lain, maka bank asal tadi terpaksa melatih pegawai lain. Ini melibatkan kos tanpa faedah yang sepatutnya. Kalau amalan ini berterusan, ia akan menumpulkan minat sesebuah bank untuk mengendalikan latihan bagi kakitangannya. 'Pinching' ini akan berterusan selagi terdapat bank-bank yang ingin meningkatkan kecekapan dan mutu pengurusannya melalui cara yang mudah dan 'unethical'.

5. Saya berharap gejala "mencuri" kakitangan daripada bank-bank lain ini akan dikurangkan dan kemudian diberhentikan sama sekali. Sebaliknya semua bank harus meningkatkan program latihan masing-masing semoga taraf profesionalisme kakitangan akan terus meningkat. Usaha ke arah meningkatkan profesionalisme kakitangan sistem bank seluruhnya bukan sahaja membawa keuntungan kepada bank-bank, malahan keuntungan dan kesejahteraan kepada negara juga. Di samping itu bank-bank mestilah ingat bahawa kakitangan yang cekap dan berdedikasi mestilah dilayan secara adil dan menggalak. Mereka harus diberi peluang naik pangkat dan pendapatan dengan secukupnya. Adalah lebih untung melayan kakitangan sendiri yang layak dari menawar upahan yang tinggi kepada orang yang tidak setia dari institusi lain. Jika mereka tidak setia kepada majikan asal mereka, mereka juga tidak akan setia kepada kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

6. Kerajaan sentiasa menggalakkan peningkatan daya pengeluaran dalam perusahaan dan semua lapangan ekonomi negara. Dalam persaingan ekonomi tidak ada cara yang lebih mustajab bagi menjamin kejayaan dari peningkatan daya pengeluaran. Bahkan daya pengeluaran ini merupakan 'solution' yang paling berkesan sekali bagi menghadapi kemelesetan ekonomi dewasa ini. Melaluinya hasil pengeluaran dapat ditingkatkan tanpa tambahan modal atau tenaga kerja. Dengan perkataan lain, peningkatan daya pengeluaran bermakna penurunan kos. Dengan itu, bukan sahaja margin keuntungan akan bertambah tetapi persaingan dengan 'competitors' lain akan lebih berjaya dan mungkin penjualan lebih laris. Sementara kecekapan pengurusan dan teknologi pengeluaran boleh memainkan peranan dalam meningkatkan daya pengeluaran, perkara yang terpenting dan berkesan sekali ialah kerajinan, ketekunan dan disiplin yang tinggi. Kesemua ini belum mencapai tahap yang tinggi di Malaysia. Sekaranglah masanya kita harus memulakan tindakan dan usaha bagi meningkatkan daya pengeluaran.

7. Salah satu sektor di mana daya pengeluaran patut dipertingkatkan ialah perusahaan pertanian dan industri kecil kampung di luar bandar. Ekonomi pertanian dan usaha-usaha lain di kampung tetap penting dalam konteks pembangunan yang seimbang di seluruh negara. Bukan sahaja usaha pertanian akan dapat memenuhi keperluan makanan dan pertanian negara, tetapi juga memajukan ekonomi dan mutu kehidupan penduduk luar bandar, dan memenuhi cita-cita negara, terutama Dasar Ekonomi Baru. Satu langkah bagi meningkatkan daya pengeluaran di luar bandar ialah penggunaan mesin pertanian. Pinjaman wang dari bank amatlah perlu untuk membolehkan petani-petani membeli dan menyelia mesin-mesin. Di sini bank-bank perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan pertanian. Ramai petani yang membeli jentera pertanian tanpa mengambilkira kawasan yang hendak dikerjakan itu ekonomik atau tidak. Mereka jarang sekali mengambilkira bahawa sementara kerbau yang digunakan dahulu tidak perlu 'maintenance', boleh beranak, dan boleh disembelih bila sudah tua untuk dimakan, jentera disebaliknya pula memerlukan 'maintenance', akan 'depreciate' dan akhirnya kena 'write-off' bila sudah tua. Jika peruntukan tidak dibuat awal-awal lagi untuk membeliganti, beban hutang akan bertimbun.

8. Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengadakan 'cooperative farming' ataupun ladang berkelompok melalui cantuman tanah-tanah yang bersempadan supaya sesuatu unit ladang menjadi cukup besar untuk membiayai cara pengurusan dan alatan yang lebih moden. Bank-bank patutlah memberi bantuan bukan sahaja dari segi pinjaman tetapi juga dari segi kajian 'feasibility' dan pengurusan. Unit-unit penasihat patut ditubuhkan oleh bank-bank dengan anggota yang terdiri dari mereka yang cenderung, faham dan bersimpati dengan masalah petani dan konsep ladang berkelompok.

9. Satu lagi usaha Kerajaan untuk menambah pendapatan penduduk luar bandar dan petani ialah dengan mengadakan industri kecil. Ladang-ladang berkelompok yang disebutkan tadi patut mengadakan industri yang sesuai dengan mengguna sumber-sumber alam dan tenaga setempat. Pihak bank patut juga menolong mengenal-pastikan jenis-jenis industri yang sesuai, membuat kajian 'feasibility' awalan dan memberi pinjaman yang diperlukan. Jika boleh, unit-unit yang tertentu dalam bank patut menolong mengawasi bahawa pengurusan industri-industri ini berjalan dengan baik. Dengan cara ini bukan sahaja pendapatan petani akan bertambah tetapi daya pengeluaran dan ekonomi negara dapat ditingkatkan. Sudah tentu bank juga akan mendapat keuntungan dari kepesatan ekonomi luar bandar.

10. Seruan supaya bank-bank memberi kemudahan pinjaman yang lebih tinggi di luar bandar tidaklah keterlaluan oleh kerana bank-bank di negara ini keseluruhannya mencatitkan kadar pertumbuhan dua digit yang berterusan sejak awal tahun 1970an lagi. Kadar pertumbuhan tidak terjejas walaupun pada musim kemelesetan ekonomi dewasa ini. Sektor-sektor ekonomi yang mampu membantu Kerajaan mengembangkan ekonomi negara seharusnya berbuat demikian kerana kesejahteraan dan kestabilan negara akan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat akhirnya, termasuklah pemilik dan pekerja bank.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

11. Saya ingin mengambil kesempatan ini menyentuh tentang pertumbuhan bangunan- bangunan di bandar-bandar besar negara kita, terutama Kuala Lumpur yang mempunyai banyak bangunan-bangunan pencakar langit. Kekurangan tanah sebagai tapak untuk pejabat-pejabat dan kedai-kedai perniagaan di bandar-bandar telah memaksa kita mendirikan bangunan tinggi seperti bangunan Malayan Banking ini.

12. Bangunan-bangunan tinggi di Kuala Lumpur ini menggambarkan secara tidak langsung, tahap pembangunan dan kemajuan satu-satu masyarakat. Di samping itu, senibina bangunan-bangunan pun boleh menggambarkan kebudayaan dan kesenian satu-satu bangsa.

13. Dalam usaha menerap ciri-ciri senibinaan Malaysia bagi bangunan-bangunan tinggi ini, kita tidak payahlah membelanjakan banyak wang. Begitu juga kita tidak perlu mengurangkan kegunaan, atau utility, bangunan itu hanya untuk menerapkan ciri-ciri itu. Apa yang saya maksudkan ialah menerapkan nilai ini dengan kos yang berpatutan. Saya berasa bangga kerana para akitek kita tidak lagi memandang sinis akan syor mengadakan 'architectural identity' kita tetapi sebaliknya telah menerima dan membincang akan cara-cara identiti ini boleh diperkenalkan. Saya berharap bangunan-bangunan baru di bandar-bandar akan direka dengan semangat ingin melambangkan identiti senibina kita yang tersendiri ini. Pelawat ke Kuala Lumpur mestilah sedar dan ingat akan Kuala Lumpur walaupun ia membuat lawatan ke sini sekali sahaja. Bangunan Secretariat atau Bangunan Sultan Abdul Samad, yang dahulu melambangkan Kuala Lumpur sudah tenggelam dalam banjir pencakar langit.

14. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap petang ini.

Terima kasih.

Leave a comment