Tahun 2000 – PERASMIAN MALAYSIA AGRICULTURE HORTICULTURE AND AGROTOURISM SHOW (MAHA) 2000

Lokasi :KOMPLEKS SUKAN NEGARA, BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR

Tarikh :22/07/2000

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian kerana menjemput saya untuk merasmikan Malaysia Agriculture Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2000 pada hari ini.

2. Program MAHA ini telah dihidupkan semula pada tahun 1999 setelah lebih 31 tahun diberhentikan. Oleh kerana MAHA `99 telah berjaya dan mendapat sambutan di luar jangkaan, Kerajaan memutuskan supaya MAHA ini dianjurkan sebagai acara tahunan kerana banyak faedah yang kita boleh perolehi apabila diadakan pameran- pameran seperti ini. Hari ini juga adalah hari yang dikhususkan bagi petani, penternak dan nelayan, iaitu hari yang disambut untuk menghargai sumbangan tuan-tuan dan puan-puan kepada pembangunan sektor pertanian dan negara.

3. Malaysia terkenal dengan dasar-dasar modennya seperti Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju, dengan Koridor Raya Multimedia yang sesuai dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi dan maklumat, dengan industri berasas elektronik dan dengan projek angkasa lepas. Tetapi walaupun industri moden ini penting, untuk hidup kita masih memerlukan makanan. Dan makanan bermakna pertanian. Sebab itu wawasan kita yang terbaru ialah untuk menjadikan negara kita pengeluar secara yang tercanggih dan termoden bahan- bahan makanan untuk keperluan negara dan juga untuk eksport.

4. Malaysia tidak pernah menjadi negara pertanian dalam ertikata yang sebenar, walaupun sebelum kita menjadikan negara ini pengeluar barangan buatan secara besar-besaran. Sebelum negara kita melalui proses industrialisasi, kita pernah mengeluarkan sedikit kopi, teh, cengkih dan gula. Kita mengeluarkan juga beras dan getah secara besar-besaran dan sistematik. Tetapi getah bukanlah bahan makanan. pengeluaran ikan laut pun tidak menjadi industri yang besar.

5. Apabila kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara pertanian sebagai wawasan baru kita, maksud kita ialah supaya pengeluaran hasil pertanian hendaklah di buat secara tersusun, terancang dan besar- besaran. Kelemahan kita dalam bidang pertanian makanan ialah kerana kita mengusahakannya secara sambilan dengan kawasan atau tanah yang kecil, kadang-kadang tidak pun mencukupi untuk membekalkan keperluan makanan bagi diri kita sendiri. Tanah kita dibahagi-bahagikan kepada ramai tuan punya yang mendapat lot yang kecil- kecil yang hanya boleh diusaha sendiri dengan menggunakan cangkul dan tenggala yang ditarik oleh kerbau. Dengan ini petani kekal sebagai golongan yang termiskin di negara kita.

6. Tetapi di zaman sebelum perindustrian, kita menganggap tanah sebagai sumber kekayaan dan kita begitu menghargai pemilikan tanah. Tidak ada sumber kekayaan yang lain yang dipercayai sebagai sumber kekayaan. Penghargaan kepada pemilikan tanah ini mengongkong pemikiran kita sehingga kita tidak dapat menerima sumber-sumber lain. Kita lebih menghargai pemilikan tanah daripada pemilikan kekayaan yang sebenar.

7. Kita lihat tanah sebagai punca kekayaan pertanian dan tidak lebih daripada itu. Malangnya kita tidak menggunakan tanah secara yang terbaik dan mengeluarkan hasil yang terbesar mungkin. Pendekatan kita terhadap pertanian tidak berubah dan kita sering menentang cara-cara baru yang diperkenalkan.

8. Sikap terlalu menghargai tanah tanpa mengambilkira hasil perlu dikikis jika kita ingin memajukan pertanian sebagai sumber kekayaan. Kita tahu perusahaan ladang getah atau kelapa sawit boleh memberi pulangan yang lumayan bukan kerana pemilikan tanah secara langsung tetapi kerana pemilikan saham dalam syarikat perladangan. Kerapkali pelabur tidak pernah melihat ladang mereka, bahkan tidak tahu di mana tempatnya ladang itu yang diurus sebagai estet oleh pengurusan yang profesional. Hakmilik ke atas tanah tidak begitu penting berbanding dengan pemilikan saham syarikat perladangan yang boleh meningkat nilainya dan diniagakan.

9. Kerajaan telah memperkenalkan FELDA sebagai satu cara untuk membolehkan pemilik ladang yang kecil mendapat manfaat daripada sistem pengurusan estet yang besar. Kita telah mendapat hasil yang baik daripada pendekatan ini. Tetapi peladang masih terlalu menghargai tanah lebih daripada saham. Pendekatan ala Felda tidak begitu digemari kerana tanah tidak dapat dijual beli dengan sewenang-wenangnya.

10. Saham seperti kita semua tahu boleh meningkat harga dan boleh diniaga. Pembelian saham dalam pasaran saham adalah lebih mudah daripada pembelian tanah.

Justeru itu apabila tanah sudah dijual maka kita tidak dapat membeli balik tanah berkenaan. Tetapi agak mudah bagi kita membeli balik saham.

11. Malaysia sudah maju dan sumber kekayaan bukan hanya tanah tetapi juga anika jenis perniagaan dan perusahaan yang boleh dimiliki secara langsung atau melalui saham. Mereka yang memiliki saham biasanya lebih kaya dan berharta daripada pemilik tanah, terutama tanah yang tidak diusahakan secara komersil.

Masa sudah tiba bagi menarik rakyat Malaysia, khususnya Bumiputera menggugurkan pendapat bahawa tanah adalah punca kekayaan dan pemilikan tanah bermakna berharta kekayaan. Sebenarnya kecekapan berniaga, mengurus, dan memiliki saham lebih bermakna daripada pemilikan tanah.

12. Jika sikap yang lama dapat dikikis maka kita akan dapat mengadakan pertanian sebagai industri yang diurus dengan cara- cara perniagaan moden dan canggih.

13. Kita dapati di negara yang maju keluasan tanah bukan penentu hasil yang tinggi daripada pertanian.

Yang menentukan ialah kecekapan pengurusan dan teknologi yang tinggi. Sekeping tanah di negara maju mengeluarkan hasil berpuluh kali ganda lebih daripada tanah yang sama luasnya di negara kita. Tenaga manusia yang digunakan oleh mereka juga amat kecil. Demikian di sebuah `mixed farm' (ladang campuran) di England seluas 10 ribu ekar, bilangan pekerja hanya 10 orang dan jumlah keluaran bernilai berjuta Pound. Tidaklah salah jika kita katakan bahawa kita membazirkan sumber kekayaan kita.

14. Di Malaysia kini sebarang pembaharuan untuk kebaikan menghadapi masalah politik. Apabila sahaja kita cuba memperkenalkan sesuatu yang boleh memajukan petani kita umpamanya, maka akan adalah orang politik yang membuat bermacam tuduhan dan melemparkan fitnah hanya kerana kepentingan politik. Bahawa usaha mereka untuk membangkitkan kebencian di kalangan pihak tertentu akan merugikan pihak itu sendiri tidak dipedulikan sama sekali oleh mereka ini. Yang penting bagi mereka ialah kebencian kepada Kerajaan akan menguntungkan politik mereka.

15. Demikian apabila Kerajaan membelanjakan ratusan juta Ringgit untuk Sistem Perairan Muda supaya penanaman padi dapat diadakan dua kali setahun bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani, puak parti pembangkang mengecam Kerajaan kerana kononnya hendak memaksa petani bekerja sepanjang tahun tanpa rehat, kerana kononnya sawah padi juga perlu berehat, kerana kain petani tidak akan kering dan bermacam fitnah lagi.

Hari ini kita tidak lagi mendengar cakap-cakap yang tidak bertanggungjawab ini. Sebaliknya mereka yang dahulu melempar tuduhan dan cuba menggagalkan Projek Perairan Muda dengan senang hati turun ke sawah untuk menanam padi dua kali setahun.

16. Saya percaya apabila Kerajaan cuba memperkenalkan cara- cara baru untuk meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan petani-petani di Malaysia akan ada tuduhan yang bukan-bukan dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Tentu akan ada tuduhan yang Kerajaan ingin merampas hak petani, menganiaya mereka dan bermacam- macam lagi. Tuduhan-tuduhan ini akan mengganggu pelaksanaan Wawasan Pertanian. Yang akan menjadi mangsa nanti bukan orang lain tetapi petani yang miskin itu sendiri. Orang lain yang akan mendapat nikmat daripada pertanian moden yang akan diperkenalkan itu.

17. Saya menyebut perkara ini awal-awal lagi kerana kita telah berkali-kali mengalami kerugian besar kerana politik parti lawan yang suka menjadikan isu apa-apa sahaja rancangan Kerajaan untuk memajukan rakyat dan membangunkan negara. Jika tidak kerana gangguan daripada mereka kerana kepentingan politik mereka, Malaysia hari ini akan jauh lebih maju dan rakyat Malaysia di semua peringkat akan mendapat lebih banyak nikmat daripada sekarang.

18. Wawasan Pertanian yang kita rancangkan memerlukan perubahan sikap dan cara pertanian oleh petani-petani. Tidak mungkin kemajuan dicapai dengan mengekal dan mengulangi cara- cara lama yang sudah sampai ke tahap maksima hasilnya. Ladang- ladang kecil yang digunakan secara kuno tidak mungkin mendatangkan hasil yang bertambah bagi petani. Sebaliknya jika kepingan tanah yang kecil disatukan dan diurus secara estet oleh orang yang terlatih, maka hasil daripada pertanian akan menjadi lebih besar dan pemilik tanah akan mendapat pulangan yang jauh lebih banyak daripada yang biasa didapati oleh mereka. Hak mereka ke atas tanah tidak akan dikurangkan tetapi bahagian mereka boleh dijadikan saham mereka dalam perusahaan pertanian secara estet.

19. Kerajaan ingin memperkenalkan `mixed farming' atau perladangan campuran. Jenis-jenis tanaman yang akan ditanam bagi satu-satu musim akan ditentukan oleh pasaran. Selain daripada tanaman, haiwan juga boleh diternak di atas ladang yang sama mengikut permintaan pasaran.

20. Bilangan pekerja akan dikurangkan dengan penggunaan alatan moden. Tuan tanah boleh memilih untuk bekerja dan mendapat upah atau hanya menjadi pemegang saham. Kita tahu bahawa anak kepada tuan tanah sekarang akan berpelajaran tinggi dan mereka mungkin tidak berminat untuk bekerja di ladang lagi.

Apabila ibu bapa sudah meningkat umur dan tidak lagi dapat bekerja, pekerja upahan akan diperlukan. Mengurus pekerja upahan yang ramai memerlukan kecekapan. Dengan itu perladangan campuran yang dirancang oleh Kerajaan akan menjadi seperti estet getah atau kelapa sawit yang besar. Kita mungkin tidak dapat mengelak daripada perkembangan ini. Sebelum ia berlaku secara tidak tersusun adalah lebih baik kita menyusun langkah dan rancangan secara tertib. Dengan itu kita akan dapat mengurangkan kerugian yang tetap akan berlaku apabila sesuatu perubahan berlaku.

21. Untuk maksud ini Kerajaan telah menentukan universiti tempatan mengadakan kursus latihan untuk pengurusan ladang- ladang campuran ini. Kita akan belajar daripada negara maju cara-cara pengurusan yang baik. Insya-Allah perubahan yang kita akan lakukan, jika tidak diganggu oleh pihak tertentu, akan mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan kepada petani- petani kita.

22. Iklim memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan hasil pertanian. Institusi-institusi tertentu akan mencuba cara-cara pertanian dalam `green- house' sesuai dengan iklim tropika. Kerajaan akan membuat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini.

23. Ternakan haiwan akan dipermodenkan. Hari ini Malaysia sudah menjadi pengeluar ayam daging dan telur untuk pasaran tempatan dan eksport. Banyak lagi jenis ternakan yang boleh dimajukan. Apabila bekalan ditingkatkan selera penduduk juga akan berubah. Jika dahulu kita tidak makan ayam begitu banyak, hari ini daging ayam menjadi makanan utama rakyat Malaysia. Jika kita dapat membekalkan dengan banyaknya itik, angsa, ayam belanda, burung unta, rusa, ikan air tawar, udang dan ikan air masin maka selera rakyat Malaysia akan berubah dan pengusaha bidang ternakan akan dapat hasil yang bertambah.

24. Demikian juga dengan tumbuh-tumbuhan yang lain.

Banyak sudah ulam dan pucuk-pucuk yang tidak lagi dimakan oleh kita kerana sukar didapati. Walaupun jumlah penduduk bertambah tetapi tidak ada usaha tersusun untuk mengeluarkan makanan- makanan asli ini.

Kita bergantung kepada kutipan daripada yang tumbuh secara semulajadi. Punca ini tidak boleh membekalkan permintaan `mass consumption' yang meningkat. Adalah penting semua ini ditanam secara tersusun. Tiap bandar hendaklah ada kawasan yang ditanam dengan ulam-ulam dan pucuk yang digemari oleh penduduk.

25. Rakyat Malaysia tidak begitu gemar berhari-hari di laut dalam untuk menangkap ikan. Untuk memenuhi keperluan ikan air masin, ternakan ikan di laut akan digalakkan secara besar- besaran. Kita mempunyai banyak laguna di Pantai Timur, di Sabah dan Sarawak serta juga di terumbu-terumbu di Lautan China. Semua tempat ini adalah sesuai untuk ternakan ikan air masin.

Badan-badan penyelidikan hendaklah berusaha untuk membangunkan cara-cara menternak ikan air masin. Ia mungkin akan memakan masa tetapi lambat laun kita akan dapat menguasai teknik membiak dan menternak ikan air masin dalam kawasan- kawasan tertentu.

26. Pengeluaran bahan makanan memang menjadi perkara penting dalam mana-mana negara. Tetapi hasil pertanian jika terlalu banyak tidak dapat dimakan dengan serta-merta. Menyimpan bahan makanan adalah satu industri yang besar. Demikian juga memproses bahan makanan sebagai makanan sampingan. Industri pemprosesan makanan perlu diperbesarkan supaya lebih banyak tambah nilai akan diperolehi. Dengan ini kita akan dapat mengimbangi import dengan eksport makanan kita, bahkan kita akan menjadikan industri makanan sebagai satu lagi punca peningkatan aliran masuk pertukaran asing. Semua rancangan pertanian yang akan dilaksanakan akan menjayakan Wawasan Pertanian kita.

27. Pameran MAHA kali ini mengetengahkan teknologi baru dan produk yang dihasilkan daripada penggunaan teknologi-teknologi tersebut. Ambillah kesempatan ini untuk melihatnya kerana kejayaan Wawasan Pertanian bergantung kepada penggunaan teknologi dan pengetahuan, lebih-lebih lagi dengan terlaksananya liberalisasi perdagangan. Kita mesti bersedia kerana jika tidak, maka kita akan dijajah semula melalui keperluan makanan (food security), kerana makanan kita tidak mencukupi dan kita perlu mengimport. Pergantungan kepada negara luar akan keperluan asas ini amat merbahaya dan boleh menggugat kebebasan negara kita. Oleh itu perlulah kita bersama-sama berusaha meningkatkan lagi sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara dan bagi mengekalkan kebebasan kita.

28. Dengan harapan Wawasan Pertanian kita akan mendapat sokongan penuh daripada rakyat, terutamanya petani, saya dengan sukacitanya merasmikan majlis MAHA pada tahun ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: