Tahun 1985 – PERASMIAN MUKTAMAR MENGENAI KONSEP NEGARA ISLAM

Lokasi : MAKTAB KERJASAMA MALAYSIA, PETALING JAYA

Tarikh : 26/09/85

Bismilllahir rahmanir rahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato' Dr. Mohd. Yusof Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berbahagia Dato' Seri Haji Kamaruddin Haji Mohd. Isa, Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan nikmatNya dapat kita hadir bersama-sama di Majlis perasmian Muktamar Mengenai Konsep Negara Islam ini. Saya juga mengucap terima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang telah menjemput saya merasmikan Muktamar ini. Saya berdoa dan berharap supaya kita dapat mencari satu formula yang boleh memberi faedah kepada negara kita yang berbilang kaum dan agama.

2. Agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w telah memberi penekanan tentang akal fikiran manusia yang dianugerah oleh Allah Subhanahu Wataala. Wahyu Al-Quran berulang kali menyebut tentang akal fikiran seperti "Tidakkah kamu berfikir?", "Mengapa kamu tidak menggunakan akal?". Semua ini telah membuktikan tentang nilai dan harga akal fikiran kita.

3. Kemampuan akal fikiran dan budi bicara manusia telah meletakkan satu-satu bangsa itu di atas mercu kejayaan dan kegemilangannya. Malah kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. memimpin umat Islam adalah juga berpandukan kepada akal fikiran, budi bicara dan pelaksanaan secara hikmah dan siasah yang selaras dengan fitrah atau tabiat semulajadi manusia. Allah Subhanahu Wataala yang memiliki langit dan bumi dan yang berkuasa dari semua kekuasaan telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengajak manusia memeluk agama Islam secara berperingkat-peringkat selaras dengan keadaan, masa dan suasana, padahal Allah Subhanahu Wataala yang Maha Kuasa boleh melaksanakan semua kehendakNya itu sekali gus sahaja sepertimana firmanNya di dalam surah Yasin, ayat 82, yang bermaksud: "Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu "Jadilah engkau", maka ia terus menjadi".

4. Ajaran Islam bukan sahaja turun melalui wahyu secara berperingkat-peringkat, bahkan ianya juga disampaikan berperingkat-peringkat seperti tabiat semulajadi manusia. Peringkat pertama disampaikan kepada isteri, keluarga seisi rumah, sahabat handai dan akhirnya barulah kepada orang ramai. Nabi kita berdakwah dalam dua peringkat iaitu peringkat secara rahsia dan peringkat berterang-terangan. Kita boleh lihat bahawa cara penyampaian wahyu semasa di Mekah tidak sama dengan penyampaiannya di zaman Madinah. Sudah tentu ini adalah disebabkan keadaan yang berbeza di antara kedua-dua kota dan juga keadaan lengkap atau belum lengkap agama Islam pada masa-masa yang berkenaan.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian,

5. Kejayaan Rasulullah s.a.w. menegakkan negara Islam pun diatur berperingkat-peringkat. Peringkat pertama memperkenalkan agama Islam itu kepada orang-orang Arab yang berkunjung ke Kota Mekah, terutama orang-orang Arab dari Madinah yang datang mengerjakan Haji. Pengenalan yang melalui fikiran terbuka dan pendekatan secara hikmah dan budi bicara yang baik itu telah menarik hati kaum Al-Aus dan Khazraj Madinah memeluk agama Islam secara rela hati. Bilangan mereka yang terpengaruh dalam peringkat pertama seramai 12 orang itu telah meningkat kepada 73 orang pada tahun berikutnya. Perkembangannya yang seumpama ini mendorong kaum Aus dan Khazraj Madinah membuka gelanggang yang lebih luas lagi untuk Nabi kita berdakwah di sana.

6. Keputusan Nabi Muhammad s.a.w. membuat perjanjian dengan orang-orang kafir Yahudi Madinah ini adalah bertujuan hendak mewujudkan suasana aman dan tenteram, kerana keadaan yang huruhara dan tidak tenteram tidak akan membolehkan sesebuah negara yang sempurna dan kukuh diwujudkan. Sebaliknya di dalam suasana keselamatan yang terjamin, dapatlah disebarkan dakwah Islamiah dan risalah Islam kepada semua orang-orang Arab dan seterusnya ke seluruh dunia. Hasil dari ikatan perjanjian dengan orang-orang kafir di Madinah itu wujudlah kerjasama dan solidariti di kalangan penduduk Madinah, sekalipun terdapat berbagai kaum dan agama, kerana tiap-tiap seorang itu diberi hak menentukan agama yang dipilihnya. Tiap-tiap seorang itu bebas dengan fikiran dan pendapatnya. Mereka sama-sama berjanji mempertahankan Kota Madinah, dan mereka hidup dengan rukun damai di bawah pimpinan junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya setelah Kerajaan Islam menjadi kuat dan kukuh iaitu apabila orang-orang Yahudi belot, maka barulah mereka diusir dari Madinah.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian,

7. Dari satu peristiwa lain, mari kita lihat sikap Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi krisis perundingan mengenai perjanjian damai dengan orang-orang kafir Quraish Mekah dalam tahun 5 Hijrah yang terkenal dengan 'Sulhul Hudaibiah' atau "perjanjian damai Hudaibiah". Marilah kita sama-sama mengulang-kaji sejarah ini untuk diambil iktibar. Dalam surat perjanjian itu, Nabi kita Muhammad s.a.w. mencadangkan supaya ditulis atas nama dirinya sendiri Muhammad Rasulullah, maka wakil kafir Quraish telah membantah dengan katanya: "Kalau kami percaya yang engkau itu Rasulullah, tentulah kami tidak berperang dengan kamu". Selepas itu Rasulullah bersetuju supaya ditulis atas nama dirinya sahaja tanpa menyebut perkataan Rasulullah. Ramai daripada sahabat-sahabat Nabi membantah. Nabi Muhammad menjawab bahawa Baginda lebih mengetahui kerana Allah Subhanahu Wataala telah mengutus Baginda menjadi Rasul.

8. Dua peristiwa sejarah penting di dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w. tadi perlu diambil pengajaran dan iktibar. Peristiwa-peristiwa itu menunjukkan bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. menggunakan kebijaksanaan bagi menghadapi cabaran. Sejarah telah menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w. menghadapi orang-orang kafir Quraish Mekah yang ganas dan yang hendak mengusirnya keluar dari Mekah. Baginda menghadapinya dengan penuh tabah hati, sabar, berani dan membuat keputusan yang mengambil-kira kepentingan jangka panjang. Perjanjian perdamaian dengan kaum Quraish Mekah, yang membawa gencatan senjata selama sepuluh tahun, telah memberi peluang kepada Baginda untuk menyebar dakwah Islamiah ke seluruh pelusuk Semenanjung Arab. Pada akhirnya, kaum Quraish yang keras kepala itu mengikhtiraf Nabi Muhammad sebagai Rasulullah.

9. Dalam kesempatan ini, marilah kita bersama-sama meninjau kedudukan dunia pada masa itu. Dalam zaman kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., dunia Eropah termasuk Roma dan Greece berada di zaman gelap. Serangan oleh orang-orang Barbarians telah menghancurkan Empayar Roma dalam abad ke-IV hingga ke-VII. Dalam keadaan tidak tenteram dan penindasan, pelajaran dan kebudayaan tidak berkembang dan tidak maju. Dalam zaman gelap ini ternampak satu nur kecil memancar dan berkembang sedikit demi sedikit. Nur atau cahaya mula masuk ke Eropah apabila peradaban Islam berkembang di Sepanyol dan Asia Minor yang kemudian diikuti dengan apa yang dikenali dalam sejarah Eropah sebagai 'The Renaissance' iaitu kelahiran semula.

10. Apabila orang Islam sampai ke Sepanyol, seluruh Semenanjong Iberia itu terus menempuh zaman yang paling gemilang. Cardova atau Qurthubah di bawah perintah Abdul Rahman Ketiga menjadi lebih besar dan lebih maju dari sekarang. Terdapat di kota ini lebih daripada enam ratus masjid, berpuluh hospital, sekolah dan khutub khanah. Orang-orang Islam mengajar orang Kristian dan Eropah bukan sahaja cara menenun kain dan membuat air wangi, tetapi pelajaran hisab tinggi yang dicipta oleh Islam. Kebolehan menulis dan membaca terdapat di kalangan petani sama seperti orang berada.

11. Bahasa Arab berkembang menjadi Bahasa Sastera dan Sains. Banyak istilah ilmiah telah dicipta oleh ulamak-ulamak berbagai ilmu, malah mereka juga memberi sumbangan ilmu pengetahuan yang sangat banyak seperti Abdullah Ibn. Sina dalam bidang ilmu perubatan, Muhammad Ibni Rushd dalam bidang perubatan dan undang-undang, Muhammad bin Musa Al Khawarizmi dalam bidang Ilmu Hisab dan lain-lain tokoh seperti Al Biruni, Ibnu Khaldum, Ibnu Batuta dan lain-lain. Buku-buku yang ditulis oleh ahli sains Islam telah mempengaruhi fikiran Barat. Sistem 'binary' yang digunakan sekarang, terutama dalam sains komputer, mungkin tidak dapat diwujudkan jika sistem 'Arabic numerals' tidak ada terlebih dahulu. Demikianlah kesan Islam dalam bidang pelajaran seluruh dunia sejak abad keempat belas masihi.

12. Sungguhpun orang-orang Islam telah sampai kepada kemuncak kemajuan dan tamadun Islam yang tinggi, tetapi malangnya ada di kalangan pemimpin dan ulama Islam yang telah bermusuh sesama sendiri, hingga akhirnya bidang ilmu pengetahuan diabaikan. Khazanah ilmu pengetahuan itu berpindah dari tangan orang Islam ke tangan orang-orang Eropah dan kekal hingga hari ini di tangan mereka. Pemimpin-pemimpin Islam terus mempertikaikan perkara-perkara kecil sehingga membawa kekeliruan kepada orang ramai.

13. Pemimpin-pemimpin Islam pada masa ini hanya pandai melaung-laungkan kemegahan sejarah Islam di masa lampau tetapi apakah usaha yang dibuat untuk mengembalikan zaman keemasan dan kemegahan itu? Jeritlah beribu kali sekalipun zaman kemegahan itu tidak akan datang semula. Zaman kegemilangan itu akan kembali semula ke tangan orang Islam apabila kita merancang dengan penuh teliti dan melaksanakannya melalui hikmah dan budi-bicara yang tinggi. Liku-liku yang susah itu hendaklah dilalui dengan penuh sabar dan teliti.

Tuan-tuan sekalian,

14. Saya ingin mengajak tuan-tuan sekalian meneliti kedudukan Islam di negara kita. Daripada sebuah negara yang dijajah di mana kepentingan Islam telah diketepikan, Malaysia yang merdeka telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi dan tenaga Kerajaan telah digunakan untuk Islam. Masjid dan surau, sekolah dan fakulti di universiti, biasiswa dan jawatan, malah berbagai jenis kemudahan telah diadakan untuk Islam.

15. Dari orang yang ditindas dan dijajah, orang Islam di Malaysia sudah bebas dan berkuasa. Kita berbeza sekali dari orang Islam minoriti di negara lain. Sepatutnyalah kita bersyukur dan sepatutnyalah kita berpegang teguh kepada tali Allah Subhanahu Wataala - kita bersaudara. Malangnya di Malaysia terdapat mereka yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah Subhanahu Wataala dan sebaliknya berusaha dengan percakapan dan perbuatan untuk memecah-belahkan ummah. Kelemahan umat Islam di zaman ini mudah ditentukan iaitu kita tidak mengikut ajaran Islam dan tidak menjadikan Islam sebagai pegangan hidup kita yang menyeluruh. Buktinya kesalahan ini adalah jelas. Di samping Islam menyuruh kita berpegang kepada tali Allah Subhanahu Wataala dan jangan kita bercerai-berai, kita juga disuruh bersaudara. Sebaliknya, kita dapati orang Islam bukan sahaja tidak bersaudara malahan terus bermusuh-musuhan sesama sendiri dan ada pula orang Islam dengan berani menyuruh kita berpecah-belah, tidak memberi kedudukan yang istimewa kepada Islam sebagai agama rasmi negara, kononnya kerana ini tidak adil dan saksama.

Tuan-tuan yang dihormati sekalian,

16. Islam melarang kita membuat fitnah. Dalam Al-Quran jelas disebut bahawa fitnah itu lebih merbahaya dari membunuh. Tetapi sedihnya perbuatan fitnah sudah menjadi amalan bagi sebahagian dari kita sehingga ada yang berusaha memburukkan imej negara dan Kerajaaan dengan memberi maklumat palsu kepada orang Islam lain dan menyuruh mereka mengancam dan mengecam Kerajaan Malaysia. Ini adalah sebahagian sahaja daripada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa ramai juga di antara kita yang tidak mengikut ajaran Islam. Kelemahan orang Islam dan negara-negara Islam hari ini adalah disebabkan oleh perbuatan orang-orang Islam sendiri. Selagi kita tidak mahu mengakui hakikat ini, selama itulah kita akan lemah dan akan dikuasai oleh orang lain.

17. Matlamat menegakkan negara Islam tidak boleh disamakan antara satu benua dengan satu benua lain, antara satu negara dengan satu negara lain kerana ada negara yang penduduknya 100% Islam, ada yang 90%, ada 75%, ada 50% dan ada yang 10%. Matlamat yang berbeza-berbeza ini tidak mungkin tercapai dengan mudah atau dalam masa yang singkat. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun, mungkin berpuluh-puluh tahun. Yang penting bagi kita di Malaysia ialah menyediakan asas dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Dalam hal ini marilah kita mengambil pengajaran daripada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana kita semua tahu, Baginda mengambil masa selama 23 tahun untuk menyampaikan keseluruhan wahyu yang diturunkan, seterusnya perkembangan Islam itu berjalan secara tabii sedikit demi sedikit, bukan secara sekali gus. Dan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun Allah Yang Maha Berkuasa boleh menjadikan sesuatu dalam sekelip mata dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.

18. Walaupun agama Islam sudah lengkap dan panduan hidup terdapat dalam Al-Quran dan Hadith Nabi yang sahih , ini tidak bermakna bahawa akal fikiran kita tidak perlu digunakan lagi. Sebab itulah tafsiran oleh alim ulamak masih diperlukan berkenaan dengan hukum-hukum Islam. Sebab itulah tafsiran juga diperlukan berkenaan dengan bermacam-macam masalah harian dan kerja-kerja yang patut dikaji, dan oleh itu ilmu masih diperlukan. Itulah sebabnya Allah Subhanahu Wataala mengurniakan kepada umat manusia akal fikiran dan menyuruh kita berfikir. Apabila kita berada di dalam sesuatu keadaan, kita hendaklah berfikir dengan waras dan berhati-hati, terutama dalam menyusun langkah ke arah mencapai matlamat Islam yang menjadi hasrat kita. Janganlah kerana tidak berfikir, kerana dorongan nafsu, kita membuat sesuatu dengan bergopoh-gapah dan tidak berhati-hati sehingga kita gagal dan terlepas terus peluang kita. Janganlah kita sia-siakan peluang yang ada pada kita selepas 400 tahun kita dijajah. Ingatlah, jika kita tidak menyusun langkah dengan cermat, tidak membuat perhitungan yang teliti, tidak merancang, peluang kita akan terlepas, maka mungkin kita tidak akan dapat peluang sekali lagi. Ingatlah, kuasa yang ada pada kita masih boleh terlucut jika kita tidak berjaga-jaga.

19. Kita perlu ingat bahawa untuk menjayakan sesuatu tujuan kita perlu mempunyai projek atau rancangan-rancangan yang disusun dengan kemas dan yang dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakannya pula, ia bergantung kepada banyak faktor, termasuklah faktor tabiat manusia dan kemudahan-kemudahan. Tetapi, yang paling penting daripada semua faktor-faktor ini ialah faktor tabiat manusia iaitu kesanggupan dan kemampuan manusia yang akan menjalankan rancangan itu dan yang akan menerimanya.

20. Sebagai contoh, untuk mengadakan sebuah rumah atau tempat kediaman, kita bergantung kepada kebolehan tukang yang mendirikan rumah itu dan kesediaan tuan punya rumah untuk membiayai dan menanggung perbelanjaan. Demikian juga halnya dengan cita-cita kita untuk melaksanakan ajaran Islam yang menyeluruh di dalam masyarakat kita. Ini semua bergantung kepada faktor-faktor tadi, terutamanya masyarakat dan pengikut-pengikutnya, ketua-ketua dan rakyat jelata yang diperintah oleh mereka. Dalam hubungan ini, cita-cita untuk menegakkan ajaran Islam, bergantung bukan sahaja kepada keinginan tetapi juga kepada kemampuan pemimpin-pemimpin dan kebolehan mereka yang diberi tugas untuk mencapai matlamat ini. Malangnya pada masa ini, ada kumpulan-kumpulan tertentu di Malaysia yang berusaha membawa masuk fikiran-fikiran dari luar negeri dan memaksa rakyat kita mengikutnya. Fikiran ini tidak sesuai dengan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Perkara ini perlu direnung oleh kita semua.

Tuan-tuan dan saudara-saudara sekalian,

21. Sekali lagi saya mengalu-alukan usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang mengundang para alim ulamak, pemimpin-pemimpin badan dakwah, para cendiakawan dan tokoh-tokoh agama untuk bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai konsep negara Islam. Saya berharap perbincangan mengenai konsep negara Islam, dan perkara-perkara mengenainya, hendaklah mengambil-kira kedudukan negara kita yang berbilang kaum dan agama. Kita juga tidak boleh menyalah-gunakan kuasa yang Allah Subhanahu Wataala telah amanahkan kepada kita untuk memerintah negara ini. Hukum Allah Subhanahu Wataala mestilah dilaksanakan dengan hikmah dan bijaksana selaras dengan siasah syariah yang kita semua maklum. Saya percaya para peserta yang terdiri daripada alim ulamak dan cerdik pandai Islam kita, akan menjadikan Muktamar ini satu manfaat kepada umat Islam di Malaysia. Mudah-mudahan muktamar ini akan dapat memberi manfaat yang diharapkan dan semoga usaha yang dilakukan dengan ikhlas ini mendapat limpah berkat dari Allah Subhanahu Wataala.

22. Dengan kesucian nama Allah Subhanahu Wataala dan dengan nama Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengasihani, saya membuka Muktamar Mengenai Konsep Negara Islam ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: