Tahun 1989 – PELANCARAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA, PERUTUSAN TAHUN BARU 1990 DAN UCAPAN PERASMIAN DATARAN MERDEKA

Lokasi :DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

Tarikh :31/12/89

Yang Berhormat Datuk Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan; Yang Berhormat Menteri-menteri; Dif-dif kehormat; Para hadirin sekalian.

Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Sabbaruddin dan semua yang terlibat dengan majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia 1990 ini. Saya berharap Tahun Melawat Malaysia akan berjaya meningkatkan bilangan para pelancong luar negeri ke Malaysia dan menambahkan pelancongan di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena perasmian Dataran Merdeka ini. Dataran ini sudah pun popular di kalangan rakyat tempatan dan para pelancong asing semenjak ianya siap pada bulan Oktober semasa Mesyuarat CHOGM diadakan. Bendera kita yang besar dan cantik yang berkibar di tiang yang tinggi sekali di dunia menjadi kemegahan semua rakyat.

Para hadirin sekalian,

3. Semenjak kita merdeka berbagai-bagai usaha dibuat untuk membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat. Malaysia selepas mencapai kemerdekaan, berbeza sama sekali dengan tanah jajahan British dahulu.

4. Sekarang ini kita berusaha memajukan industri pelancongan yang mempunyai banyak potensi untuk mempercepatkan pembangunan negara. Tujuan kita menggalakkan pelancongan bukanlah untuk memperkayakan para pelabur. Tujuannya ialah supaya kita dapat mengurangkan pengangguran dan menolong para peniaga, para pekedai dan para penjaja menambah pendapatan mereka. Tetapi industri pelancongan tidak boleh maju tanpa para pelabur. Bahkan para pelabur juga tidak boleh maju tanpa bantuan kerajaan daripada segi infrastruktur dan promosi.

5. Jika industri pelancongan maju, Kerajaan juga akan dapat mengutip cukai yang bertambah yang akan digunakan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan bagi semua rakyat. Jelaslah bahawa semua rakyat Malaysia akan mendapat nikmat daripada industri pelancongan.

6. Tetapi industri pelancongan ini bergantung kepada perkhidmatan dan layanan. Walau bagaimana baik sekalipun bangunan hotel, jalanraya, kemudahan komunikasi dan walau bagaimana cantik dan nyaman tempat-tempat peranginan, selagi perkhidmatan dan layanan tidak baik, industri pelancongan ini tidak akan berjaya.

7. Layanan yang baik bukanlah terhad kepada pekerja- pekerja dalam hotel-hotel sahaja tetapi mestilah diamalkan oleh kita semua. Semua rakyat Malaysia adalah tuan rumah dan mereka yang melancong, sama ada dari luar atau dalam negeri, adalah tetamu kita. Kita mestilah memberi layanan seperti kebiasaan orang-orang Malaysia melayan tetamu-tetamu mereka. Marilah kita bersama-sama menjayakan Tahun Melawat Malaysia.

Para hadirin sekalian,

8. Sebentar lagi akan berakhirlah tahun 1989, satu tahun yang bersejarah dan gemilang bagi Malaysia. Dalam tahun 1989 kita telah mengalami peristiwa-peristiwa yang membawa banyak manfaat kepada kita.

9. Pada tahun 1989 iklim politik antarabangsa menjadi bertambah baik. Beberapa negara komunis menolak ideologi yang anti-agama dan sempit. Kuasa-kuasa dunia yang terbesar telah memulakan proses mengurangkan ancaman perang nuklear. Perubahan-perubahan yang tidak dijangka sama sekali sedang berlaku. Namun demikian kita perlu berhati-hati kerana dalam dunia ini kekuatan masih menentukan keadilan atau "might is still right".

10. Malaysia telah memainkan peranan yang lebih ketara dalam arena politik antarabangsa. Kita dipilih menduduki Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, menjadi Pengerusi Kumpulan 77 dan mempengerusikan Mesyuarat CHOGM. Malaysia diberi penghormatan menghantarkan pasukan keselamatannya berkhidmat dengan Bangsa-Bangsa Bersatu di Asia Barat dan Namibia. Banyak negara maju mencari pedoman daripada Malaysia berkenaan cara-cara kita memerangi dadah.

11. Dalam negeri pula, Malaysia adalah di antara sebilangan kecil negara-negara membangun yang berjaya, baik daripada segi kestabilan politik mahupun dalam pertumbuhan ekonomi. Rakyat Malaysia bernasib baik kerana pemulihan ekonomi yang bermula pada akhir tahun 1987 telah meningkat dengan lebih pesat pada tahun 1988 dan seterusnya pada tahun 1989.

12. Pelaburan dalam negara kita telah bertambah dan telah memberi banyak nikmat kepada rakyat. Pengangguran sudah berkurangan bagi mereka yang sanggup bekerja dan tidak terlalu memilih. Peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja juga menikmati perniagaan yang lebih laris. Kita berjaya menjimatkan perbelanjaan dengan pengurusan kewangan yang lebih efisien dan ketat dan melalui proses penswastaan.

13. Keadaan politik dalam negeri juga menjadi lebih stabil. Ancaman terhadap kestabilan negara kerana perpecahan sudah diatasi. Tiada lagi terdapat ketegangan seperti pada bulan Oktober-November tahun 1987.

14. Kita dapat menamatkan ancaman gerakan bersenjata komunis dengan perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya setelah cuba menjatuhkan Kerajaan secara kekerasan selama 41 tahun. Pencapaian ini sahaja pun menjadikan tahun 1989 tahun yang bersejarah.

15. Kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan kita kerana sanggup berkorban nyawa untuk menjamin keamanan bagi kita semua. Kita tidak akan lupa pengorbanan mereka yang akhirnya menghasilkan kemenangan.

Para hadirin sekalian,

16. Tahun 1989 juga memperlihatkan beberapa peristiwa yang membanggakan. Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dan pencapaian Malaysia daripada segi pengurusan acara sukan ini amat cemerlang. Dalam pertandingan pula, kita dengan penduduk hanya 17 juta berjaya mendapat tempat kedua dan menjadi juara bolasepak.

17. Sebelum, semasa dan selepas Sukan SEA, rakyat berbilang kaum menunjukkan perpaduan dan semangat kebangsaan yang luar biasa. Ini adalah petanda yang baik bagi negara kita.

18. Dengan kejayaan CHOGM, Malaysia yang kurang dikenali telah menjadi fokas seluruh dunia. Kejayaan cemerlang ini adalah hasil usaha gigih rakyat keseluruhannya.

19. Kesedaran akan identiti bangsa dan negara Malaysia menjadikan rakyat negara bertuah ini lebih bertanggungjawab. Bandar-bandar besar dan kecil sentiasa dibersih dan dihiaskan. Kuala Lumpur sekarang terkenal sebagai bandar yang cantik, bersih dan bercahaya. Mulai sekarang Kuala Lumpur akan dipanggil dengan nama Kuala Lumpur -- Bandaraya Taman Bercahaya atau Kuala Lumpur -- Garden City of Lights.

Para hadirin sekalian,

20. Pada tahun 1989 juga, kita telah melancarkan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang. Ia bertujuan bukan sahaja untuk menjadikan kualiti kerja kita lebih baik dan lebih compet- itive tetapi juga bertujuan menjadikan kualiti hidup kita lebih selesa dan bermakna.

21. Kita boleh menyenaraikan banyak lagi kejayaan kita, tetapi memadailah dengan apa yang telah saya sebutkan. Namun, kita tidak boleh leka dengan pencapaian-pencapaian ini. Masih banyak kerja dan tindakan yang perlu dibuat untuk memajukan lagi Malaysia.

22. Usahawan-usahawan Malaysia mestilah berani menerokai pasaran-pasaran baru. Mereka masih terlalu bergantung kepada perlindungan Kerajaan. Mereka juga terlalu bergantung kepada para peniaga negara jiran. Para pekerja Malaysia pula mestilah sanggup melibatkan diri dalam beberapa bidang yang penting dalam proses perindustrian Malaysia.

23. Di seluruh dunia, Malaysia dan rakyatnya terkenal kerana budi-bahasa, persefahaman dan keharmonian mereka. Dalam dunia Islam juga, Malaysia dan rakyat Islamnya terkenal kerana tertib, bersopan santun dan tidak bersengketa. Orang-orang Islam di Malaysia mestilah membuktikan secara jelas bahawa Islam adalah agama yang adil, toleran dan yang membawa kejayaan kepada penganutnya supaya kita mendapat penghormatan daripada pihak lain. Kerajaan tidak akan menggunakan paksaan walau apapun ugutan daripada mereka yang suka menyoal ke-Islaman Kerajaan ini.

24. Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam juga bertanggungjawab kepada diri sendiri dan kepada penganut- penganut agama lain termasuklah penganut-penganut agama Islam. Kebebasan beragama di Malaysia adalah lebih baik daripada kebebasan yang terdapat di negara-negara maju di mana tidak terdapat rumah-rumah ibadat berbagai agama seperti di Malaysia. Oleh itu semua rakyat Malaysia haruslah insaf akan kebebasan beragama di negara kita. Rakyat Malaysia janganlah terlalu mudah terpengaruh dengan propaganda-propaganda Barat.

Para hadirin sekalian,

25. Kita mempunyai potensi yang lebih baik daripada negara- negara lain untuk mencapai tahap pembangunan yang tinggi. Kemajuan sesuatu bangsa banyak bergantung kepada nilai-nilai yang diamalkan oleh bangsa itu, terutamanya budaya kerjanya.

26. Kita semua tahu nilai yang baik bagi kita, tetapi antara kefahaman ini dengan amalannya terdapat jarak yang agak jauh. Sekiranya kita dapat mengurangkan jarak ini, kita akan mendapat kebahagiaan.

27. Marilah kita semua membuat resolusi untuk mengamalkan nilai-nilai yang baik. Pekerja dan majikan hendaklah mengelak daripada berkonfrontasi, tetapi sebaliknya bersepakat demi kepentingan bersama. Janganlah kita dijadikan alat oleh orang-orang yang dahulu menjajah dan sekarang ini bersaing dengan kita. Penjajahan akal fikiran yang diusahakan melalui ideologi asing hendaklah dihapuskan.

Para hadirin sekalian,

28. Di samping kita bergembira dengan kejayaan-kejayaan kita, kita juga bersedih kerana beberapa tragedi dalam tahun 1989 yang mengakibatkan kehilangan nyawa. Antaranya ialah kemalangan kapalterbang Polis Di-Raja Malaysia, kebakaran asrama sekolah agama di Kedah, dan kemalangan dua buah helikopter TUDM. Kita berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Para hadirin sekalian,

29. Setelah kita meningkatkan budaya kerja kita, berusaha bersungguh-sungguh, mengenepikan kegiatan-kegiatan yang tidak bermanfaat; Insya-Allah, God willing, kita akan mencapai kejayaan yang lebih baik lagi pada tahun 1990 dan dekad sembilan-puluhan.

Para hadirin sekalian,

30. Sekarang dengan sukacitanya saya merasmikan Dataran Merdeka yang indah ini serta melancarkan Tahun Melawat Malaysia dengan penuh harapan bahawa tahun 1990 akan membawa kebahagiaan kepada Malaysia dan rakyatnya.

31. Selamat Tahun Baru saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: