Tahun 1983 – PERASMIAN SEMINAR PENGSWASTAAN DAN HAK TAWAR MENAWAR

Lokasi :HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR

Tarikh :19/12/83

Yang Berbahagia Encik Mohd. Nor, Yang di-Pertua CUEPACS; Dif-Dif Kehormat; Ahli-Ahli Jawatankuasa CUEPACS; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Sebelum saya bercakap berkenaan dengan pengswastaan, saya ingin berbicara sedikit berkenaan dengan Kerajaan, tugasnya dan pembiayaannya. Mungkin sebahagian dari ucapan saya ini berbunyi seperti syarahan akademik. Saya memohon maaf terlebih dahulu.

2. Kerajaan pada asalnya cuma merupakan satu jentera untuk menjaga keamanan dalam masyarakat supaya yang ganas dan yang pintar dalam masyarakat tidak menindas, menganiaya atau menipu anggota masyarakat yang lain yang tidak berani, tidak pintar dan yang lemah. Untuk tugas ini pemerintah cuma memerlukan pasukan keamanan dan cara-cara mengadil. Untuk mempertahankan negara, selain daripada pasukan pertahanan yang kecil yang diketuai oleh pembesar, rakyat dikerah apabila perlu.

3. Soal kemasyarakatan seperti pelajaran, kemudahan-kemudahan awam, kesihatan, kawalan perdagangan serta lain-lain bukanlah pada mulanya beban dan tanggungjawab Kerajaan. Sama ada rakyat hidup sempurna atau tidak adalah masalah rakyat. Maka dalam keadaan ini berlakulah perbezaan yang amat ketara antara miskin dan kaya. Sebenarnya di masa dahulu apabila Kerajaan cuma bertanggungjawab terhadap keamanan, rakyat terbahagi kepada dua kelas sahaja -- orang kaya yang memiliki semua harta dan orang miskin yang bekerja semata-mata untuk memberi hasil kerja mereka kepada 'landlords' dan orang-orang kenamaan yang turun-temurun. Pekerja hidup sebagai 'serfs' atau 'peasants' atau hamba kepada tuan tanah. Pendapatan mereka mencukupi setakat boleh hidup dan bekerja sahaja.

4. Keadaan ini tentulah tidak adil. Melalui proses evolusi dan revolusi, peranan pemerintah ditambah supaya bukan sahaja dapat menentukan keamanan, tetapi mencegah ketidak-adilan yang terdapat dalam masyarakat. Proses ini berjalan sepanjang masa dan ideologi-ideologi dibentuk untuknya. Di antara ideologi ini ialah ideologi 'welfare state', sosialisme dan komunisme. Pada permulaan semua ideologi baru ini bertujuan untuk mengurangkan ketidak-adilan melalui peranan dan tindakan yang lebih luas oleh Kerajaan. Tetapi amalan dan kesan-kesan pelaksanaan ideologi-ideologi ini tidaklah mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan.

5. Dalam sistem komunis, rakyat dilepas dari belenggu feudalisme cuma untuk dijadikan hamba kepada negara yang dipimpin oleh diktator. Kehidupan rakyat tidak menjadi lebih baik, walaupun mungkin negara menjadi lebih kuat.

Sebenarnya di kebanyakan negara komunis penindasan ke atas rakyat menjadi lebih buruk dari sebelumnya. Keadilan tidak wujud bagi rakyat. Hasil usaha mereka dibolot oleh negara untuk tentera dan pasukan keamanan yang besar yang menindas rakyat.

6. Sistem sosialis tidak jauh bezanya dari komunis. Jika sosialisme tidak membawa pemerintahan diktator di mana rakyat jadi hamba, ia akan membawa anarki di mana semua orang boleh membuat apa saja sehingga tidak ada satu kerja yang boleh diurus dan dijalankan dengan sempurna. Di beberapa negara yang baru merdeka, penerimaan sistem sosialis menyebabkan ekonomi merosot sehingga tercetus huru-hara, dan penjajahan secara langsung atau tidak langsung oleh kuasa asing.

7. Satu variasi dari sosialisme ialah 'welfare state' di mana kononnya pihak pemerintah negara akan melayan dan memelihara setiap orang warganegara dari saat ianya dilahir sehingga ke liang lahad. Ini adalah satu khayalan kerana untuk berbuat demikian maka pemerintah mesti mempunyai ongkos. Ongkos pemerintah adalah daripada hasil yang dikutip dari perniagaan, perusahaan dan perdagangan swasta. Dengan perkataan lain, orang-orang yang bekerja untuk menjayakan perusahaan, sama ada eksekutif atau pekerja biasa, mestilah rela membiayai elaun, bantuan dan subsidi bagi semua rakyat. Ini bermakna orang yang bekerja inilah yang terpaksa menanggung beban pemerintahan 'welfare state', bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga mereka-mereka yang malas, yang tidak mahu bekerja dan yang tidak berjaya menghasilkan keuntungan apa-apa yang boleh dikenakan cukai oleh pemerintah. Bukanlah Kerajaan yang membiayai warganegara dari buaian hingga ke liang lahad, tetapi pekerja sendiri yang membiayainya. 'Welfare State' bukan bermakna negara atau 'state' yang memberi 'welfare', tetapi rakyat yang rajin dan cekap yang menanggung beban 'welfare'. Lebih ramai mereka yang memerlukan bantuan, lebih beratlah tanggungan rakyat. Di United Kingdom, umpamanya, National Health Scheme dibiayai oleh yuran dari rakyat. Sebaliknya di Malaysia yang bukan 'Welfare State', rawatan di hospital hampir percuma dan rakyat tidak perlu membayar apa-apa yuran tetap.

8. Dalam keadaan di mana bantuan perlu ditingkatkan, maka perusahaan dan lain-lain mestilah membuat keuntungan yang tinggi, iaitu pengguna mestilah membayar bayaran yang tinggi atau pekerja tidak mendapat tambahan pendapatan daripada keuntungan yang bertambah. Sekali lagi bukan Kerajaan yang membuat peruntukan, tetapi pekerja dan pengguna yang membiayai tambahan ongkos yang diperlukan.

9. Jika perusahaan dimiliki oleh Kerajaan, kesannya sama sahaja jika ada keuntungan. Tetapi jika rugi, dan banyak daripada perniagaan dan perusahaan Kerajaan rugi, bukan sahaja pekerja tidak akan mengecap keuntungan, tetapi sebahagian dari pendapatan Kerajaan daripada punca-punca lain terpaksa diguna untuk membantu perusahaan dan perniagaan yang rugi tadi; dan ini bermakna sebahagian daripada wang yang kononya untuk membantu rakyat dari buaian ke liang lahad akan kehilangan.

10. Tuntutan untuk bantuan dalam 'welfare state' selalu bertambah. Ada sahaja yang perlu dibantu. Orang yang tidak bekerja mesti dibayar 'dole' atau diberi subsidi sara hidup.

'Dole' mesti ditingkatkan mengikut inflasi. 'Dole' tidak boleh dikenakan cukai kerana tentulah ganjil jika bantuan diberi dan diambil balik sebahagiannya sebagai cukai. Di beberapa negara Eropah, 'dole' yang dibayar ialah 80% daripada gaji yang terakhir yang didapati oleh seseorang pekerja. Seorang penyanyi yang biasa mendapat $10,000/- sebulan mesti dibayar $8,000/- sebulan. Dengan bayaran 'dole' yang sebegini tinggi adalah lebih baik tidak bekerja dari bekerja. Apabila terlalu ramai yang tidak bekerja, maka bayaran 'dole' serta belanja Kerajaan tentulah meningkat. Dalam masa yang sama perniagaan dan perusahaan tentulah berkurangan, dan keuntungan dan cukai tentulah juga akan berkurangan. Jika cukai turun dan belanja 'dole' naik, dari manakah akan datang peruntukan Kerajaan? Tentulah jelas jika 'welfare state' ini hendak diurus dengan jayanya, pekerja mestilah bekerja kuat dan menolong meningkatkan keuntungan dan cukai Kerajaan. Sekali lagi jelas pekerja mesti membiayai diri sendiri dalam 'welfare state'. Kerajaan cuma merupakan sekretariat untuk memungut cukai dan membahagi-bahagikan kepada mereka yang tidak bernasib baik, atau yang malas yang sengaja tidak mahu bekerja. Demikianlah 'welfare state'.

Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Sekarang saya berbalik kepada Kerajaan dan tugas-tugas Kerajaan. Semakin sofistikated masyarakat, semakin banyak peranan yang terpaksa dimainkan oleh Kerajaan. Dari semata-mata menjaga keamanan dan pertahanan, Kerajaan terpaksa melibatkan diri dengan pelajaran, kesihatan, pembangunan aneka jenis infrastruktur, dan kawalan bermacam-macam kegiatan masyarakat. Kerajaan juga dikehendaki membangunkan ekonomi dan menyusun semula masyarakat. Akhir-akhir ini, Kerajaan yang tidak sosialis pun dikehendaki memasuki bidang perniagaan dan bersaing dengan swasta.

12. Dengan lebih banyak kegiatan ini maka lebih banyak lagi bekalan wang yang diperlukan oleh Kerajaan. Di masa-masa yang akhir ini pula, kemudahan infrastruktur telah meningkat dari segi 'sophistication' dan belanja yang diperlukan. Peningkatan ini bermakna cukai yang lebih banyak perlu dipungut, yang mana ini membebankan lagi rakyat. Sebaliknya jika infrastruktur moden ini tidak diadakan, pertumbuhan ekonomi akan tergugat dan rakyat akan hidup di tahap yang rendah.

13. Sementara pihak swasta membayar gaji dari keuntungan perusahaan atau perniagaan, Kerajaan membayar gaji dari cukai. Kutipan cukai ini dipungut daripada swasta. Jika tugas Kerajaan bertambah, maka bilangan kakitangannya akan meningkat, dan ini menyebabkan bilangan perniagaan swasta tentulah berkurangan. Ini bermakna cukai yang boleh dipungut daripada swasta akan berkurangan. Sebaliknya jika bilangan kakitangan Kerajaan adalah kecil dan perniagaan dan perusahaan swasta besar, maka cukai akan bertambah dan bahagian-bahagian untuk kakitangan Kerajaan yang sedikit tadi tentulah lebih mudah dibiayai.

14. Untuk memahami perkara ini dengan lebih mudah, jika semua penduduk sebuah negara berkhidmat dengan Kerajaan, maka tidak akan ada swasta yang akan membayar cukai untuk membayar gaji kakitangan. Sebaliknya, jika semua bekerja dengan swasta, pungutan cukai Kerajaan akan menjadi tinggi sekali. Kedua-dua contoh yang keterlaluan ini tidak mungkin berlaku. Yang mungkin ialah sebahagian menyertai swasta dan sebahagian lagi berkhidmat dengan Kerajaan. Keadaan yang terbaik ialah lebih ramai yang bekerja dengan swasta daripada yang berkhidmat dengan Kerajaan.

15. Di Malaysia bilangan yang berkhidmat dengan Kerajaan adalah tinggi peratusannya berbanding dengan negara-negara lain. Di samping itu perkhidmatan-perkhidmatan milik Kerajaan, seperti perkhidmatan keretapi, pelabuhan, pos, telekom, televisyen dan radio, hospital dan lain-lain, yang sepatutnya membawa keuntungan, biasanya rugi atau tidak begitu menguntungkan.

16. Cukai yang dikutip dari swasta sekarang cuma cukup untuk perbelanjaan mengurus sahaja. Untuk pembangunan, wang terpaksa dipinjam. Semakin tinggi pinjaman, semakin tinggi kos mengurus kerana bayaran faedah dimasuk dalam kos mengurus.

17. Berhadapan dengan masalah kos mengurus yang melambung naik, dan kutipan cukai yang tidak meningkat seperti yang dijangkakan, maka Kerajaan terpaksa mencari jalan keluar.

Satu daripada jalan keluar ialah memberhentikan pembangunan, tetapi ini akan mejejas pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan cukai juga. Kita boleh menghentikan pembangunan infrastruktur, seperti jalan, sekolah, telekom, dan pelabuhan, tetapi kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih buruk lagi.

18. Kita boleh mengurangkan bilangan kakitangan Kerajaan melalui pembuangan pekerja, atau 'retrenchment', tetapi ini juga menimbulkan masalah. Kita boleh menurunkan gaji, tetapi ini tentu tidak popular.

19. Akhir sekali, kita boleh mencari jalan supaya perkhidmatan Kerajaan diperkecilkan dengan memindah sebahagian daripadanya kepada swasta. Jika ini boleh dibuat tanpa merugikan kakitangan Kerajaan, maka pembangunan negara tidak akan terjejas. Jika kerana kecekapan pengurusan swasta, perkhidmatan yang dahulu rugi atau tidak begitu menguntungkan menjadi lebih untung, maka bukan sahaja pekerja tidak rugi, tetapi negara akan menjadi lebih kaya dan Kerajaan akan dapat lebih banyak cukai. Jika ditambah pula perolehan dari jualan bangunan, alat dan lain-lain harta Kerajaan kepada swasta, bekalan Kerajaan untuk pembangunan yang tidak boleh diswastakan tentu akan bertambah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. Saya telah cuba memberi gambaran kenapa pengswastaan beberapa perkhidmatan menarik minat Kerajaan. Kita tidak lupa akan kepentingan dan nasib kakitangan Kerajaan. Tetapi kita percaya dan yakin bahawa pengswastaan akan membawa banyak kebaikan kepada negara tanpa merugikan pekerja yang terlibat. Sebaliknya ada kemungkinan pekerja akan dapat lebih banyak nikmat.

21. Manusia tidak suka kepada perubahan. Tetapi kita tahu bahawa cuma mereka yang berani mengubah nasib sendiri yang akan berjaya. Pengswastaan adalah satu jenis perubahan. Perubahan ini adalah terancang. Kita tidak perlu khuatir dengannya. Kita mesti berani menghadapi cabaran di hadapan kita ini. Jika masalah timbul, kita akan mengatasinya.

Insya-Allah kita akan mendapat nikmat daripada pengswastaan. Walaupun pada mulanya rancangan pengswastaan mengutamakan kepentingan Kerajaan dan negara, tetapi matlamat sebenarnya ialah kebaikan bagi rakyat. Pekerja juga termasuk dalam golongan rakyat dan tetap akan mendapat nikmat apabila Kerajaan dan negara menjadi lebih teguh dan kaya.

22. Saya percaya CUEPACS pun tahu yang Kerajaan sekarang menentukan garis panduan serta mengkaji implikasi kepada kakitangan awam, ekonomi dan Dasar Ekonomi Baru, dan berbagai-bagai kesan lagi berhubung dengan pengswastaan.

Kerajaan juga sedar bahawa walau apapun panduan dan syarat yang dikenakan, ianya tidak mungkin sunyi dari kecacatan, atau 'perfect'. Di waktu perlaksanaan, sudah tentu banyak kelemahan akan didapati, dan kajian dan tindakan terpaksa diambil supaya kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi. Yang penting ialah prinsip, dan prinsip pengswastaan ialah sementara ia mungkin menguntungkan negara, masyarakat dan mungkin juga pekerja, ia tidak seharusnya merugikan atau membelakangkan pekerja. Satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuh untuk membuat penelitian dan kajian mengenai pelaksanaan konsep pengswastaan. Jawatankuasa ini tidak akan lupa tentang nasib kakitangan Kerajaan yang terlibat, bahkan akan mengutamakan soal ini.

23. Sepertimana kita semua maklum, pekerja terutama yang berjawatan rendah, biasanya mendapat lebih banyak layanan dan jaminan atau 'security' dalam perkhidmatan Kerajaan daripada pekerja swasta. Di antara layanan ini ialah kemudahan pencen yang mana telah menjadi yang terbaik sekali dalam dunia sejak semakan gaji tahun 1980.

24. Saya ingin membuat pengakuan di sini bahawa pemindahan kepada pihak swasta tidak akan dibenarkan jika, mengikut kajian dan perhitungan yang teliti dan mendalam, ianya akan merugikan pekerja dari segi pendapatan, kemudahan dan pencen seperti yang dibenarkan oleh syarat perkhidmatan. Tetapi sebaliknya, pekerja tidak boleh menghalang pengswastaan semata-mata kerana mahu lebih dari apa yang dijamin dan diberi oleh Kerajaan semasa berkhidmat dengan Kerajaan.

25. Setiap pekerja akan diberi option untuk memilih skim Kerajaan atau skim swasta apabila diswastakan. Masa yang cukup akan diberi iaitu antara satu atau dua tahun. Jika pekerja memilih skim Kerajaan, maka ia akan kekal dengan skim itu sehingga pencen. Jika dalam masa khidmatnya dengan perkhidmatan yang telah diswastakan didapati bahawa skim swasta menjadi lebih baik, umpamanya jika bayaran bonus diadakan atau saham diuntukkan khas bagi pekerja, maka pekerja yang memilih untuk kekal dengan skim Kerajaan tidaklah berhak mendapat kemudahan atau nikmat ini.

Sebaliknya, mereka yang memilih skim swasta berhak mendapat segala kemudahan yang biasanya tidak diberi kepada kakitangan Kerajaan. Tetapi mereka yang memilih skim swasta tidak berhak mendapat segala kemudahan yang sama seperti yang diberi kepada kakitangan Kerajaan, termasuk hasil apa-apa semakan gaji yang mungkin dibuat oleh Kerajaan di masa hadapan.

26. Pemindahan dari skim asal Kerajaan kepada skim swasta dan sebaliknya tidak boleh dibuat setelah pemilihan dilakukan dalam masa satu-dua tahun yang ditentukan untuk membuat pemilihan di waktu pengswastaan dilakukan. Hak memilih ini juga tidaklah untuk pekerja yang telah bekerja dengan pihak swasta yang berkenaan sebelum syarikat itu mengambil alih perkhidmatan Kerajaan.

27. Skim Kerajaan juga tidak boleh dituntut secara hak oleh pekerja baru yang memasuki kerja selepas pengswastaan, atau oleh kakitangan asal syarikat swasta yang telah mengambil alih perkhidmatan Kerajaan. Walau bagaimanapun, tidak ada larangan terhadap syarikat berkenaan bagi menentukan bahawa skim baru yang kurang baik menjadi sama atau lebih baik daripada skim Kerajaan.

28. Asas-asas yang saya sebutkan di sini akan dijelas dan dijadikan syarat kepada pihak swasta yang berminat untuk mengambil alih mana-mana perkhidmatan Kerajaan. Begitu juga pekerja-pekerja yang terlibat akan diberi tahu secara terperinci tentang syarat-syarat ini. Kedua-dua pihak tidak boleh mencari kesempatan dari dasar dan usaha pengswastaan oleh Kerajaan. Apa yang diperbuat ialah untuk kebaikan bersama, iaitu pekerja, pihak swasta dan Kerajaan. Dan kepentingan ketiga-tiga pihak ini adalah kepentingan negara.

Saya yakin kita semua akan mendapat nikmat dari usaha ini.

29. Sekianlah sahaja penjelasan saya berkenaan dengan pengswastaan. Segala keraguan hendaklah diatasi secara musyawarah dan baik-sangka. Insya-Allah kita akan menjadi lebih bahagia kerananya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

30. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS kerana memberi peluang kepada saya berucap pada pagi ini. Akhirnya, saya dengan sukacitanya membuka Seminar Pengswastaan dan Hak Tawar Menawar ini dengan rasminya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: