Tahun 1981 – UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS PROJEK DAYABUMI

Lokasi :KUALA LUMPUR

Tarikh :14/11/81

Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz Menteri Perusahaan Awam; Yang Berhormat Dato' Samy Vellu Menteri Kerjaraya dan Kemudahan-Kemudahan Awam; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.Bismillahir rahmanir rahim Assamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perusahaan Awam kerana telah menjemput saya ke Upacara Perletakan Batu Asas Projek Dayabumi pada hari ini dan memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikannya.

2. Projek Dayabumi, jika dilihat dalam konteks yang luas, semua maklum, sesebuah bandar yang besar merupakan tempat kegiatan budaya, sosial dan ekonomi yang dinamis. Ia mempunyai hubungan yang erat dengan persekitarannya, termasuk kawasan-kawasan desa dan luar bandar. Perubahan yang berlaku di bandar dirasai oleh persekitarannya dan demikianlah pula persekitaran sesebuah bandar mempengaruhi bandar itu. Oleh itu, bandar bukan sahaja sentiasa melalui proses penyesuaian dengan perubahan persekitaran tetapi juga mencorak dan membentuk persekitaran. Pendek kata adalah menjadi hakikat bahawa bandar sentiasa mempengaruhi dan dipengaruhi pula oleh persekitarannya.

3. Sebagai pusat segala kegiatan budaya, sosio dan ekonomi, sesebuah bandar dengan sendirinya pula menjadi daya penarik bagi penghijrahan dari luar bandar ke bandar. Penghijrahan yang pesat boleh menimbulkan masalah permintaan terhadap kemudahan-kemudahan asas dan penyesuaian bagi penduduk mendatang yang berlatarbelakangkan cara hidup serta pemikiran yang berlainan. Pendatang dari luar bandar mempunyai nilai hidup yang tersendiri berbeza dengan nilai-nilai mereka yang sekian lama di bandar. Nilai-nilai yang tersendiri ini membentuk suasana persekitaran di bandar itu sendiri. Begitu jugalah suasana bandar mencorak dan mengubah nilai-nilai hidup penduduk mendatang.

4. Dalam konteks ekonomi kita dapati bahawa bandar merupakan kemudahan bagi kegiatan ekonomi termasuk perdagangan, kewangan, perhubungan, perkhidmatan dan lain-lain lagi. Peluang-peluang untuk menjalankan kegiatan ekonomi adalah terbuka dengan luas dan bebas. Walaupun demikian, segala kegiatan ini mestilah mendatangkan faedah yang menyeluruh kepada masyarakat dan bersama-sama dengan asas-asas kemudahan yang diwujudkan mestilah membawa kepada perkembangan dan kemajuan yang lebih pesat dan teratur.

5. Dalam konteks yang lebih luas inilah kita melihat bandar mempunyai peranan yang positif dan bukannya sebagai "parasite" kepada persekitarannya. Dengan kemudahan-kemudahan fizikal seperti bangunan, persekitaran yang kemas dan teratur, serta masyarakat yang tinggi-hemah dan berkeperibadian mulia, bandar haruslah menjadi manifestasi kekayaan material dan kerohanian masyarakat.Demikian pula ia harus menjadi lambang keperibadian nasional sesuatu bangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,

6. Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membawa kemakmuran dan kemajuan kepada negara dan rakyat. Hasil daripada usaha-usaha kita itu negara kita telah mencapai satu tahap kemajuan yang susah ditandingi oleh sebilangan besar daripada negara-negara membangun. Sebagaimana yang pernah saya katakan tujuan kita ialah untuk membawa negara kita kepada satu taraf sebagai sebuah negara maju yang dihormati oleh semua dan yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Saya yakin ini akan dapat kita capai dengan ketabahan hati, kesungguhan usaha dan perancangan serta pelaksanaan yang berkesan. Di samping itu usaha-usaha ini mestilah pula mendatangkan faedah yang nyata secara adil kepada masyarakat kita yang berbilang kaum. Rancangan pembangunan kita memberi tumpuan kepada pertumbuhan bandar-bandar baru, pembangunan semula bandar-bandar yang sedia ada dan penyusunan semula bandar-bandar secara yang lebih kemas dan teratur bagi mencapai matlamat perpaduan negara.

7. Kita semua maklum bahawa bandar adalah asas yang penting yang boleh membantu bukan sahaja perkembangan dan kemajuan ekonomi malahan juga perkembangan sosial, keperibadian dan budaya. Pembangunan bandar di negara kita, sebagaimana kita sedia maklum, mempunyai matlamat-matlamat yang berhubung dengan perkembangan-perkembangan ini. Hasrat kita ialah untuk mewujud, meningkat dan mengekalkan perpaduan rakyat dan kemakmuran serta keselamatan negara. Dasar Ekonomi Baru menekankan aspek penyusunan semula masyarakat sebagai salah satu daripada strategi ke arah matlamat-matlamat ini.Pembangunan bandar secara terancang adalah satu aspek yang amat penting di dalam program penyusunan semula masyarakat.

8. Bandar-bandar di negara kita bukan sahaja harus menjadi pusat kegiatan ekonomi yang peluangnya terbuka kepada semua kaum untuk mencari nafkah dan mendapat pengalaman tetapi juga untuk meningkatkan interaksi dan pergaulan yang menjadi asas yang kukuh bagi pembangunan sosial dan memupuk perpaduan di kalangan anggota masyarakat. Di samping itu kita juga mahukan suasana bandar dengan asas ekonomi, sosial dan budaya akan membantu memupuk keperibadian masyarakat yang mempunyai akhlak yang baik serta berdisiplin.

9. Bagi mencapai matlamat-matlamat ekonomi, sosial dan budaya dalam konteks pembangunan bandar, program-program yang dirancang dengan kemas serta teratur perlulah kita laksanakan. Di samping program-program yang dilaksanakan oleh ejensi dan jabatan Kerajaan, pihak swasta, badan-badan sukarela dan juga anggota masyarakat di bandar semestinyalah membuat sumbangan masing-masing ke arah pencapaian matlamat-matlamat ini. Kita harus ingat bahawa tujuan kita ialah untuk mewujudkan suasana yang menjadi penggerak kepada pembangunan dan perkembangan peribadi rakyat kita sejajar dengan prinsip-prinsip Rukunegara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

10. Saya telah tegaskan bahawa bandar adalah salah satu alat yang penting bagi pencapaian matlamat negara. Bandar yang kita mahukan ialah bandar yang menyediakan peluang bagi perkembangan dan penyertaan rakyat berbilang kaum dalam bidang ekonomi, lebih-lebih lagi bagi golongan yang mundur di dalam lapangan ini. Bandar yang kita mahukan juga ialah bandar yang boleh menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai serta selaras dengan perkembangan keperibadian individu yang kita inginkan. Kemudahan-kemudahan rekreasi, kawasan-kawasan lapang dan berbagai-bagai lagi kemudahan yang dapat memenuhi keperluan bebagai golongan dan lapisan masyarakat haruslah menjadi ciri-ciri bandar kita.

11. Dayabumi adalah salah satu daripada projek yang dapat membantu mewujudkan persekitaran yang baik. Pembangunan semula kawasan yang strategik ini adalah satu lambang usaha Kerajaan ke arah mencapai matlamat-matlamat ekonomi, sosial dan budaya yang telah saya sebutkan tadi. Sesebuah bangunan bukan sahaja merupakan ruang untuk ditempatkan pejabat-pejabat ataupun firma-firma perniagaan tetapi sesebuah bangunan itu adalah lambang yang boleh mencerminkan unsur-unsur kebudayaan nasional serta dapat pula menyemaikan bibit-bibit kemegahan sesuatu bangsa. Kawasan persekitaran sesebuah bangunan itu dan seterusnya dikeseluruhan kawasan bandar mestilah pula dijaga, dibersihkan dan dihias supaya dapat menjadi selesa untuk kehidupan yang lebih bahagia.

12. Sejak dahulu lagi Kerajaan telah mengambil berat tentang kebersihan. Sebagaimana kita maklum, kebersihan adalah satu perkara yang amat penting malahan ia amat dititikberatkan di dalam ugama Islam. Oleh itu sudah semestinyalah rakyat, khususnya mereka yang berugama Islam bekerjasama bagi mencapai tahap kebersihan yang dapat kita banggakan.

13. Bandar seharusnyalah mempelopori dan menjadi contoh, antara lainnya tentang kebersihan. Kalau boleh, apabila disebut sahaja perkataan bandar ia menggambarkan tentang kebersihannya, tentang penghuninya yang mesra, berdisiplin dan lain-lain ciri yang bahagia. Ini bermakna bandar seharusnyalah mencermin dan melambangkan suasana yang tenteram, sejahtera dan selamat. Di samping itu bandar di Malaysia harus pula menggambarkan unsur-unsur kebudayaan Malaysia. Bandar seharusnya menjadi tempat kehidupan yang tersusun dan teratur yang memberi erti kepada kemuliaan manusia sebagai insan yang berfikir dan tahu nilai-nilai yang tinggi dan bahagia.

14. Alam persekitaran yang tidak segar dan tidak teratur bukan sahaja melemahkan daya pengeluaran sesuatu masyarakat tetapi juga membantu menambahkan lagi penyakit-penyakit sosial seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, kebebasan yang boleh membawa kepada keruntuhan moral dan lain-lain lagi.Itulah sebabnya pembangunan bandar harus mengambilkira lain-lain aspek di samping aspek ekonomi dan fisikal. Dalam soal ini perancang-perancang bandar, akitek-akitek, pemaju-pemaju perumahan dan ahli-ahli sosio-ekonomi hendaklah berganding bahu dan bersatu tenaga untuk mencipta rekabentuk bangunan dan persekitaran yang berlandaskan kepada aspirasi kebangsaan.

15. Proses pembandaran yang pesat disertai dengan penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar telah meninggalkan kesan ke atas usaha untuk membentuk persekitaran bandar yang teratur, segar dan aman. Ini merupakan hakikat yang harus kita terima. Penghijrahan merupakan beban dan tekanan kepada pentadbiran dan perancangan bagi mengadakan pelbagai kemudahan bagi keperluan masyarakat bandar. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keempat, peratus penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dijangka akan berkurangan dari 65% kepada 62%. Sebaliknya peratus penduduk bandar dijangka akan bertambah daripada 35% dalam tahun 1980 kepada 38% dalam tahun 1985. Kadar pembandaran ini berpunca dari penubuhan pusat-pusat pertumbuhan baru dan penghijrahan dari kawasan luar bandar ke bandar. Walaupun penghijrahan dari luar bandar ke bandar mempunyai masalah-masalahnya, Kerajaan akan terus berusaha, dengan kerjasama masyarakat, untuk mengatasinya kerana disebalik masalah-masalah ini penghijrahan merupakan satu faktor positif ke arah penyusunan semula masyarakat.

16. Bagi mengimbangkan perkembangan bandar dan luar bandar usaha-usaha telah dibuat untuk membangunkan bandar-bandar baru di kawasan-kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan pembangunan wilayah. Dengan cara ini tekanan ke atas bandar-bandar besar akan berkurangan dan membolehkan pembangunan bandar-bandar ini dirancang dengan lebih kemas dan tersusun. Begitu juga proses penyesuaian dari luar bandar ke bandar yang sederhana dan seterusnya ke bandar yang lebih besar akan merupakan peringkat-peringkat dalam proses penyesuaian yang dapat mengurangkan tekanan kepada individu-individu yang berhijrah.

17. Projek Dayabumi ini, selain dari menjadi satu alat untuk mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru juga mempunyai beberapa ciri yang istimewa. Rekabentuk projek ini telah digubal beberapa kali kerana hasrat Kerajaan untuk memasukan unsur-unsur kebudayaan negara dalam jenis bangunan yang moden. Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar yang tidak ada character atau peribadinya sendiri, tetapi sebaliknya menjadi bandar biasa yang terdapat di mana-mana saja. Oleh itu bangunan-bangunan di Kuala Lumpur hendaklah mempunyai bentuk yang boleh dikenal sebagai bangunan Kuala Lumpur terutama memandang bahawa bangunan-bangunan lama yang terkenal seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, sudah tenggelam hilang di antara pencakar langit-pencakar langit yang baru. Dayabumi dibentuk supaya boleh menjadi contoh kepada lain-lain akitek di Malaysia bahawa bangunan moden tidak semestinya merupa kotak yang cuma functional tetapi tidak mempunyai aesthetic value. Adalah diharap dengan adanya Dayabumi kita tidak lagi terkongkong dengan barat dari segi architecture.

18. Perkara yang kedua yang istimewa berkenaan dengan Dayabumi ialah percubaan mempercepatkan proses mendirikan bangunan yang besar. Ahli-ahli profesyenal di Malaysia adalah didapati terlalu conservative dan orthodox. Mereka enggan menerima cara-cara yang baru. Apabila disyorkan bahawa jangkamasa membina patut dikurangkan sehingga separuh masa sahaja, reaksi pertama ialah tidak mungkin. Tetapi saya amat bangga setelah diterima kemungkinan memendekkan jangkamasa membina, semua pihak telah bekerja dengan penuh minat. Adalah diharap, dengan izin Allah Subhanahu Wataala bangunan ini akan didirikan dalam record time, dan ini juga akan membuka satu babak yang baru dalam sejarah pembinaan bangunan di Malaysia.

19. Adalah jelas dari ini bahawa projek Dayabumi adalah satu projek yang besar ertinya kepada negara kita Malaysia.Seluruh negara akan memerhatikan projek ini. Pembangunannya dalam jangkamasa yang ditentukan akan menjadi petanda bahawa pemerintah, pegawai dan pekerja, pemborong dan pembekal, yang profesyenal dan yang tidak profesyenal dari rakyat Malaysia khususnya boleh mengubah sikap dan membangun semangat yang baru yang akan menjadi asas pembangunan negara kita. Saya berdoa, ke hadrat Allah Subhanahu Wataala bahawa dengan izinNya bangunan ini akan didirikan sebagai lambang kejayaan Dasar Ekonomi Baru dan semangat baru yang kita cita-citakan.

Sekian, terima kasih.

Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: