Tahun 1989 – PELANCARAN MAJLIS PERUNDINGAN EKONOMI NEGARA SELEPAS 1990

Lokasi :PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR

Tarikh :19/01/89

Yang Berhormat-Yang Berhormat; Anggota-Anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan, Bagi pihak Kerajaan dan bagi pihak rakyat yang menyokong penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi Negara ini, saya ingin mengalu-alukan tuan-tuan dan puan-puan sebagai anggota Majlis yang akan menentukan masa depan ekonomi negara kita.

2. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana kesudian tuan-tuan dan puan-puan menjadi ahli Majlis ini yang mana tugas yang dipertanggungjawabkan kepada tuan- tuan dan puan-puan adalah amat berat dan tidak mudah dilaksanakan.

3. Dasar ekonomi sesebuah negara bukan perkara yang kecil yang boleh ditentukan dengan mudah. Dasar ekonomi bagi negara majmuk seperti Malaysia lebih susah lagi untuk dibentuk, kerana tujuannya bukan sahaja pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melibatkan aspirasi ekonomi, politik dan sosial berbagai kaum yang mempunyai masalah dan kepentingan yang tersendiri. Justeru itu, tuan-tuan dan puan-puan akan menghadapi berbagai masalah dan kerumitan dalam membentuk dasar yang boleh diterima oleh rakyat negara kita ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Setelah penduduk berbilang kaum di Malaysia berjaya membebaskan diri mereka daripada belenggu penjajahan, masalah yang kita hadapi tidak lagi boleh disalahkan kepada penjajah. Mungkin buat beberapa tahun kita boleh menyalahkan penjajah tentang ketidakseimbangan kedudukan ekonomi, politik dan sosial kita. Tetapi selepas 31 tahun merdeka, jika kita masih lagi tidak dapat mengatasi masalah kita sendiri, kita tidak berhak menyalahkan orang lain. Kegagalan kita mestilah dipikul sepenuhnya oleh kita sendiri.

5. Sesuatu bangsa atau kaum yang berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan tidak akan rela dijajah pula oleh bangsa atau kaum yang lain. Di negara Malaysia yang merdeka, orang-orang Melayu tidak mahu dijajah oleh kaum lain, dan demikian juga orang-orang Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Bajau, Kenyah dan lain-lain suku kaum. Mereka berkehendakkan kebebasan, baik dalam bidang politik atau ekonomi atau sosial. Dengan perkataan lain, setiap kaum mesti mempunyai peluang dan kemungkinan untuk memperolehi kejayaan yang sama dalam semua bidang dan lapangan.

6. Tidak ada kaum yang mahu hanya menjadi petani atau penoreh getah atau pemandu teksi sahaja. Setiap kaum mesti ada yang menjadi ahli profesional, peniaga dan pengusaha, pegawai tinggi dan rendah dan lebih tepat lagi orang yang berada. Jikalau di Malaysia yang berbilang kaum ini, hanya satu kaum sahaja yang kaya, tinggal dalam mahligai dan menguruskan semua kekayaan negara, maka kaum yang lain tetap akan berasa tidak puas hati.

7. Lainlah halnya jika semua kaum akhirnya menjadi satu bangsa dengan mempunyai identiti yang khusus dan istimewa bagi negara Malaysia. Jika assimilasi seperti ini boleh berlaku, maka soal kaum tidak akan timbul. Tetapi awal-awal lagi kita berkeras tidak mahu asal-usul kita diketepikan. Kita ingin mengekalkan identiti kita dengan negara asal moyang kita, bahasa ibunda dan kebudayaan asli kita. Dengan itu kita kekalkan perbezaan kita daripada segi kaum. Maka perlulah pula kita berusaha mengimbangkan kedudukan kita dalam masyarakat yang berlainan kaum di Malaysia ini. Dan ini bukanlah perkara yang mudah. Negara-negara Barat yang sering mengkritik kita kerana tekanan kepada 'ethnic origin' amat berhati-hati dalam negara mereka sendiri supaya dominasi ethnik Caucasian tidak terancam.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Beberapa tahun selepas pencapaian kemerdekaan, kita khayal dengan kebebasan negara sehingga pucuk pimpinan tidak sedar akan desas-desus di kalangan rakyat mengenai ketidakseimbangan yang terdapat di antara kaum dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

9. Akibatnya pada 13 Mei 1969 kita dikejutkan oleh peristiwa rusuhan kaum. Dengan kesedaran bahawa ketidakseimbangan ini boleh membawa rusuhan, maka kita cuba mengatasi masalah ini melalui satu rancangan socio-economic engineering yang tidak pernah dicuba oleh mana-mana negara. Dasar Ekonomi Baru atau DEB yang kita ciptakan amatlah bercita-cita besar atau ambitious. Dalam jangkamasa 20 tahun kita percaya kita boleh menghapuskan kemiskinan dan mengimbangkan kedudukan ekonomi berbagai kaum tanpa menjejaskan kemajuan negara.

10. Menghapuskan kemiskinan amatlah tidak realistik. Di negara-negara yang maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, masih terdapat kemiskinan yang menyayat hati. Ramai daripada penduduk negara maju bergantung kepada 'dole' untuk hidup di paras yang amat rendah. Sistem komunis dan sosialis juga tidak berjaya menghapuskan kemiskinan. Pembahagian kekayaan sama-rata tidak menjadikan semua anggota masyarakat kaya. Sebaliknya, kedudukan sebenar di negara komunis dan sosialis ialah kebanyakan daripada rakyat mereka menghadapi serba kekurangan. Sebab itulah sekarang beberapa prinsip komunis dan sosialis telah diubahsuai dan ada juga yang digugurkan.

11. Sebenarnya masyarakat manusia hanya boleh mengurangkan paras kemiskinan sehingga tidaklah berlaku kebuluran seperti yang terdapat di beberapa buah negara. Dengan usaha yang gigih oleh rakyat dan pentadbiran yang bertanggungjawab, kemiskinan boleh dikurangkan, walaupun kemiskinan secara relatif tetap wujud.

12. Objektif Kedua DEB ialah menyusun semula masyarakat supaya pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dapat dikurangkan dan akhirnya dihapuskan. Dalam bidang korporat, ini ditafsirkan sebagai memberi milik ekuiti bidang ini sekurang-kurangnya 30% kepada bumiputera dan 40% kepada bukan bumiputera dan bakinya kepada orang-orang asing.

13. Hari ini kita sedar bahawa target kita ini agak terlalu optimistik. Walaupun Kerajaan telah menubuhkan beratus buah syarikat yang modalnya disediakan oleh Kerajaan secara langsung untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam bidang korporat, kita dapat mencapai hanya hampir 20% dalam ekuiti sektor ini. Jika tidak ada PNB, Pernas, Perbadanan- Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan lain-lain institusi amanah bumiputera, ekuiti bahagian bumiputera perseorangan hanyalah 12%.

14. Sebaliknya bahagian bukan bumiputera dalam sektor korporat tidaklah statik di paras 38% yang terdapat pada permulaan DEB. Mengikut angka yang diperolehi oleh Kerajaan, bahagian rakyat Malaysia yang lain telah meningkat kepada kira-kira 57%.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Di zaman kemelesetan, tekanan terhadap penyusunan semula masyarakat telah dikurangkan kerana kita tidak mahu pembahagian kekayaan antara yang berada menjejas peluang- peluang pekerjaan bagi yang menganggur yang sudah tentu ramai daripada mereka terdiri daripada yang miskin. Penubuhan institusi-institusi pelajaran dan tambahan bilangan biasiswa juga bertujuan mengurangkan kemiskinan, di samping mengurangkan pengenalan fungsi ekonomi mengikut kaum.

16. Kita masih mempunyai orang-orang yang miskin dan masih ada pembahagian aktiviti ekonomi mengikut kaum serta ketidakseimbangan pembangunan antara kaum. Justeru itu, soalan yang pertama ialah menentukan sama ada matlamat kita ini perlu dibetulkan atau tidak? Apakah kita masih bercita- cita memperjuangkan matlamat yang lama atau membentuk matlamat yang baru?

17. Kita harus ingat bahawa di negara berbilang kaum, lebih daripada negara yang penduduknya terdiri daripada satu kaum sahaja, ekonomi mempengaruhi politik. Stabil atau tidaknya sesuatu negara berbilang kaum bergantung kepada interaksi antara satu kaum dengan kaum yang lain. Mungkin juga persepsi sesuatu kaum terhadap masalah ini lebih mempengaruhi daripada hakikat yang sebenar.

18. Di Malaysia, kita tahu bahawa setiap kaum menganggap kaum yang lain lebih beruntung. Bumiputera umumnya menganggap bukan bumiputera lebih maju dan mewah kehidupan mereka. Sebaliknya, kaum bukan bumiputera pula menganggap bumiputeralah yang hidup lebih bahagia di negara ini. Siapakah yang benar? Mungkin kedua-duanya benar atau mungkin kedua-duanya salah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

19. Walau apa pun pendapat kita terhadap kesan DEB, kita perlu mengakui dan berbangga dengan pencapaian negara Malaysia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial semasa DEB dilaksanakan. Selama 31 tahun merdeka kita telah berjaya mengamalkan sistem demokrasi, kita telah berjaya mengadakan pilihanraya di mana calon parti pembangkang juga boleh menang, jika itu yang dikehendaki oleh pengundi-pengundi. Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan berjaya diamalkan di Malaysia.

20. Tetapi kejayaan yang ketara ialah pembangunan ekonomi negara. Daripada sebuah negara yang hanya membekal bijih timah dan getah mentah kepada negara-negara Barat, kita telah menjadi bukan sahaja pembekal timah, getah, kelapa sawit, koko, kayu tropika dan lain-lain bahan mentah kepada dunia, tetapi juga barang-barang buatan seperti komponen, elektronik, penghawa dingin, permainan kanak-kanak, dan insya-Allah motokar juga.

21. Pertumbuhan ekonomi meningkat dengan pesatnya sehingga dalam tahun-tahun tujuh puluhan paras pertumbuhan adalah 8% setahun. Pertumbuhan ini merosot sedikit di waktu kemelesetan ekonomi dunia, tetapi telah pulih semula sekarang.

22. Pendapatan per kapita yang ditaksirkan sebanyak US$350 di waktu pencapaian kemerdekaan, telah meningkat kepada US$2,000 pada awal lapan puluhan. Sekarang ini oleh kerana beberapa faktor termasuklah kejatuhan nilai ringgit, pendapatan per kapita turun kepada US$1,800 tetapi taraf hidup tidak terjejas kerana inflasi semasa kemelesetan hanya 1% sahaja. Jika dibandingkan dengan sesetengah negara membangun, di mana inflasinya meningkat begitu tinggi di waktu kemelesetan sehingga ada negara yang inflasinya meningkat 1,700%, pencapaian negara kita bolehlah dibanggakan.

23. Perkara yang tidak disenangi ialah paras pengangguran yang tinggi di zaman kemelesetan. Namun masalah ini sedang diatasi dengan peningkatan pelaburan asing. Satu tahap yang luar biasa telah dicapai pada tahun 1988 di mana pelaburan asing meningkat 200%, iaitu 2 kali ganda peningkatan biasa berbanding dengan tahun-tahun yang terbaik dahulu.

24. Kebanyakan kejayaan dalam bidang ekonomi ini dicapai di dalam tempoh DEB. Mungkin negara dapat mencapai kejayaan yang lebih jika tidak ada DEB seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pertumbuhan ekonomi di Malaysia semasa DEB adalah lebih baik daripada pertumbuhan di kebanyakan negara membangun yang tidak menghadapi apa yang dikatakan gangguan kerana DEB.

25. Pelaksanaan DEB memang diubah-suaikan mengikut keadaan dan iklim ekonomi dalam dan luar negeri. Di waktu dunia mengalami kemelesetan dan negara kita turut merasainya, penekanan DEB ialah kepada matlamat yang pertama, iaitu membasmi kemiskinan. Pada masa ini peratusan pengangguran telah meningkat bukan sahaja di kalangan pekerja biasa tetapi juga di kalangan mereka yang berpelajaran tinggi. Di masa ini juga kemampuan bumiputera dan Kerajaan melabur atau membeli saham amat terhad. Justeru itu tekanan diberi kepada pengwujudan peluang-peluang pekerjaan. Amatlah tidak adil jika pekerja-pekerja yang menganggur dipaksa menunggu sehingga bumiputera yang lebih berada mampu melabur sebelum pelaburan asing atau pelaburan tempatan dibenarkan. Kerajaan telah melonggarkan syarat pemilikan saham oleh bumiputera untuk memudahkan pelaburan dan penubuhan syarikat oleh para pelabur asing. Strategi ini telah membawa hasil yang baik dan ini terbukti dengan pesatnya peningkatan pelaburan serta bertambahnya peluang-peluang pekerjaan.

26. Namun demikian kita perlu mengakui fakta-fakta lain yang menolong meningkatkan pelaburan asing di negara kita, seperti tekanan terhadap matawang Jepun, Korea dan Taiwan supaya dinaikkan nilainya, fakta GSP yang ditarik balik oleh negara maju terhadap negara-negara NIC, turunnya nilai matawang ringgit dan lain-lain lagi. Walaupun benar fakta- fakta lain ini memainkan peranan, hakikat yang perlu diakui ialah negara lain juga mendapat kesan daripada fakta-fakta ini tetapi mereka tidak begitu berjaya mengatasi kesan kemelesetan. Pemulihan ekonomi yang kuat di Malaysia dengan penduduk berbilang kaumnya tidak terdapat di kebanyakan negara membangun termasuk di negara-negara yang penduduknya lebih homogeneous.

27. Dakwaan ini bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan pencapaian negara lain tetapi ianya adalah satu kebenaran. Jika negara kita tidak mencapai kejayaan, tidak dapat tidak perbandingan akan dibuat dengan negara lain yang mencapai kejayaan. Mengikut pendekatan yang sama, apabila kita mengukur prestasi kita, terpaksalah kita membuat perbandingan pula dengan prestasi negara lain yang setaraf dengan kita.

28. Dakwaan bahawa DEB tidak adil, bahawa Kerajaan memutar- belitkan angka-angka statistik sering dibuat sekarang oleh satu kumpulan chauvinist dengan lantang. Kumpulan chauvinist yang lain juga boleh membalas dengan dakwaan yang sama terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah kita, tetapi ia sebenarnya akan menambah dan memburukkan lagi masalah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

29. Kerajaan amat dukacita kerana langkah liberal yang diambil oleh Kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan ini telah cuba dipolitikkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Mereka cuba mengaitkan keahlian Majlis ini dengan kepentingan politik mereka. Mereka cuba mendapat sesuatu bagi diri mereka dengan mengambil kesempatan daripada kesediaan Kerajaan memberi peluang kepada mereka memainkan peranan dengan lebih bermakna dalam menentukan masa depan dan nasib negara. Mereka cuba memberi gambaran yang buruk terhadap satu usaha Kerajaan yang melebihi amalan demokrasi biasa.

30. Kerajaan khuatir jika sikap dan pendekatan ini diteruskan, usaha yang mulia ini akan gagal mencapai matlamatnya. Kerajaan tidak sanggup dan tidak boleh dipersalahkan jika usaha ini menemui kegagalan. Oleh itu Kerajaan merayu kepada semua pihak, sama ada yang menganggotai Majlis Perundingan ini atau yang tidak, supaya memberi perhatian yang serius kepada usaha yang istimewa ini. Terimalah pendekatan ini sebagai satu tindakan ikhlas Kerajaan untuk melibatkan lebih ramai rakyat dalam menentukan nasib negara.

31. Jika pendekatan ini mendatangkan hasil yang baik yang membawa manfaat kepada negara, ia boleh digunakan dalam menghadapi berbagai masalah lain. Tetapi, jika pendekatan ini diperalatkan untuk tujuan politik atau kepentingan tertentu yang lain, maka sukarlah bagi Kerajaan dan negara menerima cara ini untuk mengatasi masalah-masalah lain yang mungkin timbul dalam negara ini dari semasa ke semasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

32. Kerajaan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990 ini kerana sudi menerima jemputan Kerajaan. Kerajaan berharap perbincangan Majlis ini akan berjalan dengan lancar dan akhirnya membawa kejayaan yang diharapkan.

33. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990 dengan rasminya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: