Tahun 2000 – PERASMIAN SIMPOSIUM `JATI DIRI MELAYU ABAD 21′ SEMPENA PELANCARAN KURSI ZA’BA

Lokasi :DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC, KUALA LUMPUR

Tarikh :29/04/2000

Saya mengucapkan tahniah kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah berjaya menganjurkan satu simposium yang membicarakan `Jati Diri Melayu Abad 21' bersempena dengan Pelancaran Kursi Za'ba. Usaha ini dapat mengingatkan kembali jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Pendeta Za'ba kepada bangsa Melayu.

2. Allahyarham Pendeta Za'ba semasa hayatnya menjadi contoh anak Melayu yang berpandangan global dan mempunyai visi dalam tindak-tanduknya. Ini dapat dilihat daripada pandangan-pandangan yang dikemukakannya melalui tulisannya tentang pendidikan, kepercayaan dan politik orang Melayu. Pandangannya bukan sahaja sesuai untuk masanya malahan sesuai juga untuk menangani masalah-masalah selepasnya.

3. Za'ba sendiri menyedari peranan pendidikan sebagai agen perubahan sosial yang penting. Pada pendapatnya ilmu dan pengetahuan itu merupakan syarat utama bagi meneroka ke bidang-bidang yang lain. Ini menyebabkan Za'ba sentiasa cuba menjelaskan erti ilmu dan pengetahuan, menerangkan kepentingannya, dan menyarankan beberapa pendapatnya sendiri dalam usaha beliau mencari penyelesaian kepada masalah pendidikan masyarakat Melayu. Dalam hal ini beliau mengesyorkan supaya diperkenalkan konsep `pendidikan yang sempurna', iaitu percantuman antara pendidikan ilmu duniawi dengan pendidikan ilmu agama. Kesepaduan ini hendaklah seberapa dalam yang boleh pada kedua-duanya. Jika diteliti dengan mendalam, konsep pendidikan yang diyakini oleh Za'ba adalah selaras dengan pemikiran yang diutarakan oleh sarjana pendidikan Islam mutakhir.

4. Sebagai seorang yang berpandangan jauh, Za'ba memberi penekanan kepada penguasaan bahasa asing selain bahasa sendiri. Kepentingannya dapat dilihat sebagai satu sumber atau perantaraan untuk membolehkan sesuatu masyarakat itu bukan sahaja sekadar memahami keadaan dan pemikiran masyarakat sendiri, tetapi juga masyarakat lain. Bahasa Arab baginya penting untuk memahami, mendalami dan menjaga kesempurnaan Islam; dan bahasa Inggeris pula untuk mendapatkan ilmu yang sesuai dengan kehendak zaman.

5. Masalah agama selalu memenuhi pemikiran beliau terutama kritikannya kepada golongan menengah pada zamannya yang meringankan pelajaran agama anak-anak mereka. Sementara beliau berpendapat penguasaan bahasa Inggeris sebagai penting beliau menegur golongan yang menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris semata-mata kerana harapan supaya anak-anak mereka boleh makan gaji dan dapat hidup senang. Tanpa pelajaran agama perbuatan ini boleh membahayakan masyarakat Melayu kerana agama Islam sudah menjadi dasar keimanan dan landasan pemikiran orang Melayu di samping menjadi halangan kepada kerja-kerja mungkar.

6. Pemerhatian Za'ba terhadap bangsanya adalah menyeluruh. Kelemahan orang Melayu menurut pandangan Za'ba disebabkan salah tafsir masyarakat terhadap perkara-perkara pokok dalam keimanan. Contohnya pengertian perkataan `takdir'. Orang Melayu pada umumnya memberi pengertian takdir sebagai `nasib' yang tidak boleh diubah walaupun usaha boleh dibuat untuk memperbaikinya. Dengan itu orang Melayu tidak dinamik dan menyerah sahaja kepada apa yang menimpa mereka. Pepatah Melayu berkata "Beras secupak tidak akan menjadi segantang". Pandangan beliau ini ditolak oleh masyarakat di zamannya walaupun kita tahu Nabi juga berhijrah ke Madinah untuk mengubah nasib yang buruk yang menimpanya di Mekah.

7. Kesedarannya dalam bidang politik dapat dikesan setelah dia mula berjinak-jinak dengan Kaum Muda pimpinan Sheikh Mohd. Tahir Jalaluddin yang sentiasa meniupkan semangat patriotik dan wawasan ke arah pemerintahan sendiri. Penglibatannya menjadi semakin serius semasa beliau bertugas di Malay College Kuala Kangsar. Kegiatannya telah dihidu oleh Inggeris. Akibatnya beliau telah tidak dinaikkan pangkat dan ditahan gaji selama lima tahun. Beliau tidak pernah patah semangat dalam menyedarkan orang Melayu tentang niat buruk politik Inggeris di Malaya. Maka itu, apabila pihak Inggeris kembali semula menjajah Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua dengan memperkenalkan gagasan yang merugikan pribumi beliau sanggup memimpin masyarakat Melayu menentang Malayan Union walaupun pada masa itu keadaan kesihatannya kurang mengizinkan. Baginya segala perancangan Inggeris adalah bertujuan untuk melemah dan menguasai orang Melayu.

8. Persoalan Melayu tidak pernah selesai untuk dibicarakan. Senario yang ditunjukkan oleh Za'ba semasa hayatnya merupakan contoh jati diri Melayu yang dapat dicontohi dan dibanggakan. Kita berharap akan lahir lebih ramai ahli masyarakat Melayu sekental Za'ba kerana agenda Melayu belum selesai dan kita masih jauh daripada mencapai matlamat kita.

9. Bahawa orang Melayu dan Malaysia masih terdedah kepada bahaya besar dapat dilihat daripada peristiwa serangan penyangak matawang Barat pada tahun 1997-1998. Serangan ini menjadikan kita begitu miskin sehingga kita hampir tunduk kepada tekanan kuasa asing untuk menyerahkan pengurusan ekonomi kita kepada mereka. Semua negara lain yang diserang dan dimiskinkan oleh kuasa asing terpaksa menyerah pengurusan ekonomi mereka kepada kuasa asing. Ini bermakna mereka telah hilang kebebasan memerintah negara sendiri. Tetapi kita berjaya mengelak daripada nasib ini dan mencipta cara kita sendiri untuk menangkis serangan asing dan memulih semula ekonomi negara kita.

10. Kali ini kita berjaya. Tetapi perubahan yang ketara sudah dilakukan dalam orde ekonomi dunia, bahkan dalam pemikiran masyarakat dunia. Dengan memperkenalkan globalisasi dan dunia tanpa sempadan, penghargaan terhadap kemerdekaan dan kebebasan negara dapat dikurangkan. Penduduk negara yang baru sahaja terlepas daripada belenggu penjajahan sekarang ini menerima pendapat bahawa kemerdekaan tidak begitu penting kerana sempadan menghalang kemasukan modal, barangan dan kepakaran yang boleh menjadi kehidupan rakyat lebih bahagia.

11. Apabila sahaja kemerdekaan dicapai masing-masing negara cuba untuk membuat sendiri dan mengeluarkan barangan yang biasanya diimport. Ini sudah tentu menaikkan harga barangan ini tetapi teknologi yang dipelajari dapat menjadikan beberapa daripada negara ini pengeluar barangan yang mampu bersaing dengan barangan negara maju bekas penjajah dahulu. Jika tidak ada perlindungan cukai import industri pembuatan di negara membangun tidak mungkin dijayakan.

12. Hari ini kita digesa supaya perlindungan dihapuskan dan barangan buatan kita dipaksa bersaing dengan barangan import tanpa cukai dari negara maju yang lebih murah kerana `economies of scale' dan lain- lain. Sudah tentu barangan tempatan dan industri tempatan akan ditewas dan akan gulung tikar.

13. Ini adalah satu contoh kesan daripada globalisasi. Banyak daripada industri dan perniagaan kita akan ditutup dan diambil alih oleh syarikat asing. Kita akan kembali menjadi pengeluar bahan mentah seperti getah, bijih timah, kelapa sawit yang harga semuanya akan ditekan turun. Sudah tentu kita akan menjadi miskin dan negara yang miskin mudah dikuasai dan dijajah orang.

14. Kemungkinan ini berlaku menjadi lebih besar kerana rakyat kita juga asyik sambut apa sahaja yang disarankan oleh orang Barat. Mereka sendiri akan menyerang pemerintahan negara sendiri dengan tuduhan yang direka oleh orang asing. Demikian apabila orang asing menuduh Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan beberapa kerat kroni pemimpin, mereka turut menjerit kroni-kroni. Bahawa apa yang ada pada mereka sendiri semuanya adalah hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru diketepikan. Jika orang Barat kata kroni maka tentulah kerana ia adalah benar. Tidak mungkin orang putih membuat dakwaan yang tidak benar.

15. Sekarang Barat mempromosikan globalisasi maka orang yang sama turut memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada globalisasi. Jika akibatnya ekonomi negara merosot, kita jadi miskin dan kehilangan kebebasan kita, mereka akan menyalahkan Kerajaan sendiri.

16. Kita sedar bahawa kita terlalu lemah untuk menahan roda globalisasi. Sementara kita membuat persediaan kita juga perlu mencuba mempengaruhi bentuk globalisasi supaya ianya tidak terlalu merugikan kita. Demikian juga dengan K-ekonomi. Kita perlu pelajari selok-belok K-ekonomi supaya kita akan mendapat sedikit keuntungan daripadanya. Amatlah merbahaya jika kerana kita tidak bersetuju dengan bentuk globalisasi, kita menolak segala usaha untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk menangani K-ekonomi.

17. Kita telah rugi dahulu kerana kita menolak pelajaran dalam Bahasa Inggeris di zaman penjajah kerana takut kita akan jadi orang Kristian. Penolakan ini telah menjadikan orang Melayu bangsa yang ketinggalan dalam penguasaan pelbagai ilmu yang penting.

18. I.T. atau teknologi maklumat boleh mendedahkan kita kepada budaya hedonis (budaya keseronokan hidup) Barat yang boleh merosakkan aqidah kita. Kita lihat di Barat mereka keterlaluan dalam mengejar keseronokan berasas kepada memuaskan nafsu seks sehingga institusi perkahwinan dan keluarga sudah dihapuskan. Pendedahan kepada budaya ini melalui I.T., terutama Internet boleh menghakis budaya Melayu secara langsung. Bahaya yang kita hadapi lebih besar daripada kononnya kita akan menukar agama kerana belajar Bahasa Inggeris dan ilmu- ilmu dari Barat. Tetapi menutup mata dan menolak teknologi maklumat bukan caranya untuk kita menyelamatkan diri kita.

19. Kerajaan telah berusaha untuk membentuk budaya baru bagi orang Melayu supaya mereka dapat menangkis pengaruh yang tidak sihat. Melayu yang memiliki budaya baru ini dikenali sebagai Melayu Baru. Mereka disemai dengan nilai-nilai hidup yang baik yang boleh menangkis pengaruh buruk dari luar. Melayu Baru bukan kaki minum arak, tahi judi, kaki perempuan, menolak agama Islam dan adat resam orang Melayu seperti yang cuba digambarkan oleh mereka yang ingin orang Melayu terus kolot dan tidak mampu menangani cabaran zaman moden. Melayu baru yang dimaksudkan ialah yang terpelajar, bersemangat, berani menghadapi cabaran dan pegangan kepada Islam tidak terhad kepada rupa bentuk tetapi kepada nilai-nilai Islam seperti amanah, tidak mungkir janji, ikhlas, berfikiran waras, toleran dan tidak mudah menuduh orang Islam lain sebagai tidak Islam. Melayu seperti ini tidak akan mudah tergoda dengan nafsu tetapi sebaliknya boleh mengatasi cabaran dengan pendekatan yang rasional.

20. Di masa yang sama identiti Melayu tidak akan hilang. Semangatnya, kesetiaannya dan kesanggupan mempertahankan bangsa dan agamanya akan menjadi lebih kuat dan era I.T. akan dikuasai olehnya secara menyeluruh.

21. Sesiapa yang menghalang pembentukan Melayu Baru ini adalah sama dengan orang zaman dahulu yang percaya mempelajari ilmu dalam Bahasa Inggeris akan menyebabkan orang Melayu menjadi Kristian. Melayu Baru mampu menguasai I.T. dan tidak terlibat dengan minum arak dan maksiat yang lain kerana Melayu Baru memiliki dan mengamalkan nilai-nilai murni yang memberi kekuatan kepada orang Islam di zaman kegemilangan Islam. Melayu yang kolot yang anggap dunia yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat manusia sebagai syurga bagi orang bukan Islam tetapi untuk orang Islam disediakan syurga di akhirat sahaja akan menjadi lemah sehingga mereka akan dijajah semula. Kita belum boleh yakin orang yang miskin dalam serba-serbi, akan kukuh dan kuat imannya. Kemungkinannya ialah iman mereka lebih lemah.

22. Apakah pendirian Za'ba terhadap pemikiran kolot yang menolak ilmu dalam Bahasa Inggeris. Semasa perjuangan orang Melayu untuk menebus maruah, Za'ba dikenali sebagai seorang patriot dan saya adalah antara ramai yang mengikuti peranannya. Satu cerita yang mencerminkan pandangan Za'ba terhadap orang yang kolot adalah seperti berikut:- "Orang Melayu, kata Za'ba, adalah orang yang berbudi bahasa. Jika mereka berjalan dan ada orang lain yang berjalan atas batas yang sama ke arahnya, orang Melayu yang berbudi bahasa akan mengenepikan diri untuk memberi jalan kepada orang lain. Di kampung, ini tidak menjadi masalah kerana tidak ada ramai orang yang berjalan-jalan. Apabila orang Melayu yang berbudi bahasa ini pergi ke bandar ia juga berhenti dan mengenepikan diri untuk memberi jalan kepada orang lain. Tetapi di bandar orang yang berjalan di jalan begitu ramai dan orang yang terlalu berbudi bahasa tidak akan dapat bergerak kerana memberi jalan kepada orang lain."

23. Maksud Za'ba sementara budi bahasa mesti dikekalkan tetapi dalam keadaan yang berlainan ia perlu ditukar supaya orang Melayu dapat bergerak dan dapat maju ke hadapan. Bagi Za'ba Melayu Baru di zamannya ialah Melayu yang berbudi bahasa tetapi juga sedar akan perubahan dalam persekitarannya dan perlunya perubahan sikap untuk memajukan dirinya.

24. Di zaman ini pertukaran yang lebih besar perlu dibuat oleh orang Melayu jika mereka ingin bersaing dengan bangsa-bangsa lain dengan jayanya tanpa kehilangan identiti dan agamanya.

25. Budaya sesuatu bangsa dikekalkan melalui didikan di rumah dan di sekolah. Untuk membentuk budaya Melayu Baru, sekolah iaitu guru perlu memainkan peranan yang besar. Untuk menentukan guru-guru memiliki kebolehan menyemai nilai-nilai murni yang boleh membentuk Melayu Baru, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan maktab- maktab perguruan yang lain mempunyai tanggungjawab dan peranan. Guru-guru yang dilatih dalam institusi- institusi ini perlulah diberi kursus intensif supaya mereka bukan sahaja dapat menyampaikan ilmu tetapi juga menyemai budaya Melayu Baru secara langsung dan tidak langsung di kalangan murid mereka. Dengan itu akan terbentuklah peribadi yang mulia dan jatidiri, peribadi yang memiliki segala kualiti yang diperlukan untuk menjayakan dirinya, bangsanya, agamanya dan negaranya, di kalangan generasi akan datang. Maka akan terselamat dan majulah bangsa Melayu seperti yang diharapkan oleh Za'ba.

26. Hari ini kita melancarkan Kursi Za'ba. Memperingati jasa Za'ba dengan menamakan sebuah kursi dengan namanya memanglah sesuatu yang baik. Tetapi lebih besar daripada hanya memperingati nama seorang jaguh kebangsaan ialah dengan memahami falsafah dan pendekatan perjuangan Za'ba dan meneruskannya dalam konteks zaman ini. Pembaharuan seperti yang diperjuangkan oleh Za'ba bukan statik dan beku. Ia adalah dinamik dan terpulanglah kepada generasi- generasi yang menyusul Za'ba untuk menjayakan perjuangannya secara berterusan.

27. Sultan Idris Training College (SITC) telah memainkan peranan yang besar dalam menyedari orang Melayu akan nasib mereka dan melahirkan pemimpin- pemimpin Melayu yang telah membebaskan bangsa dan negara. Sekarang SITC telah menjadi sebuah universiti, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tradisi yang cemerlang SITC mestilah diteruskan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris melatih dan mengeluar pemimpin- pemimpin yang berkaliber, pemimpin yang jatidiri dan cekal, yang memiliki ilmu-ilmu moden tanpa melupakan budaya bangsa dan ajaran agama, yang dapat memimpin bangsa dan negara yang tercinta ini supaya Melayu yang tidak akan hilang di dunia adalah Melayu Baru yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju di dunia, insya-Allah. Tidak ada tugu yang boleh dibina untuk Za'ba yang boleh membanggakannya seperti tugu budaya Melayu Baru yang dicita-citakan olehnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: