Tahun 2003 – PEMBENTANGAN USUL MEMBANTAH TINDAKAN KETENTERAAN SECARA UNILATERAL OLEH AMERIKA SYARIKAT DAN SEKUTUNYA KE ATAS REPUBLIK IRAQ

Lokasi :DEWAN RAKYAT

Tarikh :24/03/2003

Mengikut peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan Rakyat, saya mohon mencadangkan satu usul seperti berikut:

BAHAWA, Amerika Syarikat dan sekutunya telah melancarkan serangan ketenteraan secara unilateral ke atas Republik Iraq tanpa sokongan dan kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

BAHAWA, tindakan ketenteraan secara unilateral oleh Amerika Syarikat dan sekutunya melanggar prinsip undang- undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

BAHAWA, tindakan ketenteraan secara unilateral ini tidak mempunyai sebab-sebab yang rasional yang boleh diterima sama sekali;

BAHAWA, tindakan ketenteraan secara unilateral ini yang merupakan tindakan pre-emptif, tidak dibenarkan oleh Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang- undang antarabangsa;

BAHAWA, tindakan ketenteraan secara unilateral ini yang bertujuan menukar Kerajaan Iraq merupakan pencerobohan ke atas sebuah negara yang bebas dan berdaulat;

DENGAN ini Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:

(1) Mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan secara unilateral oleh Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq;

(2) Menggesa Amerika Syarikat dan sekutunya menamatkan tindakan ketenteraan secara unilateral ke atas Iraq dengan serta merta;

(3) Menggesa semua pihak yang berkenaan supaya berusaha sedaya upaya untuk segera kembali kepada proses penyelesaian secara aman dalam memastikan Republik Iraq mematuhi resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan; jika didapati benar Iraq memiliki senjata pemusnah;

(4) Mendesak supaya Amerika Syarikat dan sekutunya menghormati hak asasi manusia rakyat Iraq dan prinsip- prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya "Geneva Convention relative to the Protection of Civilian Persons in Time of War";

(5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara- negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan negara-negara yang sependapat untuk mendukung prinsip- prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani isu berkaitan hubungan antara negara;

(6) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kecemasan kepada rakyat Republik Iraq dengan segera;

(7) Supaya dewan ini juga membuat ketetapan menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Amerika Syarikat, Britain, Sepanyol dan Australia.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq.

2. Pada hari ini dunia berhadapan dengan keadaan yang amat cemas dan merbahaya berikutan tindakan Amerika Syarikat serta sekutunya menyerang Iraq tanpa izin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah dunia di mana sebuah kuasa besar bersama sekutunya, tanpa menghiraukan undang- undang antarabangsa, kemanusiaan dan keadilan telah menyerang sebuah negara yang tidak lagi berkeupayaan untuk mempertahankan diri sendiri, apatah lagi mengancam negara kuasa terbesar. Dakwaan kononnya Iraq merbahaya dan mengancam seluruh dunia dengan senjata pemusnah tidak masuk akal sama sekali, dan tidak boleh diterima sebagai sebab serangan di lancar.

3. Lebih menyedihkan lagi ialah tindakan ketenteraan dengan menggunakan senjata paling canggih dan pengeboman secara besar-besaran ke atas Iraq yang telah pun dipaksa terlebih dahulu memusnahkan senjata pertahanan mereka atas arahan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amatlah tidak adil. Rakyat Iraq yang telah menderita selama 12 tahun kerana sekatan dagangan, sehingga 1.5 juta orang telah mati kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan, sekarang ini di hadapi pula dengan serangan bom dan roket. Mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka daripada serangan ini dan tidak ada apa-apa cara bagi mereka menyelamatkan diri mereka. Tempat berlindung dari bom atau "bomb shelter", dengan izin, pun tidak selamat kerana bom yang diguna boleh menembusi konkrit dan tanah. Ini sebenarnya bukan peperangan kerana yang menyerang ialah kuasa yang terbesar di dunia dan yang diserang ialah negara yang tidak lagi mempunyai keupayaan pertahanan. Kemenangan sudah tentu akan diperolehi oleh kuasa besar dalam jangka masa yang pendek. Tetapi samada masa panjang atau pendek, yang tetap berlaku ialah ramai rakyat Iraq akan terbunuh dan cedera.

4. Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara di dunia telah bersetuju untuk menubuhkan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu untuk menyelamatkan dunia daripada peperangan. Dunia memberi kepercayaan kepada lima kuasa besar dengan memberi kuasa veto kepada mereka. Ini adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi. Tetapi dunia rela memberinya kerana mempercayai bahawa mereka boleh menyekat mana-mana satu daripada mereka daripada bertindak ganas dengan mengguna kuasa veto ini. Lagipun dunia percaya kuasa-kuasa besar ini, terutama yang bukan Komunis adalah negara yang berpegang kepada prinsip dan tidak akan mungkir janji.

5. Amat malang sekali kerana yang mungkir janji ialah negara yang sering mendesak supaya prinsip mesti dijunjung walau apa pun terjadi. Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri diketepikan oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan tindakan yang bertentangan dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan segala undang-undang antarabangsa dicampak keluar tingkap oleh negara ini. Tindakan unilateral di ambil dengan tidak segan-segan dan malu. Harapkan pagar, pagar yang makan padi.

6. Ini adalah kali kedua Amerika Syarikat memusnahkan badan antarabangsa yang dipelopori oleh mereka sendiri untuk mengharamkan perang. "The League of Nations", yang di tubuh selepas Perang Dunia Pertama juga di musnah oleh Amerika Syarikat.

7. Sekarang negara-negara lain terutama yang kecil dan lemah tidak lagi selamat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lagi dapat melindungi mereka daripada keganasan kuasa-kuasa besar. Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa sudah tidak bermakna lagi. Kita sudah kembali ke zaman batu yang mana kekuatan menentukan kebenaran. Kita boleh ramal di masa hadapan sempadan negara yang merdeka akan dicabuli dengan sesuka hati kuasa besar. Tuduhan boleh di buat bahawa negara tertentu tidak demokratik, tidak menghormati hak asasi manusia, tidak memberi kebebasan beragama dan lain-lain dan pihak yang menuduh akan campur tangan secara langsung untuk menukar Kerajaan, mengadakan "regime change", dengan izin, menghalau keluar pemimpin bahkan membunuh pemimpin yang tidak disukai. Inilah dunia selepas undang-undang antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu dimusnahkan. Tidak ada lagi "the rule of law", dengan izin kerana mereka yang mencipta slogan ini, mereka sendiri yang mencabulnya. Jika ada sesuatu yang bersifat pemusnah, tindakan mencabul segala prinsip yang menentukan dunia aman dan bebas daripada penindasan, tindakan inilah pemusnah yang terbesar setelah kuasa terbesar, kuasa nuklear mencabulnya.

8. Malaysia sememangnya bersetuju bahawa senjata pemusnah merupakan suatu ancaman kepada masyarakat antarabangsa. Dunia tidak perlu kepada senjata jenis ini. Tindakan yang perlu diambil ialah memusnahkan semua senjata ini tanpa apa- apa keistimewaan kepada mana-mana negara. Tetapi kita dapati sementara Iraq tidak dibenar, musuh Iraq seperti Israel dibenar.

9. Apakah Israel yang membunuh rakyat Palestin dengan sewenang-wenangnya boleh dipercayai tidak akan mengguna senjata pemusnah seperti bom nuklear ke atas musuhnya? Sebenarnya Israel dan juga Amerika Syarikat telah mengancam mengguna senjata nuklear mengikut budi bicara mereka dalam keadaan tertentu.

10. Setelah diperiksa dan diselidik berkali-kali pasukan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak menemui senjata pemusnah di Iraq. Mungkin Iraq menyembunyinya. Tetapi senjata ini bukanlah mudah untuk di sembunyi. Kuasa besar mempunyai alatan yang canggih yang boleh mengesan semua senjata nuklear dan kilang kimia. Kalau dapat di sembunyi pun tentulah tidak mencukupi untuk memusnahkan dunia atau pun Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Jika Iraq cuba menggunakannya, kuasa besar dengan senjata nuklearnya yang lebih banyak dan lebih kuat boleh musnahkan seluruh Iraq dan kepimpinannya. Apakah rakyat Iraq perlu dibunuh untuk mengesan senjata pemusnah yang mungkin tidak ada di Iraq sama sekali? Kononnya Bush dan Blair ingin menyelamatkan orang Iraq. Apakah makna keselamatan bagi rakyat Iraq yang dibunuh?

11. Akhir-akhir ini yang jelas bukanlah mengesan senjata pemusnah milik Iraq tetapi objektifnya telah bertukar kepada penyingkiran Kerajaan Iraq dan menjayakan objektif strategik Amerika Syarikat dan sekutunya. Untuk menjayakan strategi ini bukan sahaja Iraq mesti dikalahkan tetapi seperti lepas Perang Teluk, tentera Amerika Syarikat mesti ditempatkan di Asia Barat selama-lamanya untuk mengawasi dan mengugut Kerajaan- Kerajaan di situ dan rakyat mereka. Ini bermakna demokrasi tidak mungkin wujud dan pemerintahan kuku besi oleh kuasa asing dengan Kerajaan-Kerajaan boneka mereka yang akan menjadi sistem dunia.

12. Kerajaan Negara-Negara Teluk mungkin terpaksa terima dikuasai oleh kuasa-kuasa besar tetapi besar kemungkinan rakyat mereka tidak akan terima dan tidak akan berdiam diri. Mereka akan bertindak ganas dan "terrrorism", dengan izin, akan berkembang pesat. Kita harus ingat dalam keadaan dunia terselamat tiba-tiba New York dan Washington di serang. Walau bagaimana berjaga- jaga Amerika Syarikat dan Britain, tidak mungkin keselamatan dijamin bagi semua orang di semua tempat di sepanjang masa. Jika tidak hari ini, esok, setahun lagi atau sepuluh tahun lagi serangan keganasan mungkin dilakukan oleh mereka yang menaruh geram sepanjang ingatan mereka. Dunia tidak akan selamat. Manusia akan hidup dalam ketakutan sepanjang masa. Ekonomi dunia tidak akan dapat dipulihkan. Kestabilan politik dan hubungan antarabangsa tetap tegang. Sebenarnya serangan 11 September lebih berjaya daripada yang disangkakan oleh pengganas, kerana reaksi yang tidak rasional oleh kuasa-kuasa besar. Sepatutnya sebab-sebab keganasan berlaku ditangani tetapi sebaliknya sebab-sebab keganasan ditokok tambah dengan tindakan yang tidak waras. Serangan ke atas Iraq tidak akan menolong mengurangkan kemungkinan serangan ganas akan berlaku lagi.

13. Oleh itu, Kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan Amerika Syarikat, Britain dan sekutu mereka ke atas Iraq. Negara berpegang teguh kepada pendirian bahawa peperangan bukan caranya menyelesaikan masalah permusuhan antara negara-negara. Perang hanya boleh dibenarkan untuk pertahanan dan keselamatan negara yang diserang. Perang pre-emptif, tidak boleh dibenarkan sama sekali terutama oleh kuasa besar dan kuncu-kuncu mereka ke atas negara lemah. Serangan unilateral mestilah terus diharamkan dan dunia patut bertindak ke atas sesiapa pun yang melanggar prinsip dan undang- undang antarabangsa.

14. Kita berasa lega kerana ada juga kuasa-kuasa besar yang menentang tindakan Amerika Syarikat dan Britain. Kita menyanjung tinggi pendirian Perancis, Russia dan China bersama dengan negara Jerman dan beberapa negara Eropah yang lain yang menentang tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya. Kita menyanjung tinggi demonstrasi menentang Amerika Syarikat dan Britain oleh rakyat mereka sendiri dan orang ramai di seluruh dunia.

15. Yang jelas ialah ini bukanlah peperangan orang Eropah atau orang Kristian ke atas negara Islam. Penentangan oleh Paus Paul, Ketua Gereja Katolik, Archbishop Canterbury Gereja Anglican dan Archbisop Roman Katolik British membuktikan orang Kristian umumnya tidak menyokong tindakan Amerika Syarikat. Ini bukan Perang Salib atau "Crusade", dengan izin. Ia adalah Peperangan Kuasa Besar Amerika Syarikat dan Britain terhadap negara lemah Islam Iraq. Ia adalah perbuatan imperialis yang masih ingin menguasai dunia. Selepas mencuba serangan ekonomi, mereka susuli pula dengan serangan ketenteraan. Jika negara yang di sasar adalah kuat, mereka sudah tentu tidak akan menyerang. Ini adalah sikap pengecut, sikap "bully", dengan izin.

16. Dalam keadaan cemas ini tindakan telah diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di Iraq dan di Asia Barat. Tiga Pesawat C-130 telah dihantar untuk membawa balik rakyat Malaysia.

17. Berhadapan dengan berbagai-bagai masalah yang mungkin mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan negara kita, beberapa tindakan telah dan sedang diambil. Yang terpenting sekali ialah menentukan kestabilan dan keamanan dalam negara.

18. Negara kita adalah negara demokratik. Tak dapat tidak rakyat dan parti-parti politik mempunyai pelbagai pandangan dan pendirian dalam pelbagai isu. Tetapi dalam isu pencabulan undang-undang antarabangsa dan serangan unilateral ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat dan Britain, saya harap kita rakyat Malaysia dan parti- parti politik dapat mengadakan pendirian yang sama. Sebarang perselisihan antara kita berkenaan dengan isu ini hanya akan membawa masalah dan melemahkan kita sehingga kita tidak dapat bertegas menentang pencabulan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, undang-undang antarabangsa dan serangan ke atas Iraq. Kita harus sedar kini giliran Iraq. Tidak ada negara yang akan selamat selepas ini. Mempertahankan Malaysia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

19. Malaysia bukan sahaja menjadi ahli Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tetapi juga menjadi Pengerusinya. Kita juga menjadi ahli OIC atau Organisasi Negara-Negara Islam. Di masa sebuah negara rakan dalam kedua-dua pertubuhan tersebut diancam dengan serangan ketenteraan amatlah penting kita memberi sokongan dengan menyuarakan tentangan kita terhadap tindakan ganas oleh seteru rakan kita, iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya.

20. Jika kita tidak merapatkan barisan negara-negara lemah ini, dengan kesanggupan oleh kuasa besar membelakangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita akan diancam sepanjang masa dan mungkin dijajah semula. Walau apa pun perbezaan pendapat di antara kita dan parti-parti politik kita, saya yakin tidak ada siapa di antara kita yang ingin negara kita dijajah semula.

21. Sebagai pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali saya telah mengutuskan surat menyatakan pendirian NAM menentang perang ke atas satu daripada ahli NAM, iaitu Iraq. Kita akan gunakan saluran ini untuk mendapat seberapa banyak mungkin negara-negara di dunia mengecam tindakan yang diambil oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

22. Saya harap Badan-badan Bukan Kerajaan Malaysia dapat menghubungi Badan-Badan Bukan Kerajaan di Amerika Syarikat dan Britain supaya bertindak mempengaruhi Kerajaan mereka menghentikan serangan ke atas Iraq. Hanya rakyat Amerika dan Britain sahaja yang boleh menghentikan Kerajaan mereka daripada menyerang Iraq dan kembali kepada pangkuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Jika Kerajaan-Kerajaan yang menolak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di singkirkan oleh rakyat mereka sendiri, maka mungkin Kerajaan-Kerajaan baru mereka akan kembali ke pangkuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

23. Kerajaan sedar bahawa pendirian kita tidak disenangi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Kita tidak benci orang Amerika. Kita tidak mahu bermusuh dengan Amerika Syarikat atau Britain atau sesiapa. Tetapi kita tidak boleh menutup mata kepada ketidakadilan dan penindasan. Apa yang dilakukan terhadap Iraq amatlah tidak adil dan menambah penindasan ke atas rakyat Iraq, yang selama 12 tahun telah disekat daripada bekalan makanan dan ubat-ubatan. Walaupun didakwa Kerajaan Iraq zalim, tetapi tindakan yang telah diambil ke atas rakyat Iraq selama 12 tahun dan sekarang ini jauh lebih zalim lagi. Walau bagaimana baik pun demokrasi, membunuh rakyat sesebuah negara supaya demokrasi diterima sebenarnya bercanggah dengan prinsip demokrasi dan tidak bermoral.

24. Agama Islam menyuruh kita mengubah nasib kita sendiri sebelum Tuhan mengubah nasib kita. Kita telah berusaha setakat yang boleh untuk menyelamatkan umat daripada bala bencana ini. Kita akan berusaha lagi sedaya upaya kita. Oleh itu wajarlah kita berdoa meminta pertolongan Allah subhanahuwataala.

25. Kerajaan menyarankan semua masjid-masjid di seluruh negara mengadakan sembahyang hajat dan berdoa supaya peperangan ini dihentikan dengan segera. Penganut agama lain juga perlu memohon perkara yang sama mengikut cara masing-masing.

26. Insyaallah berkat usaha dan doa daripada kita semua, mudah-mudahan tidak ramai daripada rakyat Iraq yang dibunuh dan dicederakan dan Amerika Syarikat dan Britain akan menghentikan serangan ganas mereka ke atas Iraq dengan segera.

27. Mudah-mudahan usaha dan doa kita akan dimakbulkan Allah subhanahuwataala.

28. Saya mohon mencadangkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: