Tahun 1995 – PELANCARAN PUTRAJAYA

Lokasi :TAPAK PROJEK PUTRAJAYA, SEPANG, SELANGOR

Tarikh :29/08/95

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Syukur alhamdulillah, kita dapat sama- sama hadir di Majlis Pelancaran Putrajaya pada hari ini. Satu lembaran sejarah telah tercipta apabila Kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru. Keputusan tersebut mula menjadi kenyataan fizikal dengan adanya Majlis Pelancaran Putrajaya pada pagi ini.

2. Pemindahan jentera pentadbiran negara dari Kuala Lumpur ke Putrajaya adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk mengimbang dan menyebarkan pembangunan dari Kuala Lumpur. Keputusan ini didorong oleh hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti persekitaran `urban' dan kehidupan di Kuala Lumpur serta menjamin pembangunan yang lebih tersusun di Lembah Kelang.

3. Kerajaan telah memilih Perang Besar di Selangor kerana lokasinya yang strategik di dalam koridor pembangunan Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Pada satu hari Kuala Lumpur, Putrajaya dan KLIA akan menjadi satu bandar gergasi atau `megacity' yang setanding dengan `megacity' seperti Tokyo Yokohama dan beberapa kombinasi `urban' yang lain.

4. Seperti yang telah dinyatakan, Pusat Pentadbiran Persekutuan di Perang Besar ini telah diberi nama Putrajaya bagi memperingati Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Satu Perbadanan yang diberi nama Perbadanan Putrajaya telah ditugaskan untuk mentadbir dan menguruskan segala usaha pembangunan serta perkara- perkara yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

5. Pusat Pentadbiran Putrajaya yang meliputi kawasan seluas 4,400 hektar akan menjadi kawasan `Multi-media Super Corridor' (MSC) seluas 15 kilometer kali 40 kilometer, iaitu antara Kuala Lumpur dengan KLIA. `Multi-media Super Corridor' boleh dilengkapi dengan satu rangkaian telekomunikasi bersepadu yang pantas untuk memenuhi keperluan-keperluan bagi `value-added telecommunication' yang terkini, perkhidmatan maklumat dan perkhidmatan multi-media. `Super Corridor' ini akan disambungkan ke `National Information Superhighway' dan seterusnya ke jaringan yang meliputi seluruh dunia.

6. Ini akan membolehkan Putrajaya menjadi sebuah bandaraya bistari dan `information hub' yang dinamik dalam aktiviti dagangan dan hubungan antarabangsa dan seterusnya dapat mewujudkan pusat pentadbiran kerajaan yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan pentadbiran yang efisien dan berkesan kepada rakyat dan masyarakat perdagangan antarabangsa.

7. Kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan telekomunikasi berbentuk jaringan dan `wireless' akan menjadi tulang belakang pembangunan Putrajaya. Kemudahan ini akan disematkan di dalam bangunan- bangunan di sekitar pejabat kerajaan, pusat perniagaan dan perdagangan serta aktiviti sivik dan awam.

8. Penyediaan kemudahan infrastruktur dan telekomunikasi, penubuhan `Data Warehouse Centre' akan membolehkan pengendalian dan pengurusan pejabat, pengawasan alam sekitar, penyelenggaraan dan pengurusan bandar dan infrastruktur, pengawalan lalu lintas, keselamatan, kecemasan serta perkembangan kebudayaan yang efisien di Putrajaya.

9. Kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan telekomunikasi yang canggih melalui `information highway' akan merangsang dan `synergise' Putrajaya sebagai bandaraya yang kaya dengan maklumat di abad ke- 21. Masyarakat Malaysia khususnya di persekitaran Putrajaya akan melalui era teknologi maklumat dan telekomunikasi moden. Untuk membolehkan Putrajaya berfungsi sebagai `information hub' dengan lebih berkesan, infrastruktur teknologi maklumat ini perlu diperluaskan ke kawasan sekitarnya dan seterusnya ke seluruh negara dengan jaringannya menjangkau ke seluruh dunia.

10. Dengan adanya kemudahan yang bermutu tinggi yang dirancang di dalam kawasan `Super Corridor' ini dan dengan insentif-insentif yang sesuai, Malaysia boleh menarik agensi-agensi terbaik yang memainkan peranan utama dalam bidang teknologi maklumat (IT), telekomunikasi dan multi-media untuk memulakan operasi di dalam kawasan `Multi-media Super Corridor' bagi kedua-dua bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta pemasaran. Ia juga boleh menjadi pusat pengurusan syarikat gergasi antarabangsa yang akan menempatkan kerja-kerja R&D dan pengeluaran yang bertaburan di seluruh dunia dengan dihubungi oleh kemudahan `multi-media' yang boleh mengganti keperluan menghantar maklumat, eksekutif dan modal secara fizikal. Segala-galanya akan diurus melalui telekomunikasi yang canggih.

11. Pembangunan `Multi-media Super Corridor' akan melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa dan syarikat- syarikat ini akan digalakkan untuk mengadakan hubungan dengan syarikat tempatan supaya dapat menghasilkan industri IT dan industri Multi-media tempatan yang mampu memainkan peranan utama di peringkat antarabangsa.

12. Dengan adanya `Multi-media Super Corridor' sebagai `catalyst' dan Putrajaya sebagai `spearhead' maka jaringan teknologi maklumat akan juga dapat dibangunkan di kawasan pusat pertumbuhan lain seperti kawasan utara Pusat Perindustrian Pulau Pinang/Kulim dan kawasan selatan wilayah Perindustrian Johor.

13. Ini akan memastikan Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan yang diperlukan untuk menuju ke arah pencapaian objektif Wawasan 2020. Dalam hal ini telekomunikasi, teknologi maklumat dan multi-media akan memainkan peranan utama.

14. Bagi mencapai persekitaran yang berkualiti dan bersih, pengangkutan awam yang cepat, selamat dan efisien serta penekanan kepada unsur-unsur bersepadu akan menjadi komponen utama dan penggerak aktiviti pembangunan Putrajaya. Antara mod-mod pengangkutan awam yang dicadangkan ialah `Express Rail Link (ERL)', Transit Aliran Ringan (LRT), Tram, Perkhidmatan Bas Awam, Teksi dan Perkhidmatan Feri.

15. Beberapa Terminal Pengangkutan Bersepadu akan diwujudkan di lokasi-lokasi yang strategik untuk memudahkan pertukaran mod pengangkutan dan semua terminal ini dibangunkan mengikut konsep `park and ride'. Dalam konteks ini kenderaan persendirian akan dikurangkan di kawasan pusat atau `core'.

16. Bertepatan dengan konsep Bandar Dalam Taman, perancangan lanskap dan rupa bentuk bandar akan menggunakan sepenuhnya ciri-ciri semula jadi tapak yang landai dan beralun, diselang-seli dengan taburan beberapa bukit dan lembah yang mengalirkan anak-anak sungai. Tasik buatan dijadikan penghubung serta pemisah antara satu kawasan dengan satu kawasan di samping menjadi satu `feature' yang menarik dan istimewa bagi bandar ini.

17. Pendekatan perancangan seumpama ini akan memberi satu pengertian yang padu dalam memajukan satu persekitaran bandar berteraskan pengekalan `eco- culture', peka dengan keceriaan alam sekitar, setia kawan lagi penyayang serta berlandaskan kebudayaan Malaysia.

18. Justeru itu, lanskap yang dirancang akan mementingkan pembentukan persekitaran hidup yang berkualiti melalui, antara lainnya, perwujudan satu sistem rangkaian taman-taman tasik dan kawasan lapang yang komprehensif yang bukan sahaja akan memberi pelbagai kepuasan kepada setiap pengguna malahan menjadi daya tarikan kepada pelbagai jenis burung dan haiwan. Adalah diharapkan bandar ini akan menjadi contoh bagaimana alam sekeliling tidak perlu disentuh atau dimusnah apabila dibangunkan.

19. Antara rangkaian taman yang dirancang termasuklah Taman Bandar, Taman Botani, Taman Persisiran Sungai dan Tasik, Dataran Sivik dan Rangkaian taman-taman kejiranan.

20. Pemilihan jenis pokok untuk Putrajaya akan menonjolkan kepelbagaian koleksi flora tempatan. Ini termasuklah jenis pokok yang beraneka bentuk dan rupa, warna bunga, bau-bauan serta lain-lain yang mempunyai ciri-ciri yang unik dan menarik.

21. Perancangan lanskap Putrajaya juga menonjolkan badan air iaitu tasik sebagai elemen penting persekitaran bandar. Tasik yang dibina mampu berperanan sebagai `climate modifier and moderator', berfungsi sebagai pendingin asli serta membentuk satu iklim mikro tempatan yang selesa.

22. Untuk membolehkan Putrajaya membangun sebagai bandaraya dalam taman, dinamik, terus maju dan berupaya untuk menjadi nadi pembangunan ekonomi dan maklumat, pembangunan di kawasan sekitarnya telah diselaraskan untuk menjadi penyokong dan pelengkap yang unik kepada pembangunan Putrajaya berdasarkan rancangan struktur yang disediakan.

23. Pembangunan Putrajaya akan memberi faedah langsung kepada kawasan sekitarnya. Seluas 10,000 hektar kawasan yang melibatkan tanah-tanah swasta, anak-anak syarikat Negeri Selangor serta kawasan Rizab Melayu akan dibangunkan bersama Putrajaya dan ini termasuk kemudahan infrastruktur, perdagangan, sosial yang setanding dengan Putrajaya.

24. Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini adalah satu catatan sejarah yang merupakan permulaan pelaksanaan pembangunan Putrajaya. Ini adalah antara kemuncak pencapaian negara dalam mewujudkan identiti masyarakat Malaysia yang berbudaya, berwibawa dan berpengetahuan selaras dengan Wawasan 2020.

25. Saya ingin merakam setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh rakyatnya kerana kerjasama dan kerelaan berkongsi pelbagai nikmat yang bakal wujud dengan terbinanya Putrajaya.

26. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan kepakaran dalam perancangan dan pembangunan Putrajaya. Saya berasa amat bangga terutamanya kerana bandar ini dirancang sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan akan dibangunkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Semua ini membuktikan apa yang boleh dihasilkan daripada semangat Persyarikatan Malaysia ke arah memenuhi Wawasan 2020.

27. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Penyayang saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Putrajaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: