Tahun 1994 – PERASMIAN KILANG KERETA PERODUA

Lokasi :RAWANG, SELANGOR

Tarikh :01/08/94

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilang kereta PERODUA pada hari ini.

2. Saya difahamkan kayu cerucuk pertama yang ditanam bagi pembinaan kilang ini dilakukan pada bulan Mac 1993 dan siapnya kilang ini dalam tempoh satu tahun mencerminkan semangat kerjasama yang jitu di antara rakan kongsi Malaysia dengan Jepun serta kesanggupan mereka untuk bertolak ansur bagi kebaikan semua.

3. Kira-kira 12 tahun yang lalu Kerajaan telah mengumumkan konsep kereta nasional sebagai salah satu usaha ke arah proses industrialisasi negara. Sungguhpun industri pemasangan kereta telah 15 tahun beroperasi sehingga ketika itu, namun industri tersebut masih tidak mampu menyediakan sebarang `impetus' kepada perkembangan industri komponen sepertimana yang diharapkan oleh Kerajaan. Ditinjau kembali ini mungkin kerana pemilik kilang pemasangan kereta yang biasanya juga pemegang francais, menganggap pemasangan kenderaan dan `procurement' alat ganti daripada pasaran tempatan adalah satu `unnecessary evil' bagi penjualan kenderaan tersebut. Pengeluar kereta, kebanyakannya dari Jepun juga keberatan untuk membenarkan alat-alat ganti mereka ditukar dengan alat-alat ganti buatan Malaysia. Oleh itu, aspirasi Kerajaan untuk mengindustrialisasikan industri motor negara menghadapi beberapa masalah. Kita sedar bahawa wujud ramai `skeptics' pada masa itu, baik di dalam mahupun di luar negara. Bagaimanapun, kini Proton mampu mencapai kejayaan yang membanggakan daripada segi komersil. Yang lebih penting, ia berjaya sebagai satu `impetus' untuk membantu industri komponen otomobil Malaysia berkembang seperti yang diharapkan sekarang. Malaysia kini mampu mengeluarkan lebih 80 peratus komponen kenderaan bermotor.

4. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan pemegang saham PERODUA kerana berjaya mempercepatkan projek ini sehingga ke tahap ini. Saya berharap semoga mereka yang terlibat dalam industri otomobil akan meningkatkan penggunaan barangan tempatan dan mengeksport kenderaan tersebut atau alat gantinya secepat mungkin. Peningkatan penggunaan bahan tempatan akan meningkatkan keupayaan dalam bidang kejuruteraan kereta dan menentukan wang kita tidak mengalir keluar.

5. Dalam usaha kita menempuh era baru, PERODUA dijangka menjadi sebahagian wawasan negara bagi mencapai industri otomobil negara yang bermutu, di mana syarikat Malaysia akan merekacipta, membangun dan mengeluarkan otomobil untuk pasaran dalam dan luar negara. Kita sebenarnya masih jauh daripada mencapai objektif ini. Sekalipun kita boleh menghasilkan komponen untuk membuat kenderaan itu sendiri, kita masih di tahap awal dalam mencipta dan membangunkannya sendiri. Oleh itu, pencapaian kemampuan tersebut mestilah menjadi objektif kita supaya kita menguasai industri motor sepenuhnya.

6. Kerajaan berharap PERODUA akan dapat menjadi salah sebuah syarikat yang mampu merekacipta, membangun dan menghasilkan otomobil Malaysia yang tulen. Oleh itu PERODUA harus mempunyai program-program untuk mencapai tahap tersebut. PERODUA tidak sepatutnya melihat kepada satu sumber sahaja bagi pemindahan teknologi, tetapi juga tempat-tempat lain di dunia yang sesuai. Kerajaan sentiasa akan menyokong usaha-usaha ini tetapi inisiatif mestilah datang dari PERODUA sendiri.

7. Kemampuan ini mestilah merangkumi keupayaan dalam kejuruteraan pengeluaran dan rekacipta serta pembangunan.Di samping itu adalah penting mereka yang terlibat mencari rakan kongsi yang bersedia memberikan teknologi dan kecekapan yang diperlukan. Pemindahan teknologi akan hanya tercapai dan bermakna apabila Malaysia boleh mencipta dan mengeluarkan keretanya sendiri dengan sepenuhnya. Dalam hal ini, segala usaha hendaklah dibuat untuk mempelbagaikan sumber kepakaran teknikal dan latihan untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan bagi industri ini.

8. Bagi menghadapi cabaran dalam industri yang sungguh mencabar ini, industri otomobil Malaysia mestilah komited dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membolehkannya bersaing dalam pasaran antarabangsa. Dengan perancangan yang rapi dan komitmen yang tinggi PERODUA boleh mencapai matlamatnya.

9. Saya yakin PERODUA akan terus berusaha menerokai bidang ini tanpa banyak bergantung kepada bantuan luar. Kilang PERODUA ini merupakan satu lagi simbol negara ke arah kecemerlangan dalam pengeluaran otomobil dan proses industrialisasi.

10. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan kilang kereta PERODUA ini.

2 Responses to “Tahun 1994 – PERASMIAN KILANG KERETA PERODUA”

  1. saifullah Says:

    salam

    saya pelajar UTM KL Jalan Semarak.

    lawatan ke kilang pembuatan perodua,saya perlukan alamat dan no telefon orang yang bertanggungjawab.

    terima kasih

  2. Hidzamuddine bin Saharin Says:

    Boleh ke kita repair kereta kemek atau spray kat kilang PERODUA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: