Tahun 1994 – PELANCARAN KERETA PERODUA KANCIL

Lokasi :HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR

Tarikh :29/08/94

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. ataupun PERODUA kerana menjemput saya untuk melancarkan kereta PERODUA Kancil pada malam ini.

2. Dari permulaan lagi projek kereta nasional kedua ini memang mempunyai peluang yang cerah untuk memperolehi kejayaan. Pasaran tempatan berpotensi tinggi ekoran daripada pertumbuhan ekonomi semasa yang memberangsangkan. Lagipun kereta Kancil memenuhi keperluan untuk kereta kecil yang boleh dibeli oleh pembeli yang baru memasuki golongan pemilik kereta.

3. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila PERODUA Kancil mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat Malaysia.Sambutan ini juga menunjukkan potensi pasaran bagi kereta kompak adalah besar, lebih-lebih lagi jika harga yang dipasarkan adalah rendah berbanding dengan kereta-kereta lain.

4. Harga merupakan satu daripada faktor utama yang menjadikan sesebuah kereta popular di kalangan masyarakat Malaysia dan juga pasaran asing. Penggantungan kepada pasaran tempatan yang terlindung sahaja tidak akan menjamin kemantapan dan kestabilan industri ini pada masa hadapan.PERODUA mesti menembusi pasaran antarabangsa supaya mendapat 'economies of scale' kerana pasaran antarabangsa walaupun 'competitive' adalah besar. Di samping itu, eksport kereta boleh menolong 'balance of payment' negara dengan pengaliran masuk matawang asing kedalam negara.

5. Pengurangan kos mestilah menjadi objektif utama PERODUA supaya ia dapat menjaminkan persaingan kereta ini di pasaran antarabangsa. Hasrat untuk menerokai pasaran asing perlu dirancangkan dengan teliti supaya tidak gagal kerana sekali kita gagal adalah sukar untuk dipulihkan semula.

6. Untuk menjamin kestabilan kos dan harga kereta yang kompetitif, PERODUA juga perlu berusaha untuk meningkatkan komponen tempatan dalam industri kereta nasional. Kenaikan nilai Yen tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga dalam pasaran tempatan atau eksport.

7. Usaha untuk meningkatkan komponen tempatan mesti diteruskan sehingga mencapai tahap seratus peratus.Penggunaan komponen tempatan boleh membantu mengatasi masalah kenaikan nilai Yen. Oleh itu, PERODUA perlu melakukan sesuatu supaya penggunaan komponen tempatan boleh menolong mengawal kos kereta keseluruhannya. Untuk ini mungkin rakan kongsi yang mempunyai teknologi dipilih dengan teliti supaya kos pemindahan teknologi tidak menjadi beban dan kos pengurusan juga boleh menurun.

8. Pemilihan untuk memiliki sesebuah otomobil masa kini bukan hanya bergantung kepada harga. Kualiti dan servis selepas jualan juga adalah penting. Masyarakat Malaysia kini sudah menghargai dan tahu menilai barangan yang unggul dan mengharapkan hanya yang terbaik daripada Otomobil Nasional Kedua.

9. PERODUA tidak harus berharap hanya kepada pengurangan cukai secara istimewa baginya oleh Kerajaan untuk mendapat keuntungan. Sistem pengeluaran, mencari punca komponen yang termurah, kecekapan kerja serta pengurusan dan pengawasan perbelanjaan yang rapi adalah antara cara-cara untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan. Perusahaan tempatan tidak akan bermakna jika cukai Kerajaan yang tidak dipungut dijadikan asas sebenar keuntungan. Industri kereta di negara lain tidak bergantung kepada perlindungan Kerajaan selama-lamanya. Namun mereka masih boleh mengeluar dan menjual dengan harga yang murah serta kualiti yang tinggi.Apabila kita sudah menguasai sepenuhnya teknologi membuat kereta, maka kita juga harus mampu mengurus industri ini tanpa perlindungan.

10. PERODUA perlu berwaspada. Ini hanyalah suatu permulaan. Persaingan dan rintangan akan meningkat dengan kewujudan teknologi dan rekacipta yang baru serta canggih.

Ia mesti menggunakan segala kelebihannya untuk membuktikan akan nilainya sebagai Otomobil Nasional Kedua kepada masyarakat Malaysia.

11. Di samping model Kancil, Kerajaan berharap PERODUA akan berupaya merekacipta dan menghasilkan pelbagai model otomobil kecil Malaysia yang tulin supaya dapat menarik minat para pengguna di Malaysia dan juga perluaskan pasaran antarabangsa.

12. Sekali lagi saya ingin merakamkan keyakinan saya kepada PERODUA untuk terus berusaha menerokai bidang ini dengan inisiatif sendiri tanpa banyak bergantung kepada bantuan luar.

13. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Kereta PERODUA Kancil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: