Tahun 1985 – PERASMIAN PUSAT ISLAM MALAYSIA

Tarikh : 16/09/85

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Yang Terutama Tuan Maumoon Abdul Gayoom, Presiden Republik Maldives dan Puan Nasreena Gayoom; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan, Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya kita dapat bertemu di Majlis yang permai ini bagi meraikan perasmian bangunan Pusat Islam Malaysia. Kita semua bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana memberikan kita semangat dan kesungguhan bagi menjayakan cita-cita umat Islam di negara ini iaitu menjalankan berbagai-bagai usaha untuk mempertinggikan syiar Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Hasrat Kerajaan untuk mempertinggikan syiar Islam di dalam negara ini adalah nyata. Strategi yang paling mustahak dan besar dalam meninggikan syiar Islam ialah memperkukuhkan kedudukan umat Islam di dalam negara ini. Kukuh dari segi ekonomi, dari segi pengetahuan dan pencapaian ilmu, keupayaan membangunkan diri dan ketahanan dari segala ancaman yang berbentuk fizikal, atau yang bukan fizikal, termasuk pengaruh kefahaman-kefahaman yang negatif, arus pemikiran liar dan lain-lain lagi.

3. Negara-negara yang mempunyai penduduk beragama Islam dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala dengan berbagai sumber alam semulajadi. Ini termasuklah negara kita Malaysia: kesuburan tanah untuk perusahaan pertanian, cuaca yang sederhana dan berbagai bahan galian yang sangat tinggi harganya dan besar manfaatnya. Pendek kata, orang Islam di dunia ini dianugerah oleh Allah Subahanu Wataala nikmat yang sangat besar. Tetapi, kita selalu tertanya diri kita sendiri mengapakah sumber-sumber alam semulajadi yang besar itu tidak memberi manfaat yang besar kepada umat Islam sendiri. Di kebanyakan tempat, mereka seolah-olah menjadi penonton sahaja kepada kegiatan-kegiatan bagi mendapat manfaat daripada sumber-sumber alam itu dan sebahagian kecil sahaja nikmat itu dikecapi oleh mereka.

4. Setelah negara-negara Islam mencapai kemerdekaan politik, persoalan itu telah cuba dijawab dan berbagai-bagai aktiviti dan perancangan dibuat bagi mengatasi persoalan-persoalan yang timbul di sekitar isu tersebut. Namun begitu, percubaan-percubaan yang dilakukan kurang memberi natijah yang memuaskan.

5. Apabila direnung kepada sejarah tamadun manusia, maka adalah jelas kepada kita bahawa Islam telah memainkan peranan yang penting sebagai penggerak kepada manusia untuk mencapai kemajuan bagi kehidupan manusia dan akhirnya kemajuan yang dicapai itu membentuk satu tamadun yang tinggi. Gesaan dan gerakan yang ditonjolkan oleh Islam begitu kuat sekali hingga ternyata kejayaan dan pencapaian yang besar diperolehi oleh penganut-penganutnya. Sejarah membuktikan bahawa dalam zaman sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., orang-orang Islam dapat menundukkan kekuasaan Roma di sebelah Barat dan kekuasaan Parsi di sebelah Timur. Dengan semangat yang berkobar-kobar, orang-orang Islam telah berjaya memperluaskan pengaruh dan wilayahnya beribu-ribu batu dari Semenanjung Arab.

6. Di dalam kurun yang kedua dan ketiga Hijrah, kegiatan ilmiah yang sangat tinggi mutunya dan besar faedahnya bagi umat manusia dijalankan dengan begitu pesat sekali oleh orang-orang Islam. Kegiatan ilmiah itu bermula dengan kerja-kerja penterjemahan buku-buku falsafah dan buku-buku ilmu pengetahuan daripada Bahasa Greek ke Bahasa Arab. Kemudian orang-orang Islam menjadi mahir di dalam ilmu-ilmu tersebut seperti perubatan, pelayaran, astronomi, kajihayat dan lain-lain. Orang-orang Islam telah menjadi penyambung bagi ilmu-ilmu tamadun manusia. Oleh kerana orang-orang Barat pada ketika itu masih menganggap semua ilmu terutama ilmu sains sebagai satu jenis sihir, maka mereka terus berada dalam kegelapan. Sebab itulah semasa zaman kegemilangan Islam, dunia Barat berada dalam zaman kegelapan atau 'Dark Ages' seperti disebutkan oleh ahli-ahli sejarah Barat.

7. Kita pada zaman ini mesti bertanya mengapa umat Islam pada zaman itu boleh mengambil sikap demikian rupa sehingga mereka dapat menempa kemajuan yang begitu besar, terutama berbanding dengan dunia barat di zaman yang sama. Jawapan yang kita perolehi ialah mereka didesak oleh tuntutan-tuntutan dan gesaan-gesaan Islam supaya umatnya berusaha mencari ilmu pengetahuan dan membuat penerokaan-penerokaan yang perlu bagi menunaikan tanggungjawab yang besar kepada manusia dan alam ini, iaitu berusaha membawa kemakmuran kepada alam dan kebahagiaan kepada umat manusia. Mereka sanggup mencari ilmu pengetahuan walaupun sumbernya ialah dari orang-orang bukan Islam. Mereka menjelajah jauh untuk mencari ilmu pengetahuan. Pendek kata, mereka betul-betul menyambut seruan Rasulullah s.a.w. supaya mencari ilmu walaupun di negeri China.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Di zaman itu, seperti juga di zaman sekarang, golongan yang mempunyai pandangan yang sempit telah muncul dan mengecam ke atas tuntutan ilmu yang tidak khusus berasaskan agama. Puak tersebut akhirnya berjaya dan segala ilmu yang diterokai oleh orang Islam digugurkan. Akibatnya orang Islam menjadi lemah dan dijajah oleh orang-orang Barat yang telah menguasai ilmu yang digugurkan itu. Kecewa dengan kelemahan mereka, ramai orang-orang Islam yang mengambil sikap bahawa berusaha memakmurkan bangsa dan negara tidaklah termasuk di dalam tuntutan Islam. Mereka menjadi keliru tentang usaha mereka sehari-hari dalam kontek hubungan mereka dengan Islam.

9. Alhamdulillah, sekarang ini satu kesedaran baru telah muncul. Di Malaysia walaupun ada pihak-pihak tertentu yang cuba menghalang, kesedaran baru ini telah mendorong ke arah usaha membentuk sistem pendidikan yang mengimbangkan tekanan antara pelajaran agama dan tuntutan lain-lain ilmu yang boleh menguatkan umat Islam bagi menghadapi cabaran-cabaran dunia moden. Sistem pendidikan kita tepat menghayati kehendak agama seperti yang terdapat dalam Al-Quran, Surah Al-Qasas, ayat 77 yang menyatakan bahawa kita hendaklah mencari kebahagiaan hari akhirat dan sebaliknya janganlah kita melupakan bahagian atau keperluan kita di dunia. Pendidikan itu memberi kesedaran kepada kita bahawa Islam perlu dijadikan teras kepada perjuangan bagi pengukuhan dan pembangunan ummah.

10. Usaha Kerajaan bagi meninggikan syiar Islam dalam aspek memberi kesedaran terhadap Islam hampir telah mencapai matlamatnya dan kita telah memperolehi banyak manfaat daripadanya. Ramai umat Islam di Malaysia sudah mempunyai sikap yang 'committed' terhadap Islam dan rela menerima Islam sebagai asas hidup matinya. Di samping itu orang-orang bukan Islam di negara ini tidak berasa curiga dengan penerapan nilai-nilai Islam dan mereka lebih faham akan pandangan Islam terhadap soal-soal kemasyarakatan dan lain-lain. Justeru itu mereka tidak menunjuk apa-apa bantahan, malah ada di antara mereka yang memberi sokongan secara terbuka. Hal ini mendorong Kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih positif bagi melaksanakan usaha yang berkesan ke arah menjayakan syiar Islam di dalam negara kita ini. Maka dengan itu, kita di Malaysia terpelihara daripada berbagai masalah yang sering timbul di negara-negara majmuk di mana orang Islam merupakan sebahagian sahaja daripada penduduknya.

11. Objektif di sebalik dasar penerapan nilai-nilai Islam ialah supaya nilai-nilai murni dan sikap-sikap positif mengenai kehidupan dan pekerjaan yang dianjurkan oleh Islam dipraktik dan diamalkan bagi memperbaiki taraf hidup dan mencapai hasil yang maksima dari segala sumber kemakmuran yang diberi oleh Allah Subahanahu Wataala kepada kita. Kita mahu Islam menjadi penggerak bagi umat Islam di negara ini untuk mengambil segala peluang yang ada bagi memperkukuhkan kedudukan kita. Ajaran-ajaran Islam yang dipegang dan diyakini selama ini perlulah dihayati mengikut suasana dan kontek yang ada di sekeliling kita. Misalnya, sifat membazir adalah dilarang oleh Islam, tetapi tafsiran membazir setakat ini terhad kepada penggunaan wang yang berlebihan. Sepatutnya membazir hendaklah ditafsirkan bagi merangkumi sikap membiarkan potensi-potensi kekayaan dan kemakmuran dengan tidak diusahakan; seperti membiarkan tanah pertanian tanpa ditanam dengan apa-apa yang boleh memberi hasil. Sedangkan tanah ini di negara kita dijadikan Tuhan sangat subur dan boleh mendatangkan hasil yang baik.

12. Nilai-nilai Islam juga perlu dalam semua aspek perkhidmatan dalam negara kita termasuk perkhidmatan secara terus kepada orang ramai dan juga perkhidmatan yang melibatkan pertahanan negara. Nilai Islam dan keimanan yang mantap akan membuat seseorang itu menunaikan tugasnya dengan penuh disiplin dan dedikasi kerana iman adalah pendesak dari dalam bagi seseorang untuk menunaikan tugasnya dengan sempurna. Iman akan membuat seseorang itu sentiasa sedar bahawa Allah mengetahui apa yang ia lakukan.

13. Di dalam dunia moden hari ini, kita dapat lihat banyak bangsa yang kuat dari segi persiapan material tetapi lemah dari segi ketahanan di dalam diri. Maka bangsa yang kuat itu menjadi lemah dan tidak dapat menjaga kestabilan dan keutuhannya. Umat Islam pada hari ini menghadapi kelemahan kedua-dua aspek -- aspek persiapan material dan aspek ketahanan di dalam diri. Kita tidak rela hal ini berlanjutan bahkan kita mestilah mengorak langkah bagi memperkuatkan kedudukan kita.

14. Satu langkah yang penting yang mesti diambil ialah memperkuatkan ketahanan diri. Dalam hal ini tidak ada jalan lain bagi kita selain daripada memperkuatkan pegangan terhadap Islam. Nilai-nilai murni yang diajar oleh Islam mestilah disuburkan di dalam jiwa setiap individu.

15. Janganlah kita terpesong dengan rupabentuk yang dikatakan Islam sehingga kita lupa akan pentingnya persaudaraan dalam Islam. Allah dalam Surah Al-Hujuraat Ayat 11 menyeru orang-orang yang beriman supaya jangan mencemuh dan merendah-rendahkan puak lain oleh kerana mungkin puak lain itu lebih baik daripada puak yang mencemuh.

Tuan-tuan dan puan-puan.

16. Satu perkara yang hangat diperbincangkan sekarang ialah Kerajaan Islam. Tafsiran tentang Kerajaan Islam berbeza-beza dan tiada siapa yang boleh berkata bahawa tafsirannya sahaja yang tepat. Pada hemat saya, sehingga kiamat akan terdapat perbezaan tafsiran tentang Kerajaan Islam kerana pentafsir bukan pesuruh Allah, walaupun ia amat arif dalam bidang agama.

17. Memandang kepada hal ini, kita tidak boleh berpegang kepada satu-satu tafsiran sehingga kita bermusuh dengan orang Islam yang lain yang tidak menerima tafsiran yang kita pegang. Jika kita berbuat demikian maka akan berlakulah sengketa, bahkan peperangan sesama kita. Hanya jika sesuatu tafsiran itu jelas melanggar Rukun-Rukun Islam dan ini disahkan pula selepas kajian yang teliti dan mendalam oleh orang-orang yang ditugaskan, barulah dapat kita menolak tafsiran berkenaan. Oleh itu, janganlah mudah menuduh sesuatu pemerintahan sebagai tidak Islam semata-mata kerana kita berpegang kepada tafsiran mengenai Kerajaan Islam yang berlainan dengan tafsiran orang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

18. Hasrat Kerajaan mengembangkan syiar Islam dipertanggungjawabkan kepada semua jabatan dan agensi Kerajaan. Tetapi Pusat Islam merupakan agensi utama. Di sini ditempatkan orang-orang yang ahli dalam hal-hal keIslaman. Harapan Kerajaan dan harapan negara ialah mereka yang diberi kepercayaan ini tidak akan menghampakan harapan ini dan sudah tentu tidak akan menggunakan kemudahan yang mereka perolehi untuk tujuan-tujuan lain. Ikrar orang Islam tidak boleh dianggap ringan.

19. Saya menyeru semua pihak agar sama-sama mengembeling tenaga berusaha untuk memperkukuhkan umat kita seperti mana yang dikehendaki oleh Islam. Satu aspek yang penting dalam pengukuhan umat Islam ialah perpaduan di kalangan umat itu sendiri. Maka di sini saya menyeru kepada semua pihak agar memberi sumbangan ke arah penyatuan umat. Di samping itu, kita hendaklah berusaha menjauhkan segala anasir yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. Sebelum saya akhiri ucapan ini izinkan saya mengucapkan sepatah-dua kata berkenaan pembangunan fizikal Pusat Islam yang akan dirasmikan pada hari ini. Semenjak Bahagian Agama ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri atas desakan rakyat melalui UMNO, kegiatan Bahagian ini telah meningkat bukan sahaja dari segi bilangan kakitangan, tetapi juga dari segi bidang-bidang tertentu yang berkaitan dengan urusan agama Islam dalam negara kita.

21. Kita telah membina sebuah bangunan sebelum ini untuk Bahagian Agama tetapi ia tidak dapat menampung keperluan ruang semasa untuk Bahagian ini. Ia juga tidak sejajar dengan taraf Islam sebagai agama rasmi negara. Justeru itu sebuah Pusat Islam yang sesuai bentuknya dan mempunyai ruang yang mencukupi telah dirancangkan. Para akitek daripada Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., terutamanya Datuk Nik Mohamad bin Nik Mahmud, telah dipilih untuk mereka-bentuk bangunan yang diperlukan yang mengandungi unsur-unsur reka-bentuk Islam. Saya amat bangga dengan hasil kajian pihak akitek yang berjaya memenuhi kehendak kita untuk membina sebuah bangunan yang yunik dan indah, yang mencerminkan sekumpulan hasil karya akitek Islam dalam sejarah di samping memenuhi segala keperluan sebuah Jabatan yang begitu penting dalam pentadbiran agama Islam dan negara kita. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak akitek yang telah juga menyelia pembinaan Pusat ini dengan sempurna.

22. Pusat Islam ini dilengkapi dengan segala kemudahan yang moden termasuk oditorium dan halaman atau 'courtyard' yang luas yang boleh digunakan untuk berbagai perjumpaan. Walaupun Musabaqah Membaca Al-Quran dalam 'courtyard' ini didapati tidak begitu memuaskan, usaha masih boleh dibuat untuk menyesuaikan halaman ini.

23. Satu perhiasan kompleks ini ialah dua keping 'stained glass' yang mempunyai design yang sesuai dengan kehendak Islam yang dipasangkan di pintu besar. Sepertimana kita semua maklum tingkap di Masjid Nabawi di hadapan Makam Nabi telah dipasang dengan 'stained glass'. Demikian juga dengan Masjid Zahir di Alor Star.

Tuan-tuan dan puan-puan,

24. Keindahan alam sekitar adalah kurniaan Allah Subhanahu Wataala. Begitu juga ciptaan sesuatu yang indah adalah hasil daya pemikiran yang dikurniakan oleh Allah. Dalam Islam kebersihan dan kecantikan memang dituntut. Oleh itu marilah kita menjaga kebersihan Pusat ini dan sekitarnya supaya tidak hilang keindahan yang dikurniakan oleh Allah. Kita semua yang akan menggunakan Pusat Islam ini, sama ada sebagai pekerja atau sebagai pelawat, mestilah menjaga kebersihan dan keindahannya.

25. Kebersihan dengan ibadat tidak dapat dipisahkan. 'Alnazafatu Minal-Iman'. Ibadat tidak dapat diamalkan tanpa kebersihan. Oleh itu jagalah kebersihan di mana-mana juga kita berada. Jagalah kebersihan Pusat Islam ini kerana kebersihan adalah satu daripada nilai-nilai yang mulia dalam Islam.

26. Akhirnya, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya dengan sukacitanya membuka Pusat Islam Malaysia ini dengan rasminya.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: