Tahun 1990 – USUL UCAPAN TAKZIAH DI ATAS KEMBALINYA KE RAHMATULLAH ALMARHUM YANG TERAMAT MULIA TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA ALHAJ, BEKAS PERDANA MENTERI

Lokasi :DEWAN RAKYAT

Tarikh :10/12/90

Tuan Yang Di-Pertua, Saya mohon mencadangkan: "Bahawa Dewan ini merakamkan perasaan sedih yang amat sangat di atas kembalinya ke Rahmatullah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri yang pertama negara ini pada 6 Disember 1990 dan menyampaikan ucapan takziah kepada Yang Amat Berbahagia Tun Sharifah Rodziah Binti Syed Alwi dan keluarga Almarhum".

2. Seluruh rakyat Malaysia berasa amat dukacita dan sedih di atas kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj. Sesungguhnya kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku, negara telah kehilangan seorang pemimpin dan negarawan yang terhormat lagi tercinta. Pengorbanan dan perjuangan Almarhum Tunku dalam bidang politik dan pentadbiran merupakan sumber inspirasi dan teladan kepada rakyat Malaysia. Kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku merupakan peristiwa yang amat sedih dalam sejarah negara kita.

3. Keagungan seseorang insan dapat diukur dengan dua cara. Pertamanya, dengan melihat amalannya -- apa yang dilakukannya, dan apa yang telah dilaksanakannya sepanjang hayatnya. Kedua, keperibadiannya.

4. Almarhum Tunku dilahirkan seorang putera raja, namun watak dan keperibadiannya berkembang sebagai pemimpin rakyat. Almarhum membebaskan kita daripada belenggu penjajahan dan memberikan kita maruah sebagai warga sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Pernah suatu ketika, Allahyarham Tun Dr. Ismail menyifatkan perwatakan Almarhum Tunku sebagai, dengan izin, "warm and unassuming" dan Almarhum dapat menyesuaikan diri di semua keadaan sama ada di istana, di kampung, di kalangan masyarakat atasan atau masyarakat bawahan, golongan kaya atau miskin. Sumbangan Almarhum Tunku sebagai perintis dan pelopor kemerdekaan negara ini merupakan sumbangan yang tidak ternilai harganya dalam sejarah negara kita.

5. Almarhum Tunku juga telah membina asas bagi pelbagai institusi negara kita yang kita nikmati dan kita pertahankan hingga kini. Atas daya usaha Almarhum, kita kini mewarisi perlembagaan negara, institusi-institusi politiknya, dan struktur pentadbirannya.

6. Almarhum Tunku sentiasa berada pada tempat dan ketika beliau diperlukan. Almarhum Tunku bukan sahaja menjadi pemimpin orang Melayu dalam mempelopori kemerdekaan negara ini tetapi terus menjadi seorang negarawan ulung yang disegani dan dicintai oleh semua kaum. Formula politik Perikatan yang dipelopori oleh Almarhum Tunku bagi menyatukan rakyat Malaysia merupakan formula yang terbukti kemantapannya untuk negara kita.

7. Setelah mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia, Almarhum Tunku berperanan pula sebagai pemimpin dan pemandu pembangunan negara kita ke arah kemajuan dan kemakmuran. Bersama-sama dengan Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Almarhum telah mencipta rancangan pembangunan yang memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar.

8. Almarhum Tunku telah mengasaskan nilai-nilai kesederhanaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Antara nilai ini adalah toleransi, bertolak ansur, persefahaman dan muhibah. Nilai-nilai ini telah mendorong masyarakat majmuk Malaysia hidup aman dan tenteram.

9. Almarhum Tunku jugalah yang telah mengasaskan budaya politik yang berlandaskan kompromi dan muafakat di antara golongan-golongan yang berlainan latar belakang dan kepentingan. Almarhum Tunku juga merupakan seorang penentang fahaman dan gerakan komunis. Apabila Almarhum menandatangani perisytiharan berakhirnya darurat, Almarhum telah menyatakan betapa bangganya Almarhum dengan perpaduan dan taat setia rakyat Malaysia. Almarhum menyatakan rakyat Malaysia telah memperlihatkan kepada dunia bahawa mereka mempunyai cara hidup yang jauh lebih baik dan lebih makmur daripada yang dijanjikan oleh pihak komunis.

10. Meskipun Almarhum merupakan penentang fahaman komunis yang tegas, namun Almarhum sebenarnya merupakan seorang pencinta damai. Almarhum pernah menyatakan, dengan izin, "I believe in giving the people clothes instead of uniform; houses instead of barracks; food instead of bullets".

11. Almarhum Tunku juga telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan syiar Islam di negara kita dan di peringkat Antarabangsa. Almarhum Tunku mengasaskan Majlis Tilawah Al-Quran Kebangsaan dan Antarabangsa yang menjadi satu acara yang menarik dalam dunia Islam hingga sekarang. Sebagai pemimpin PERKIM, Almarhum Tunku telah membantu mengembangkan syiar Islam di rantau ini dan berusaha memelihara kebajikan mereka yang memeluk agama Islam.

12. Pada tahun 1961 Almarhum telah mengutarakan gagasan Komanwel Islam untuk mencari titik perpaduan di kalangan negara-negara Islam. Pada bulan April 1969, sebagai hasil usaha Almarhum Tunku, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Islam Antarabangsa yang disertai oleh 20 buah negara Islam. Sebagai Setiausaha Agung Pertama Sekretariat Islam, yang kemudian dikenali sebagai Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC), Almarhum telah berjaya memperjuangkan kepentingan umat Islam di seluruh dunia dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan.

13. Almarhum Tunku juga merupakan seorang tokoh antarabangsa. Almarhum mempelopori usaha-usaha ke arah memupuk perpaduan dan kerjasama serantau. Sewaktu hubungan di kalangan negara-negara di rantau ini tidak begitu mesra, Almarhum Tunku telah mencadangkan suatu pertubuhan serantau bagi kawasan Asia Tenggara untuk memajukan persefahaman di kalangan negara-negara tersebut. Cita-cita tersebut menjadi kenyataan dengan terbentuknya Persatuan Asia Tenggara atau ASA antara Malaysia, Thailand dan Filipina. Pada tahun 1967 lahirlah ASEAN, dengan penyertaan Indonesia dan Singapura. Antara anugerah yang diterima oleh Almarhum Tunku ialah Anugerah Ramon Magsaysay dalam tahun 1960.

14. Sikap Almarhum Tunku yang mengutamakan keadilan dan perikemanusiaan menjadikan Almarhum penentang ulung "apartheid" Afrika Selatan. Almarhum telah mengutuk dasar tersebut di Persidangan Komanwel di London pada tahun 1960 dan melancarkan pemulauan terhadap barang-barang Afrika Selatan yang kemudiannya turut disertai oleh beberapa negara lain. Akibat tekanan ini, Afrika Selatan terpaksa meninggalkan Komanwel pada tahun 1961.

15. Almarhum Tunku juga terkenal sebagai seorang pencinta sukan. Kerana minat dan sumbangannya, Almarhum telah dilantik menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Asia dari tahun 1959 hingga 1971. Almarhum Tunku juga telah mengilhamkan Pertandingan Bolasepak Merdeka, salah satu pertandingan bertaraf antarabangsa yang utama di rantau ini.

16. Sebagai Penaung kegiatan seni, Almarhum Tunku telah memberikan perhatian kepada warisan kebudayaan Melayu. Almarhum merupakan seorang penulis yang prolifik, menghasilkan karya-karya yang menarik dalam bentuk rencana dan buku.

17. Almarhum Tunku tidak lagi bersama kita. Namun sumbangan Almarhum tidak dapat dihilangkan daripada kenangan kita. Tiada siapa dapat menafikan sumbangan Almarhum kepada negara yang amat dicintai oleh Almarhum. Nama dan sumbangan Almarhum akan tertulis dengan tinta emas dalam sejarah negara.

18. Enam bulan dahulu kita telah kehilangan Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga negara kita. Sebagai Perdana Menteri, saya telah membawa usul takziah di Dewan Yang Mulia ini. Mengingati perbahasan yang berlaku semasa usul itu dibincangkan, saya ingin merayu kepada semua ahli Dewan daripada kedua-dua belah parti, iaitu daripada Parti Kerajaan dan Parti Pembangkang, supaya tidak mengambil kesempatan daripada perbahasan usul ini untuk mengutarakan kepentingan-kepentingan politik mana-mana parti.

19. Sebagai penghormatan terakhir daripada Dewan ini, di mana Almarhum Tunku telah mengetuai ahli-ahli Kerajaan selama 13 tahun, dan bagi mengenang budi Almarhum sebagai negarawan, marilah kita buat seketika, bersama-sama, Kerajaan dan pembangkang menghormati Almarhum dengan mengucapkan takziah daripada hati yang ikhlas kepada keluarga Almarhum tanpa acrimony. Di waktu yang solemn ini, kosongkanlah hati kita semua daripada perkara-perkara lain yang akan memesongkan kita daripada kesedihan yang kita rasai bersama.

20. Sesungguhnya kembalinya ke Ramatullah Almarhum Tunku amat dirasai oleh rakyat Malaysia. Saya, bagi pihak Kerajaan, berharap balu Almarhum, Tun Sharifah Rodziah dan anggota keluarga Almarhum, akan tabah hati serta bersabar. Kita berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum.

Tuan Yang DiPertua,

saya mohon mencadangkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: