Tahun 1984 – PERASMIAN PAMERAN JETRO (DASAR PANDANG KE TIMUR)

Lokasi : CHANGKAT PAVILLION, KUALA LUMPUR

Tarikh : 01/03/84

Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur pameran ini JETRO kerana memberi peluang kepada saya untuk memberi sepatah-dua kata di majlis ini.

2. Sebagai sebuah negara membangun yang sedang berusaha untuk melipatgandakan prestasinya dalam berbagai bidang, Malaysia harus berusaha untuk mempelajari apa-apa jua yang dapat membantunya. Negara Jepun diterima umum, termasuk oleh dunia Barat, sebagai contoh kejayaan dunia moden.

3. Dasar Pandang ke Timur adalah berdasarkan kesedaran ini. Ia bukan bermakna Malaysia cuma akan membeli daripada Jepun atau negara-negara Timur lain sahaja, ataupun mempelajari daripada Jepun atau Korea Selatan sahaja. Dasar ini adalah usaha ke arah memperimbangkan hubungan kita; kalau dahulu pengaruh Barat diterima hampir bulat-bulat, sekarang kita mahukan pengaruh yang baik tidak kira dari mana-mana sahaja, asalkan berfaedah kepada kita dan tidak bercanggah dengan nilai-nilai baik yang kita sanjung tinggi.

4. Dasar Pandang Ke Timur mementingkan etika kerja, cara pengurusan dan ketabahan bekerja dan lain-lain faktor positif yang membawa kejayaan kepada negara-negara Timur yang berjaya. Kita harus sanggup belajar. Barat pun sekarang sudah sedar dan merekapun sedang berusaha untuk belajar dari Timur. Korea sendiripun, mengikut laporan baru-baru ini mahu mempelajari dari Taiwan. Jadi bagi Malaysia yang masih jauh ketinggalan tentulah logik bagi kita belajar dari mereka yang berjaya.

5. Salah satu bidang kejayaan negara Jepun ialah teknologi. Sekarang negara Jepun bukan sahaja dapat menandingi negara-negara maju di Barat, bahkan ia lebih maju dan berjaya dalam setengah-setengah bidang. Barat telah takut dengan kejayaan Jepun hinggakan mereka telah cuba melindungi pasaran mereka.

6. Jepun dapat menguasai pasaran dunia kerana semua sektor di Jepun bertindak sebagai satu perkongsian hinggakan ditakrifkan sebagai 'Japan Incorporated'. Orang Jepun sedar dengan hakikat bahawa kejayaan mereka bergantung kepada kesanggupan mereka untuk bekerjasama sebagai satu pasukan. Mereka bekerja kuat, taat kepada majikan dan organisasi, bekerja dengan disiplin sebagai satu pasukan, berdedikasi dan bermotivasi. Hari ini mereka berjaya, dan kita tidak harus iri-hati dengan kejayaan mereka bahkan kita harus belajar daripada pengalaman kejayaan mereka.

7. 'Japan Technofair 84' ini dengan jelas membawa kejayaan negara Jepun bagi tatapan rakyat Malaysia. Berbagai aspek yang dipamerkan, termasuk teknologi moden seperti penggunaan robot dalam perusahaan, menunjukkan kepada kita, khususnya rakyat Malaysia, betapa kita jauh ketinggalan dan betapa pentingnya kita memberi keutamaan bagi mempertingkatkan kemampuan kita dalam bidang teknologi.

8. Malaysia amat bertuah. Kalau dibandingkan dengan kebanyakan negara membangun, kita mempunyai hampir semua faktor yang boleh kita gerakkan bagi kejayaan yang berlipat-ganda daripada apa yang kita telah capai. Cuma yang kita amat perlukan ialah apa yang pernah saya ulangi, iaitu intisari Dasar Pandang Ke Timur -- etika kerja, cara pengurusan, serta disiplin dan dedikasi. Perkara-perkara ini, walaupun tidak mudah untuk dipelajari, tetapi jika ada kesedaran dan kemahuan tidak ada apapun yang mustahil. Yang menjadi mustahil ialah kerana bendungan sikap negatif yang terlalu memikirkan masalah-masalah daripada keutamaan menggunakan peluang-peluang yang terdapat, dan terlalu banyak berhujah daripada berusaha dan bertindak.

9. Berkenaan pemindahan teknologi, pengusaha-pengusaha dan penulis-penulis tempatan sering mengecam pengusaha-pengusaha asing kerana enggan memindah teknologi kepada kita. Sementara ada bukti bahawa sikap ini wujud, tidak kurang pentingnya ialah sikap dan kesanggupan kita menerima teknologi baru. Negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong menghadapi masalah keengganan pengusaha asing memindah teknologi sama seperti yang dihadapi oleh pengusaha Malaysia. Tetapi adalah jelas bahawa mereka berjaya menguasai teknologi baru dan mengadakan perusahaan mereka sendiri. Jika pemindahan teknologi tidak berlaku di Malaysia, separuh daripada halangan itu adalah berpunca dari diri kita sendiri. Biasanya kita tidak mahu meluangkan masa atau berusaha untuk mempelajari teknologi asing. Ada yang berpendapat mereka sudah tahu dan tidak perlu diajar. Ada juga pegawai teknikal dari Malaysia yang dengan angkuh berkata kepada saya, apa dia yang hendak kita pelajari dari Jepun? Orang Jepun pun belajar dari orang Barat. Lebih baik kita belajar dari sumber asal. Tetapi ini kata-kata sahaja. Mereka tidak juga mencari dari Barat.

10. Sikap yang seperti inilah yang menyebabkan kita ketinggalan, berbanding dengan Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, bahkan juga Singapura. Orang seperti ini tidak dapat melihat kejayaan apabila kejayaan berlaku, walaupun di hadapan mata mereka. Dan apabila gagal mereka salahkan orang.

11. Industri elektronik berkembang maju di beberapa negara Timur. Di Malaysia kita telah lama mengeluarkan 'microchip' dan komponen elektronik yang lain. Tetapi belum ada satu pun industri tempatan yang mencipta barangan buatan yang menggunakan 'microchip' dan komponen yang kita keluarkan dengan banyak. Sebaliknya syarikat-syarikat asing yang mengeluarkan barang ini sanggup dibekal dengan bermacam-macam bahan separuh proses daripada kita. Tetapi kita tidak berusaha untuk mendapatkan teknologi bagi mengeluarkan barangan ini sendiri.

12. Memang benar pemindahan teknologi tidak dapat dilakukan dengan mudah. Tetapi pemindahan berlaku sepanjang masa. Jika tidak, tentulah sesuatu teknologi baru dikuasai oleh beberapa orang penciptanya sahaja. Perkembangan perusahaan yang menggunakan teknologi baru berlaku kerana teknologi tetap dipindah dari pencipta kepada siapa sahaja yang sanggup membelinya. Jika kita tidak dapat teknologi baru, soallah diri kita dahulu sebelum kita kritik dan kecam orang lain.

13. Kita tidak mempunyai banyak masa untuk disia-siakan. Kalau boleh kita mesti mencari cara singkat atau 'shortcut' bagi mencapai sesuatu. Seperti kata pujangga 'fools learn from their own mistakes, wise men learn from other people's mistakes', kita harus mempelajari daripada pengalaman orang lain.

14. Dasar Pandang Ke Timur lahir daripada kenyataan kejayaan beberapa negara di Timur. Ketika dunia di persimpangan -- ketika dunia berhadapan dengan berbagai krisis seperti ekonomi, politik, keselamatan, dan lain-lain, cuma yang buta hati dan angkuh sahaja yang tidak sanggup menilai kelemahan diri dan belajar daripada mereka yang terbukti berjaya.

15. Menyentuh tentang import-eksport Malaysia-Jepun, kira-kira 90% eksport Malaysia ke Jepun merupakan bahan-bahan mentah dan komoditi utama. Ini sangat berbeza dengan import negara ini dari Jepun yang keseluruhannya merupakan mesin-mesin perkilangan dan barangan siap. Pemasaran bahan mentah tidak dapat dikuasai oleh pengeluar tetapi sebaliknya ditentukan oleh pengguna, dan, yang lebih berpengaruh lagi ialah speculators dan badan-badan pemasaran seperti LME, NYME, dan berbagai 'commodity exchanges'. Harga naik dan turun tanpa mengambil kira kos pengeluaran. Kerapkali pengeluar terpaksa jual dengan harga yang lebih rendah dari kos pengeluaran dan menanggung kerugian yang besar. 'Brokers' dan 'dealers' mendapat untung sama ada harga tinggi atau rendah. Jika kita bergantung kepada penjualan bahan mentah maka ekonomi kita akan dikuasai orang asing. Memandang kepada perkara ini, salah satu strategi perindustrian di negara ini ialah meningkatkan nilai atau 'value-added' kepada barang-barang eksport kita. Kita menggalakkan perkilangan di negara ini menggunakan seberapa banyak bahan-bahan mentah yang terdapat di negara ini untuk mengeluarkan berbagai jenis barang buatan. Kita berharap barang-barang yang telah diproses akan mengganti sebahagian besar dari bahan-bahan mentah sebagai eksport negara Malaysia akhirnya.

16. Kita berharap Jepun akan memainkan peranan utama menunjukkan contoh dengan kesanggupan mengimport lebih banyak lagi barang-barang Malaysia yang telah diproses. Malaysia menghadapi berbagai masalah perdagangan apabila cuba mengeksport barang-barang yang telah diproses ke negara-negara maju, termasuklah Jepun. Bersesuai dengan hubungan perdagangan yang baik antara Jepun dan Malaysia dewasa ini, Jepun seharusnya dapat menerima lebih banyak barangan siap atau 'finished products' buatan Malaysia.

17. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh sedikit tentang pelaburan. Mengikut lapuran agensi-agensi Jepun, pelaburan Jepun di sektor perkilangan di negara-negara maju telah meningkat. Peningkatan ini disebabkan 'balance of trade' yang menguntungkan Jepun. Tetapi soal 'balance of trade' ini boleh diatasi tanpa Jepun menolong negara-negara yang sudahpun maju melalui pelaburan di sana. Jika Jepun memindahkan kilang-kilang yang sesuai ke negara membangun seperti Malaysia, eksport negara Jepun ke negara-negara maju akan berkurangan. Sebaliknya eksport barang Jepun yang dibuat di negara membangun akan terus memberi keuntungan kepada Jepun. Strategi ini bukan sahaja akan mengurangkan tindakan 'protectionist' tetapi di samping mengekalkan keuntungan syarikat-syarikat Jepun, ia juga akan menolong membangunkan negara yang belum maju. Pertolongan ini akan lebih berkesan jika pelaburan dibuat sebagai 'Joint-Venture'. Dengan majunya negara-negara membangun, pihak Jepun akan dapat menjual lebih banyak barangan buatan membangun ini dapat mengeluarkan semua barangan buatan yang diperlukan oleh mereka.

18. Pada pandangan Malaysia pelaburan Jepun di negara-negara sudah maju adalah satu pembaziran, kerana ia merupakan usaha orang kaya menolong orang kaya. Dunia tidak akan menjadi lebih makmur dan bahagia dengan amalan yang sempit ini. Sudah tentu amalan ini tidak secucuk dengan Order Baru Ekonomi Antarabangsa.

19. Walau bagaimanapun Jepun telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan industri negara ini. Kita berharap Jepun akan sentiasa sedar tentang cita-cita Kerajaan dan rakyat Malaysia. Dari segi teknologi, kita tidak hendak terus berada di peringkat yang 'mediocre'. Kita ingin mencapai tingkat teknologi yang lebih tinggi dan rakyat negara ini berkebolehan menerima dan mempelajari teknologi yang lebih tinggi itu. Bagi pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia, kita berharap mereka akan mengadakan 'forward and backward integration' bagi mengeluarkan komponen, mesin dan alat yang diperlukan oleh perusahaan-perusahaan tempatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JETRO yang telah menganjurkan beberapa program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pengusaha-pengusaha Malaysia.

Sumbangan seperti ini akan merapatkan hubungan perdagangan antara kedua buah negara.

21. Akhir sekali, saya harap pameran ini serta aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bersamanya akan menarik minat seramai-ramai rakyat Malaysia kerana ia adalah salah satu peluang bagi rakyat Malaysia berbagai lapisan mengenal kejayaan Jepun dengan lebih dekat. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran 'Japan Technofair 84' ini.

Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: