Tahun 1982 – PEMBUKAAN RASMI BANDAR BARU CHERAS

Lokasi :CHERAS, KUALA LUMPUR

Tarikh :01/02/82

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Di majlis yang indah pada hari yang berbahagia ini kita akan melancar dan menamakan sebuah bandar baru, iaitu sebuah bandar yang dirancang dan dibangun dengan kemas mengikut prinsip-prinsip perancangan bandar yang moden. Bandar ini memenuhi kehendak dasar dan konsep yang telah digubal untuk "decentralization" atau penyebaran pentadbiran dan pembangunan. Bandar baru di Cheras ini adalah hasil penyusunan pembangunan ibukota supaya tidak semua pembangunan tertumpu di pusat bandar, tetapi sebaliknya, pembangunan adalah diagih-agihkan antara beberapa bandar satelit yang dibangun dan dimajukan serba lengkap. Dengan cara ini tekanan ke atas pusat bandar dapat dikurangkan tanpa menjejas dan membantut perkembangan dan kemajuan ibukota itu sendiri.

2. Di dalam rancangan pembesaran ibukota secara teratur, beberapa buah bandar satelit lagi akan dibangunkan, di antaranya ialah, satu di Hawthornden Estate dan satu lagi di Bukit Jalil. Oleh kerana pembangunan bandar-bandar satelit adalah dirancang dari awal, maka masalah kesesakan dan kesempitan seperti yang terdapat di ibukota sekarang akan dapat dikurangkan. Rancangan juga dibuat supaya sistem jalan dan lain-lain kemudahan pengangkutan akan menghubungi semua bandar-bandar satelit dengan pusat bandar di ibukota.Kemudahan rekreasi, kawasan lapang dan kebun-kebun bunga, dan berbagai perkhidmatan perlu akan disediakan untuk mempertingkatkan lagi taraf dan keselesaan hidup di bandar.

3. Semua ini adalah dibuat kerana pembangunan negara kita, Malaysia, tidak dapat tidak akan mengakibatkan penghijrahan penduduk dari luarbandar ke bandar. Lebih pesat pembangunan lebih ramai lagilah penduduk yang akan berpindah dan tinggal di bandar. Pembangunan bandar dalam konteks ini bermakna penyediaan bandar untuk penduduk yang berasal dari luarbandar. Ia juga bermakna penyesuaian penduduk luarbandar dengan kehidupan di bandar. Dalam proses penyusunan semula pula, pembangunan bandar akan mengubah corak bandar supaya ianya tidak lagi mencerminkan pemisahan kaum-kaum di Malaysia. Bandar-bandar di Malaysia di masa-masa yang akan datang akan mencerminkan campuran kaum yang terdapat di Malaysia. Bukan sahaja mereka akan tinggal bersama-sama di bandar, tetapi mereka akan bekerja, berniaga, bermain dan berehat bersama-sama. Dengan ini maka dapatlah kita membentuk satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu.

4. Masalah yang dihadapi dalam merancang dan membangun bandar ialah kesannya terhadap nilai dan bekalan tanah.Apabila terdapat sahaja sesuatu rancangan untuk membangunkan sesebuah bandar maka nilai tanah akan melambung naik.Keluasan tanah yang boleh didapati pula, biasanya tidak dapat menampung keperluan untuk menyediakan kawasan kediaman dan perniagaan. Dalam keadaan ini, perancangan bukan sahaja perlu mengambil kira keselesaan dan kehendak penduduk tetapi juga masalah kos. Sudah tentu tidak mungkin didirikan rumah banglow atau rumah kampung dengan halaman yang luas di dalam sebuah bandar bagi keperluan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana. Kehidupan di bandar mempunyai had-had dan keistimewaan-keistimewaannya dan tidak mungkin sama dengan kehidupan di luarbandar.

5. Memandang kepada hakikat ini maka sudah tentu kita bukan sahaja berkehendakkan perancang bandar yang cekap tetapi juga bakal penduduk yang dapat menyesuaikan diri dan menerima konsep hidup di bandar. Oleh kerana faktor-faktor kos dan luas kawasan yang terhad maka penduduk di bandar hendaklah sanggup tinggal dalam keadaan yang lebih sesak dibandingkan dengan keadaan di luarbandar. Kita harus menerima hakikat bahawa tidak mungkin sebuah rumah berharga $20,000/- atau kurang dari itu dibina di atas sekeping tanah yang sempit dan mahal yang berharga $100,000/, misalnya.Harga tanah sepatutnya cuma satu pertiga daripada jumlah kos pembangunan sepenuhnya. Dengan lain-lain perkataan, penduduk bandar haruslah sanggup tinggal di rumah-rumah pangsa untuk menjimatkan perbelanjaan. Lebih pesat pembangunan lebih ramailah yang terpaksa tinggal dalam sesuatu kawasan.

6. Semua pihak bersetuju bahawa kebersihan dan kecantikan bandar adalah perkara yang baik. Di samping itu kita juga harus ingat bahawa kebersihan dan kecantikan bandar memerlukan bukan sahaja usaha dari pihak berkuasa bandaran tetapi penduduk-penduduk bandar sendiri. Bandar-bandar yang akan kita rancang dan bangun akan dihias dengan pokok-pokok kecantikan dan bagi memberi kesan kepada usaha ini, kita mestilah bersama-sama memelihara dan menjaga keadaan bandar kita. Penghuni rumah-rumah dan kedai-kedai hendaklah memberi kerjasama dan menolong pihak berkuasa bandaran dengan menjaga kawasan masing-masing sehinggalah ke tepi jalan di hadapan kediaman masing-masing. Bagi mereka yang tinggal di rumah-rumah pangsa atau "flat," pokok-pokok bunga boleh dihias di tingkap-tingkap. Seberapa yang boleh janganlah menghias rumah pangsa dengan bendera-bendera dari kain-baju yang telah dicuci. Saya ingin mengesyorkan supaya para akitek mereka-bentuk bangunan kediaman terutamanya rumah-rumah pangsa, supaya mempunyai tempat-tempat menyidai dan menjemur kain-baju di tempat-tempat yang sesuai bagi menjaga kebersihan dan kecantikan bangunan dan kawasan sekitarnya.

7. Salah satu ciri kebudayaan kita di Malaysia ialah perniagaan secara menjaja. Kita tidak dapat menafikan bahawa perniagaan secara menjaja memenuhi sebahagian daripada keperluan masyarakat kita. Selain daripada menjadi sumber pendapatan kepada peniaga kecil perniagaan menjaja sebenarnya dapat membantu mengurangkan inflasi dan oleh kerana itu harus diberi perhatian. Kerajaan tidak berniat untuk menghapuskan peniaga-peniaga kecil dan penjaja.Sebaliknya perniagaan kecil dan penjaja hendaklah digalakkan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak masyarakat tempatan tetapi juga sebagai daya penarik kepada pelancung.

8. Bagi mengalakkan peniaga kecil dan penjaja apa yang diperlukan ialah tempat-tempat berniaga yang selesa yang disediakan awal-awal lagi bagi mereka. Tempat-tempat perniagaan ini hendaklah sentiasa bersih dan dibekal dengan air dan api letrik. Pihak berkuasa bandaran hendaklah mengambil berat tentang persediaan tempat-tempat seperti ini dan janganlah hendaknya menanti hingga keadaannya telah menjadi masalah baharulah kemudahan hendak disediakan.Pihak peniaga kecil dan penjaja pula hendaklah memberi kerjasama dengan mengikut peraturan, terutamanya peraturan berkenaan dengan kebersihan. Mereka harus ingat bahawa lebih bersih dan menarik tempat mereka berniaga lebih majulah perniagaan mereka. Tiada siapa yang suka makan-minum di tempat yang kotor dan busuk. Pihak berkuasa bandaran dan tuanpunya bangunan hendaklah mengelak daripada mengenakan sewa yang tinggi ke atas tempat-tempat perniagaan, khususnya bagi peniaga kecil dan penjaja.

9. Di sini izinkanlah saya memberi sedikit nasihat kepada saudara-saudara saya yang telah memilih saya sebagai penaung kepada Persatuan Penjaja. Perniagaan kecil sepatutnya besar. Saya sedar ada mereka yang berpendapat bahawa perniagaan mereka tidak mungkin dapat menjadi besar, tetapi hakikatnya ialah ada di antara peniaga kecil yang sekarang sudah menjadi peniaga sederhana dan besar. Jika mereka usaha, rancangan dan keikhlasan. Saya berharap peniaga kecil juga akan mengikis pendapat bahawa keuntungan hanya boleh dijamin sekiranya tidak ada sewa yang dikenakan atau perlu dibayar. Sebenarnya ramai yang berniaga di tempat yang dikenakan sewa yang tinggi tetapi mendapat keuntungan yang lumayan. Tetapi, pada mulanya beban sewa tentulah sukar dipikul.

10. Sepertimana telah saya sebutkan kehidupan di bandar adalah berbeza dari kehidupan di kampung. Di kampung kita kenal semua yang tinggal di kampung kita dan kita tahu apa yang berlaku kepada jiran-jiran kita. Penyakit yang terdapat di bandar ialah kita tidak ambil kisah berkenaan dengan jiran kita. Biasa terjadi kerusi-meja, pinggan-mangkok rumah jiran dicuri siang-siang hari di hadapan mata, tanpa disedari oleh jiran-tetangga bahawa kecurian telah berlaku.

11. Penyakit tidak ambil kisah mengenai orang lain yang terdapat di bandar ini perlulah diatasi kerana jika kita tidak berkenalan dengan jiran dan mengambil berat tentang masalah jiran tetangga kita, satu hari mungkin kita pula menghadapi masalah sedangkan jiran kita tidak mengambil peduli.

12. Oleh kerana sikap aku-aku dan kamu-kamu ini terdapat dengan luasnya di bandar-bandar, Kerajaan akan mengarahkan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara supaya berusaha melaksanakan "konsep kejiranan" untuk menjamin setiap penduduk kawasan perumahan mengenal jiran-jiran sekelilingnya. Dengan cara ini kita bukan sahaja dapat menjaga keselamatan rumah-tangga dan harta-benda kita tetapi dapat membina satu masyarakat yang lebih bersatu-padu dan aman-sejahtera. Ini adalah satu hasrat yang harus menjadi idaman dan cita-cita kita semua.

13. Berbalik kepada bandar baru yang kita rasmikan pada hari yang berbahagia ini, saya berdoa mudah-mudahan segala-gala yang baik dalam kehidupan masyarakat bandar akan wujud di bandar baru ini.

14. Akhir kata, dengan tidak berlengah-lengah lagi, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Bandar Baru Cheras ini dengan menamakannya 'BANDAR TUN ABDUL RAZAK'.

Wabillahi taufik wassalamu 'alaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: