Tahun 2000 – PERASMIAN PELABUHAN TANJUNG PELEPAS

Lokasi :JOHOR

Tarikh :13/03/2000

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kerana menjemput saya untuk merasmikan pelabuhan ini pada hari ini.

2. Pembukaan rasmi Pelabuhan Tanjung Pelepas ini menandakan satu lagi langkah jangka panjang Kerajaan untuk memantapkan sektor pelabuhan negara. Pembukaannya juga mencerminkan kejayaan pembangunan Malaysia itu sendiri. Pelabuhan ini yang merupakan antara projek infrastruktur terbesar negara membuktikan kemampuan kita membina pelabuhan bertaraf antarabangsa dengan teknologi futuristik. Rakyat Malaysia bolehlah berbangga dengan pencapaian ini.

3. Semasa krisis ekonomi baru-baru ini, beberapa projek infrastruktur yang penting telah ditangguh ataupun dijadualkan semula pelaksanaannya. Kerajaan hanya meneruskan beberapa projek kritikal yang dapat merangsang semula pemulihan ekonomi negara. Ini termasuklah projek pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

4. Kini telah terbukti bahawa walaupun pelabuhan ini dibangunkan dalam situasi ekonomi yang agak sukar, ia masih dapat dilaksanakan dengan jayanya. Malahan pembangunan pelabuhan ini telah disiapkan tiga bulan terlebih awal dari jadual asalnya. Saya juga difahamkan bahawa keseluruhan pembangunan fasa pertama pelabuhan ini akan disiapkan 6 - 7 bulan lebih awal. Syabas saya ucapkan kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd selaku pemaju dan juga pengendali pelabuhan.

5. Pada peringkat awal perancangan, hanya dermaga sepanjang 700 meter dirancang dibina untuk pelabuhan ini. Bagaimanapun, setelah penelitian semula dibuat dan berasaskan kepada keperluan masa akan datang serta hasrat untuk meningkatkan lagi sektor pelabuhan negara, Kerajaan telah bersetuju supaya pelabuhan ini dibina dengan saiz yang lebih besar. Oleh itu, fasa pertama pelabuhan ini sahaja merangkumi enam dermaga keseluruhannya sepanjang 2.16 km. Bagi keperluan fasa- fasa seterusnya, ia akan dibina secara berperingkat- peringkat mengikut perkembangan dan permintaan pengendalian kontena serantau dan antarabangsa.

6. Pelabuhan ini yang dibina dengan harga lebih kurang RM2.4 ribu juta telah disediakan dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia yang dapat menarik syarikat- syarikat perkapalan terkemuka dunia. Apabila siap sepenuhnya, pelabuhan ini mampu mengendalikan sejumlah 3.8 juta TEUs setahun. Kelebaran kawasan `basin' berhadapan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman air melebihi 15 meter membolehkan PTP mengendalikan kapal- kapal kontena generasi terbaru dengan mudah tanpa banyak masalah.

7. Pelabuhan Tanjung Pelepas dilengkapi dengan peralatan pelabuhan moden. Saya diberitahu pelabuhan ini akan mempunyai sejumlah 18 kren pelabuhan jenis `super post panamax' yang mempunyai kapasiti mengangkat 40 tan dan jangkauan sehingga 53 meter. Pelabuhan ini juga dilengkapi dengan sejumlah 58 unit `Rubber Tyred Gantry Crane' (RTG). Operasi pelabuhan termasuk sistem pintu masuk (gate system) akan digerakkan sepenuhnya oleh sistem teknologi maklumat. Adalah amat menggalakkan bahawa beberapa syarikat perkapalan yang sedang beroperasi di pelabuhan ini telah melahirkan rasa puas hati terhadap sistem teknologi maklumat pelabuhan yang berfungsi dengan amat baik. Saya yakin dengan pelbagai kemudahan peralatan dan kecanggihan sistem teknologi maklumat, pelabuhan ini dapat mengendalikan operasinya dengan cekap dan berkesan.

8. Secara umumnya Pelabuhan Tanjung Pelepas tidak mempunyai apa-apa yang boleh menghalang pertumbuhannya. Kedudukannya di lokasi strategik dan dipertengahan laluan utama perkapalan adalah merupakan aset utama yang dapat menarik syarikat-syarikat perkapalan untuk menggunakan pelabuhan ini.

9. Kerajaan juga komited dalam menentukan kejayaan pelabuhan ini. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah lebih RM100 juta untuk menyediakan jalanraya dan lebih RM600 juta bagi pembinaan rel keretapi.

10. Dengan kemudahan prasarana ini, pelabuhan ini akan mempunyai rangkaian sistem perhubungan dan pengangkutan yang terbaik. Oleh itu, pekilang-pekilang tempatan tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menggunakan pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan Tanjung Pelepas.

11. Pelabuhan Tanjung Pelepas sesungguhnya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara khususnya bagi kawasan selatan Johor. Pelabuhan ini akan menjadi antara pintu masuk utama perdagangan negara. Hasil daripada perkembangan pesat ini, pelabuhan ini akan turut menggerakkan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan dengan pelabuhan seperti pergudangan dan perkilangan.

12. Saya dimaklumkan Pelabuhan Tanjung Pelepas mempunyai tanah seluas hampir 1000 ekar untuk dibangunkan dengan pelbagai industri berkaitan.Sebahagiannya akan dibangunkan dengan aktiviti komersial seperti pergudangan, pusat pengedaran dan aktiviti- aktiviti tambah nilai sementara sebahagian lagi akan dibangunkan dengan perindustrian ringan, sederhana dan berat. Aktiviti-aktiviti ini sudah tentu akan meningkatkan aktiviti pelabuhan dan pada masa yang sama dapat menggalakkan pembangunan setempat. Secara keseluruhannya penduduk setempat akan menerima faedah dari pembangunan ini.

13. Kerajaan sentiasa berusaha meningkat dan menggalakkan pembangunan pelabuhan di negara ini. Kerajaan menyedari pelabuhan memainkan peranan penting ke arah meningkatkan ekonomi negara. Malahan jika dilihat di negara-negara maju, sektor pelabuhan menyumbangkan peratusan yang besar kepada pendapatan negara. Sehubungan itu, Kerajaan telah memberikan galakan dan insentif tertentu untuk menaikkan lagi sektor pelabuhan.

14. Bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Kerajaan juga telah memberikan status zon bebas. Dengan itu, urusan dalam kawasan pelabuhan ini adalah bebas daripada cukai dan duti Kastam dan beberapa duti lain. Kerajaan berharap melalui insentif-insentif seumpama ini, pelabuhan negara khususnya Pelabuhan Tanjung Pelepas dapat memainkan peranan untuk meningkatkan lagi perdagangan negara.

15. Pada masa yang sama Kerajaan juga mengharapkan kerjasama semua pihak khususnya pekilang-pekilang tempatan untuk menggunakan sepenuhnya pelabuhan tempatan. Malahan dengan adanya pelabuhan ini, pekilang- pekilang tempatan tidak seharusnya bergantung lagi kepada pelabuhan asing untuk urusan import/eksport. Kerajaan bersedia menimbang semua masalah berkaitan bagi tujuan meningkatkan sektor pelabuhan negara.

16. Saya juga percaya kecanggihan infrastruktur dan peralatan moden sahaja tidak menjadikannya kemudahan bertaraf dunia. Sebaliknya kemudahan pelabuhan moden turut menimbulkan harapan tinggi untuk mendapatkan taraf perkhidmatan yang baik, cekap dan berkesan sama ada daripada pegawai dan kakitangan syarikat yang menguruskan pelabuhan atau agensi-agensi Kerajaan. Pekerja-pekerja PTP mestilah dilatih dengan baik supaya segala peralatan pelabuhan dapat memberi pulangan yang maksimum. Di masa yang sama agensi-agensi Kerajaan yang berurusan secara terus dengan operasi pelabuhan seperti Jabatan Kastam & Eksais DiRaja, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Jabatan Laut dan Jabatan-jabatan lain yang berkaitan perlu terus meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Saya percaya industri perkhidmatan jika diuruskan dengan efisyen akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna pelabuhan dan seterusnya membantu membentuk kejayaan pelabuhan negara. Justeru itu, saya menyarankan supaya pegawai dan kakitangan PTP serta agensi-agensi Kerajaan berkaitan dapat memberikan perkhidmatan terbaik mereka dan menentukan standard perkhidmatan yang tinggi.

17. Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa sesuatu kejayaan itu tidak akan dicapai secara individu sebaliknya ia adalah satu usaha kolektif. Kita semua yang hadir pada hari ini mempunyai peranan masing-masing untuk menentukan kejayaan pelabuhan negara termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas.

18. Pelabuhan ini secara langsung dan tidak langsung adalah milik rakyat Malaysia dan kitalah yang akan mendapat nikmat dan pendapatan darinya. Pembangunan pelabuhan ini tepat pada masanya dan kita semua sentiasa mengharap dan mendoakan kejayaan Pelabuhan Tanjung Pelepas demi kepentingan negara.

19. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: