Tahun 1998 – PERASMIAN KOMPLEK SUKAN NEGARA

Lokasi :BUKIT JALIL, SG BESI, KUALA LUMPUR

Tarikh :11/07/98

Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana pada hari ini, negara kita dapat membuka satu lagi lembaran baru dalam sejarah pembangunan sukan kita. Pembukaan Kompleks Sukan Negara yang indah dan lengkap dengan kemudahan terkini ini bukan sahaja membuktikan kesungguhan negara untuk menjayakan Sukan Komanwel ke-16 sebagai temasya sukan yang paling gemilang tetapi juga menjadikannya simbol kecemerlangan sukan yang diharap akan menjadi budaya di kalangan masyarakat kita. Selain daripada itu kita harus bersyukur kerana kita telah memutus untuk membina kompleks ini di waktu negara belum diserang kegawatan kewangan. Dengan itu kos kompleks ini menjadi lebih rendah. Jika kita hendak bangunkan kompleks ini sekarang sudah tentu kosnya akan berlipat ganda, bahkan kita tidak akan berupaya membinanya sama sekali.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan kerap kali diiringi dengan tahap kemajuan sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat di negara maju, lazimnya pencapaian mereka dalam sukan adalah tinggi dan begitulah sebaliknya. Jelaslah secara langsung kemajuan sukan sedikit sebanyak mencerminkan kemajuan sosio-ekonomi sesebuah negara. Negara kita telah menikmati kemajuan yang sangat pesat sejak merdeka, terutama dalam dekad 80an dan 90an. Sungguhpun akhir-akhir ini kita mengalami masalah kejatuhan nilai ringgit dan kemerosotan pasaran saham, tidaklah dapat dinafikan bahawa kita telah mencapai taraf hidup yang tinggi berbanding dengan taraf hidup kita dahulu. Pelaburan dalam pembangunan sukan tidak akan menjadi sia-sia kerana sukan membuat tubuh badan kita sihat dan ini akan menghasilkan akal fikiran yang sihat. Dan akal fikiran yang sihat akan menyumbang kepada kejayaan kita sebagai individu dan sebagai satu bangsa.

3. Pelaburan dalam pembangunan sukan tetap akan membawa pulangan yang besar kepada kemajuan negara. Penglibatan secara aktif oleh masyarakat dalam kegiatan-kegiatan sukan akan dapat membina semangat dayajuang, kecekalan, kegigihan dan komitmen di kalangan mereka, selain pembentukan tubuh badan yang sihat. Sukan juga melatih kita dalam mendisiplinkan diri kita, memperkenal dan menanam nilai-nilai yang baik yang berguna bagi menjayakan kita dalam bidang-bidang lain. Walaupun sekarang yang lebih utama ialah kemenangan dengan apa cara sekalipun, tetapi semangat kesukanan atau 'sporting spirit' tidak harus diketepikan. Semangat kesukanan mempunyai banyak pengajaran yang boleh membentuk peribadi yang mulia yang menguntungkan diri dan masyarakat.

4. Sama ada kita suka atau tidak suka sukan sudah menjadi satu industri yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Acara-acara sukan yang menarik minat orang ramai mempunyai potensi komersil dalam bidang iklan, penyiaran televisyen dan radio, majalah dan akhbar, pakaian sukan dan alat-alat kelengkapan yang digunakan untuk pelbagai jenis sukan. Di masa yang sama para atlit berpeluang untuk mendapat imbuhan yang lumayan bahkan boleh menjadi kaya-raya sebagai ahli sukan profesional.

5. Sebenarnya kompleks ini tidak mungkin dibangunkan jika tidak ada harapan untuk mendapat pulangan daripada acara-acara sukan dan acara-acara lain yang boleh diadakan di kompleks ini. Oleh kerana sukan sudah mempunyai nilai komersil maka kemudahan untuk sukan dapat ditingkatkan kualiti dan keselesaannya. Kita harus bersyukur kerana kita mampu mengadakan kompleks sukan yang canggih ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Dua bulan lagi kita akan menjadi tuan rumah kepada acara sukan yang terbesar yang pernah diadakan di negara kita -- iaitu Sukan Komanwel. Acara sukan ini boleh dianggap sebagai acara sukan yang kedua terbesar di dunia, selepas Sukan Olimpik. Walaupun ada acara sukan yang lebih besar daripada segi skalanya tetapi biasanya peserta terhad kepada satu kumpulan etnik seperti orang Eropah atau Afrika atau Asia sahaja. Sukan Komanwel disertai oleh semua kaum etnik dari enam buah benua di dunia, iaitu dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan dan dari Oceania. Justeru itu, kita akan dapat melihat hampir semua atlit yang handal dari seluruh dunia. Sebab itu Sukan Komanwel menjadi sukan dunia yang kedua terbesar.

7. Pengurusan satu acara sukan yang begini besar tentulah tidak mudah. Kemudahan fizikal boleh disediakan tetapi dengan sendirinya ia tidak akan menjayakan acara berkenaan. Lebih penting lagi ialah kecekapan pengurusan acara ini.

8. Kita telah lihat urusan persiapan yang walaupun memuaskan, kerap dilanda dengan masalah. Kadang-kadang kita dapati seolah-olah ada dua nakhoda yang membawa ke arah yang berlainan. Semasa persiapan masalah ini tidaklah begitu merunsingkan. Tetapi semasa acara sukan sebenar diadakan kerjasama antara semua pihak amatlah penting. Jika ada pendapat yang berbeza, selesaikanlah melalui rundingan tanpa dihebohkan di luar. Selesaikanlah dengan secepat mungkin. Masa tidak akan mengizinkan kita bertelingkah dan mempertahankan 'territory' kita semasa pertandingan diadakan. Tidak perlu kita mempertahankan empayar kita sendiri. Empayar yang ada ialah negara kita, yang maruahnya perlu dipertahankan oleh semua yang terlibat dengan Sukan Komanwel ini.

9. Seperti juga dalam acara sukan, saya percaya kita rakyat Malaysia boleh mengurus Sukan Komanwel dengan jayanya. Malaysia Boleh jika kita yakin kita boleh.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Sempena dengan perasmian kompleks sukan ini sukacita saya umumkan nama-nama baru yang diberikan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini. Mulai sekarang, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan digelar sebagai Kompleks Sukan Negara. Manakala kemudahan- kemudahan lainnya iaitu:

Stadium Utama - sebagai Stadium Nasional;
Stadium Tertutup - sebagai Stadium Putra,
Stadium Hoki - sebagai Stadium Hoki Nasional;
Kompleks Renang - sebagai Pusat Akuatik Nasional;
Stadium Skuasy - sebagai Pusat Skuasy Nasional;
Stadium Bola Jaring - sebagai Stadium Juara;
Stadium Boling Padang - sebagai Pusat Boling Padang Negara; dan
Bukit Jalil - sebagai Bukit Komanwel.

11. Akhir kata saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perasmian serta saudara- saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang telah mengurus dan berusaha membangunkan Kompleks Sukan Negara ini dengan jayanya dalam masa yang ditentukan.

12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Kompleks Sukan Negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: