Tahun 1983 – MAJLIS PELANCARAN KEMPEN “KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN”

Lokasi : STADIUM TUN RAZAK, KUALA LUMPUR

Tarikh : 19/03/83


Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi saudara dan saudari sekelian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan izinNya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini, baik di Stadium mahupun di mana-mana sahaja saudara-saudari berada, untuk membulat dan membaharui azam kita bagi meningkatkan taraf pencapaian, serta mutu dan hasil kerja masing-masing, selaras dengan cita-cita ke arah mencapai kesejahteraan, keteguhan dan kedaulatan negara.

2. Negara kita Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang sedang membangun. Sementara kita telah mencapai satu tahap kemajuan yang boleh dibanggakan sejak merdeka hampir 26 tahun dahulu, tetapi kita masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah maju. Kita bukan berhajat semata-mata kepada kehidupan yang mewah, tetapi kita sedar bahawa tidak ada penghormatan kepada negara dan bangsa yang daif dan mundur. Untuk memelihara maruah dan kehormatan kita, maka kita haruslah menguasai segala bidang yang kini dimiliki oleh bangsa-bangsa yang maju. Hanya apabila kita setanding dengan mereka baharulah kita tidak akan dipermain dan diperbudak-budakkan. Cuma mereka yang tidak bermaruah sahaja yang sanggup bangsa dan negaranya dihinakan. Hajat dan matlamat kita yang utama ialah memelihara kedaulatan negara dan maruah bangsa kita Malaysia.

3. Memandang kepada hakikat ini, maka Kerajaan telah berjanji akan mendirikan sebuah pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah. Janji ini dibuat kerana pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah bukan sahaja akan membolehkan kita mencapai kemajuan yang pesat, tetapi rakyat keseluruhannya akan hidup lebih bahagia hasil dari amalan nilai-nilai yang mulia ini. Kita tidak syak bahawa pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah akan melicinkan pentadbiran dan urusan Kerajaan, mempertingkatkan lagi daya pengeluaran dan menjadikan negara ini stabil, kukuh dan kuat.

4. Tetapi janji asal dibuat semata-mata oleh pemimpin politik Kerajaan sahaja. Tidak ada janji yang sama yang dibuat oleh pegawai dan kakitangan Kerajaan yang mana tugas merekalah yang akan membawa hasil yang diidamkan. Oleh kerana pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah cuma memberi makna jika pemimpin serta pegawai dan kakitangan memiliki sifat-sifat yang dijanjikan, maka pemimpin Kerajaan yang terdiri dari ahli politik dan perkhidmatan awam terpaksalah membuat ikrar untuk berusaha menanam dan menentukan nilai-nilai tersebut diamalkan. Tidak ada usaha yang lebih penting daripada memanjangkan janji-janji tadi kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan. Inilah sebabnya yang hari ini kita semua berhimpun untuk berikrar.

5. Ikrar pula tidak bermakna melainkan ia diamalkan. Untuk menentukan janji yang dibuat ditunaikan maka yang utama yang perlu mengamalkan janji ialah pemimpin sendiri. Tidak ada gunanya pemimpin menyeru kepada kebaikan jika ianya sendiri tidak mengamal apa yang diseru olehnya. Memang benar pemimpin, sebagai manusia biasa, tidak sunyi dari kesilapan. Tetapi pengikut akan memaafkan perbuatan yang tidak disengaja, asalkan usaha dibuat untuk mengamal yang baik dan kesalahan dibetulkan. Kesilapan yang dimaksudkan di sini bukanlah berasas kepada fitnah yang sering dilempar tetapi adalah kesilapan yang nyata. Perbuatan memfitnah adalah satu perbuatan keji yang tidak harus dibuat oleh sesiapa.

6. Kepimpinan melalui tauladan yang baik adalah cara yang berkesan sekali bagi menentukan kebaikan diamal oleh semua. Tidak ada kebaikan dari tabiat bercakap lain dan membuat lain. Sebab itulah thema kempen yang bermula pada hari ini ialah "Kepimpinan Melalui Tauladan". Tauladan memang merupakan beban yang berat. Namun demikian, bagi mereka yang ikhlas, yang ingin melihat negara ini aman dan maju-jaya, dihormati dan dibanggakan, beban yang berat ini tentulah akan dipikul dengan hati yang tabah.

Saudara-saudari sekelian.

7. Kita semua yang berkumpul pada hari ini adalah pemimpin di samping menjadi pengikut atau anak-buah. Mereka yang tidak hadir juga demikian. Setiap orang dari kita mempunyai ketuanya dan mempunyai orang di bawah jagaannya. Jika tidak pada hari ini, pada satu hari nanti kita tetap akan jadi pemimpin. Oleh itu, setiap orang dari kita perlulah awal-awal lagi menunjuk tauladan yang baik yang boleh meyakinkan semua pihak dan menentukan pentadbiran negara ini berjalan dengan cukup berkesan.

8. Tauladan yang pertama yang perlu kita tunjukkan ialah kebersihan dalam semua aspek, kebersihan moral dan kebersihan fisikal. Kebersihan moral bermakna sentiasa berfikiran bersih dan menjalankan tugas kita seperti yang telah kita janjikan, tanpa muslihat atau niat yang tidak baik. Kita tidak harus melewat-lewatkan kerja kerana ingin mendapat sogokan. Kita tidak harus mengambil apa yang bukan hak kepada kita. Kita tidak sepatutnya terlibat dengan sebarang jenayah dan rasuah. Kita tidak harus menyalahgunakan kuasa dan kita tidak harus sombong dan angkuh.

9. Kita harus tertib dari segi pakaian dan kelakuan serta menentukan keadaan di sekeliling kita, sama ada di tempat kerja atau di rumah, juga bersih dan teratur. Kita harus mengelak dari mencemar alam sekeliling. Pendek kata, semua yang dianggap bersih, kita amalkan, dan semua yang dipandang jijik dan hina kita jauhkan diri.

10. Berkenaan dengan kecekapan pula kita tentu maklum akan pentingnya. Tidak ada kerja yang boleh dibuat dengan sempurna tanpa kecekapan. Sementara pelajaran di sekolah membekal kita dengan asas-asas pengetahuan, kecekapan cuma boleh diperolehi melalui latihan tertentu dan pengalaman. Oleh itu berlatihlah sepanjang masa, tuntutlah segala ilmu yang berkaitan, dan amalkanlah tiap sesuatu kerja berkali-kali sehingga kecekapan diperolehi. Setiap orang dari kita mempunyai kebolehan yang istimewa, dan kebolehan ini boleh dicanai melalui amalan yang berturut-turut. Oleh itu berusahalah.

11. Kita tidak harus puas hati kerana kita boleh buat sesuatu. Kita perlu meningkatkan lagi kebolehan kita sepanjang masa melalui penyelidikan, pelajaran dan amalan. Insya-Allah, jika kita tekun dan tabah hati, akhirnya kecekapan kita akan meningkat. Kualiti mestilah dijadikan matlamat kita, kerana kualiti membawa manfaat kepada kita dan kepada masyarakat. Negara yang ditadbir oleh orang yang cekap akan menjadi lebih maju dan kukuh. Sudah tentu maruah negara akan lebih terpelihara.

12. Janji yang ketiga yang perlu kita amalkan ialah amanah. Sebenarnyalah amanah amat penting bagi manusia yang bermasyarakat. Tanpa amanah, kucar-kacir tetap akan berlaku. Jika kita tidak boleh harap atau pertanggungjawabkan apa-apa sesuatu kepada sesiapa, adalah mustahil kita dapat menguruskan kerja atau kewangan, serta harta Kerajaan dan harta rakyat. Kerja dan urusan Kerajaan tidak boleh diserah kepada seorang sahaja. Ramai yang akan terlibat dengan pengurusan pentadbiran. Jika anggota Kerajaan tidak boleh dipercayai, maka akan hancurlah Kerajaan, dan akan wujudlah anarki yang akan mengancam diri kita sendiri.

13. Setiap pegawai Kerajaan, sama ada berpangkat rendah atau tinggi, diberi kuasa. Kuasa ini diberi, kerana tanpa kuasa, urusan kawalan yang menjadi tanggungjawab Kerajaan tidak dapat dijalankan. Malangnya, kuasa mudah disalahgunakan. Apabila disalahgunakan, kuasa tidak lagi menjadi alat pengawal tetapi akan menghalang, serta merosakkan segala kegiatan masyarakat. Sama ada kuasa yang dimaksudkan ialah kuasa mengeluar lesen penjaja, atau kuasa melulus projek ratusan juta, penyalahgunaannya tetap membawa akibat yang buruk kepada masyarakat. Akhirnya, semua rakyat akan rugi akibat tidak adanya amanah ini.

14. Demikian juga dengan urusan biasa Kerajaan. Jika surat dari rakyat dihilangkan, atau pembayaran tidak dibuat mengikut jadual, atau arahan dicuaikan, maka pentadbiran akan menjadi lemah dan tidak berkesan. Dan pentadbiran yang lemah dan tidak berkesan akan mengekalkan negara ini sebagai negara membangun, dan penduduknya daif dalam segala bidang. Kita akan dikeji dan dihinakan sepanjang masa.

15. Tentulah jelas bahawa tanpa pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah di semua peringkat, dari pemimpin politik dan pegawai pentadbiran awam yang tertinggi hingga ke budak pejabat, negara ini dan bangsa Malaysia tidak akan maju-jaya dan tidak akan dihormati oleh sesiapa. Akan sia-sia sahajalah kemerdekaan yang kita capai kerana maruah kita akan terus berada di tahap yang lama, tahap orang yang dijajah, tahap hamba yang hina. Tidak ada sesiapa pun yang boleh kita salahkan oleh kerana nasib kita telah berada di dalam tangan kita sejak 26 tahun yang lalu.

16. Inilah sebabnya yang kita mahu pemerintahan yang bersih, cekap dan beramanah. Tetapi kita akui bersih, cekap dan beramanah sahaja tidak mencukupi. Kita perlu sifat-sifat yang lain bersama. Kita perlu kepada disiplin, kepada ketertiban dan kesopanan, kepada keberanian, kepada budi-bahasa yang baik, kepada kerajinan, dan lain-lain lagi nilai yang mulia, yang boleh menjadikan kita lebih bahagia. Semua nilai-nilai ini dituntut oleh semua agama. Semua nilai ini mencerminkan tanggungjawab dan timbang rasa yang diperlukan dari manusia yang hidup dalam masyarakat. Semua nilai ini membuktikan kesayangan manusia kepada masyarakat, bangsa dan kepada negaranya. "Habul watan minal iman".

17. Dengan melafazkan ikrar pada hari ini kita membuat pengakuan bahawa kita akan menunjuk tauladan yang baik sebagai pemimpin. Amalan yang baik akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada perkhidmatan awam, tetapi kepada seluruh masyarakat, termasuklah diri sendiri. Tidak ada kerugian dari khidmat yang baik kerana kebaikan yang akan didapati dalam masyarakat akan dirasai juga oleh kita sendiri.

18. Memandang kepada hakikat ini, tentulah kita tidak boleh menganggap bahawa khidmat yang kita beri adalah barang jualan untuk sekian banyak upahan sahaja. Apakah berkhidmat kepada diri sendiri memerlukan bayaran oleh orang lain? Bagi yang insaf pula, apakah khidmat kepada orang lain tidak merupakan satu tanda peradaban yang baik? Tidakkah khidmat untuk masyarakat merupakan satu ibadat? Jika kita menjawab 'ya' kepada soalan-soalan ini, maka khidmat yang kita beri mestilah lebih daripada semata-mata untuk mencari nafkah. Dan tentulah kita akan sanggup memberi khidmat yang lebih baik kerana matlamat yang mulia ini.

19. Sebab itu, saya ingin tekankan, iaitu semua kita harus bekerja bukan setakat upahan yang kita terima, tetapi lebih dari itu, iaitu kerana bangsa, negara dan kerana Tuhan yang memberi begitu banyak nikmat kepada kita. Janganlah kita terlalu berkira akan titik-peluh kita yang bernilai sekian banyak, tetapi hendaklah kita jalankan tugas kita kerana ini adalah sumbangan kita kepada masyarakat dan negara kita sendiri. Nikmat yang kita dapati dari sebuah negara yang stabil, dan yang aman damai, tidak boleh kita lupakan, bahkan patut kita sedar, dan insaf, dan kita bersyukur kerananya. Dan kita akan dapati lebih banyak nikmat kerana kesyukuran kita.

Saudara-saudari sekelian,

20. Negara kita adalah negara berbilang kaum. Sungguhpun perasaan perkauman terpaksa diakui, tetapi umumnya, kita hidup aman damai, dan kita mempunyai perhubungan yang baik antara satu kaum dengan kaum yang lain. Berbanding dengan lain-lain negara berbilang kaum atau berbilang agama, di mana begitu kerap rusuhan antara kaum berlaku dengan pembunuhan yang ramai, kefahaman dan harmoni antara kaum di Malaysia boleh kita banggakan.

21. Tetapi, kerjasama dan kefahaman ini masih boleh diperbaiki. Dalam negara kita, tidak dapat tidak anggota-anggota dari kaum-kaum yang berlainan terpaksa bekerja bersama-sama di mana-mana tempat. Akan terjadi pula keadaan di mana ketua dan pekerja terdiri daripada kaum-kaum yang berlainan. Biasanya, dalam keadaan ini, perasaan tidak puas hati akan timbul, dan tuduhan penindasan, sabotage dan sebagainya akan disuarakan.

22. Mungkin sungutan dan tuduhan ini berasas, tidak kira yang mana satu kaum yang membuat dakwaan. Tetapi, elemen syak wasangka kerana berlainan kaum biasanya membesarkan peristiwa-peristiwa yang kecil. Jika terdapat pula orang yang berkepentingan, maka syak wasangka ini ditokok tambah, sehingga ketegangan berlaku, dan kerja tidak dapat dijalankan dengan baik. Peristiwa-peristiwa seperti ini berlaku dalam jabatan-jabatan Kerajaan, dan juga dalam firma-firma swasta. Tentulah nyata, bahawa keadaan seperti ini tidak sihat, dan tidak menolong membangunkan negara. yang berbilang kaum ini, kita tidak dapat elak dari bercampur-gaul di antara kaum di waktu bekerja. Adalah lebih baik bagi semua pihak jika kita semua cuba mengurangkan perbuatan diskriminasi, dan jika berlaku sedikit-sebanyak perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan tentang sikap, kita ketepikan sahaja, dan kita tumpukan kepada kerja yang perlu dibuat dengan sempurna. Mereka yang sempurna kerjanya, lambat laun akan dihormati dan disegani dan akan diberi layanan yang saksama. Dengan perkataan lain, terimalah hakikat hidup, dan bekerja dalam masyarakat majmuk, dan sesuaikanlah diri dengan hakikat ini. Kurangkanlah tuduh-menuduh, tetapi sebaliknya, eratkan perhubungan antara kaum, baik di waktu bekerja atau selepasnya.

Saudara-saudari sekelian,

24. Dalam usaha kita mempertingkatkan taraf hidup kita, serta kebahagiaan masyarakat dan negara, kita mempunyai dua pilihan -- satu pilihan jangka pendek, dan satu lagi ialah pilihan jangka panjang. Mereka yang membenarkan nafsu menguasai diri akan memilih keuntungan jangka pendek. Walaupun 'nikmatnya' akan dirasai lebih awal, tetapi akhirnya kesan buruk akan melanda dirinya. Orang yang selalu mengutamakan faedah jangka pendeklah yang kerap terlibat dengan rasuah, kecurangan dan berbagai lagi amalan yang tidak baik.

25. Bagi yang mengutamakan faedah jangka panjang, korban perlu dibuat dahulu sebelum nikmat yang lebih berkekalan dapat dirasai. Kata pepatah, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian apa gunanya". Sebab itu kita disuruh berkorban kerana korban boleh membawa nikmat akhirnya, nikmat yang lebih berkekalan. Oleh itu kita semua patutlah utamakan kebaikan jangka panjang. Adalah lebih baik kita tekun bekerja sekarang, kerana bukan sahaja kita akan mendapat faedah yang lebih baik kemudian, tetapi dengan negara ini menjadi lebih bersih dan maju- jaya, zuriat-zuriat kita pun akan turut mengecapi nikmat. Mereka akan hidup bermaruah tinggi, dihormati oleh semua orang, dan mereka akan lebih berupaya menentukan zuriat mereka pula berada dalam keadaan yang lebih mulia. Oleh itu, berkorbanlah untuk agama dan tanahair kerana korban membawa nikmat yang lebih kekal kepada pengamalnya.

Saudara-saudari sekelian,

26. Hari ini kita akan lafazkan ikrar -- ikrar untuk menunjuk tauladan yang baik, ikrar untuk mengamalkan segala nilai yang mulia, ikrar untuk menjadikan negara kita lebih kukuh dan maju-jaya, dan ikrar untuk menjadikan masyarakat berbilang kaum kita ini, masyarakat yang lebih bahagia, bersatupadu dan berjaya. Dengan nada yang serius kita ikrar untuk membina negara kita supaya tidak siapa boleh memandang rendah atau menghina kita. Insya-Allah, jika kita pegang kepada ikrar ini, kita akan capai matlamat kita.

27. Sebagai petanda bahawa ikrar kita adalah ikrar yang datang dari hati yang suci, dibuat dengan ikhlas, kita perlu membuktikan pegangan kita kepada ikrar ini. Kita perlu membuat satu pengorbanan sebagai bukti dan tanda keikhlasan ikrar ini. Saya ingin menganjurkan supaya, sebagai satu simbol yang nyata dan berkesan, kita semua mengorbankan 15 minit dari masa kita khas untuk masyarakat dan negara. Kita semua harus datang ke pejabat pada masa yang ditetapkan, tetapi kita tinggalkan pejabat 15 minit lebih lewat dari masa yang ditetapkan. Ini adalah sebagai khidmat rela kita kepada masyarakat dan negara. Insya-Allah kita semua akan mendapat nikmat daripadanya.

28. Syor saya ini ialah syor sahaja. Tidak ada paksaan dalam perkara ini. Tetapi, oleh kerana amalan ini adalah amalan yang baik, dan kita berikrar akan "Memimpin Melalui Tauladan", saya yakin negara dan masyarakat tidak akan dihampakan. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa ikrar kita belum dapat dipenuhi jika kita beri khidmat percuma ini sahaja. Banyak lagi yang perlu diamalkan oleh kita supaya ikrar yang dibuat mempunyai makna.

29. Acara pada hari ini melibatkan pegawai dan kakitangan Kerajaan sahaja. Tetapi, tauladan yang kita tunjuk pada hari ini tentulah akan dicontohi oleh pihak swasta jua. Malaysia memerlukan rakyat yang bersih, cekap dan beramanah, yang rajin dan berdisiplin untuk menjadikan negara kita selamat dan maju jaya. Kerajaan sahaja tidak mungkin berkesan jika pihak swasta dan orang awam keseluruhannya tidak memberi kerjasama dan tidak mengamalkan amalan yang baik yang kita utarakan.

30. Insya-Allah keinsafan dan kesyukuran akan membawa balasan yang baik kemudiannya. Bersama-samalah kita berdoa semoga kita diberi taufik dan hidayah serta kekuatan untuk melaksanakan azam kita ini dengan jayanya.

31. Dengan harapan ini, saya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, melancarkan kempen "Kepimpinan Melalui Tauladan".

Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: