Tahun 1997 – PELANCARAN BANDARAYA BARU – PUTRAJAYA

Lokasi :DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR

Tarikh :08/10/97

1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan usahasamanya kerana menjemput saya untuk melancarkan Bandaraya Baru Putrajaya. Projek ini telah menjadi bertambah penting bukan sahaja kerana ia akan menjadi pusat pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan, tetapi juga kerana persoalan yang ditimbulkan mengenai Putrajaya sejak kebelakangan ini, khususnya sama ada ia akan dilancarkan atau tidak.

2. Pelancaran bandaraya ini memberikan mesej yang jelas bahawa bukan semua projek di Malaysia dibekukan, apatah lagi pusat pentadbiran baru Kerajaan Pusat.

3. Saya gembira mendapati bahawa projek ini telah berjalan lancar mengikut jadual. Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan usahasamanya -- MRCB, Peremba, SP Setia, Hong Leong Properties dan Malaysian Plantations -- yakin projek ini tidak akan terjejas oleh sebarang kesan sampingan daripada serangan ke atas ringgit dan pasaran saham. Malah, keazaman mereka semakin kuat untuk memastikan projek ini akan mencapai kejayaan besar.

4. Saya juga gembira kerana Malaysia sekali lagi telah muncul lebih kukuh selepas menghadapi kerumitan ekonomi. Akibat daripada apa yang berlaku baru-baru ini, kita telah menjadi lebih miskin daripada segi kewangan, tetapi pada masa yang sama lebih kaya daripada segi tekad untuk bekerja lebih keras dan bersatu dalam usaha mengatasi kerumitan. Tekad yang lebih kuat ini tidak terbatas kepada pihak yang terlibat dalam pembangunan Putrajaya sahaja, malah ia dapat dilihat di mana-mana sahaja dan ditunjukkan oleh mereka yang bangga menjadi rakyat Malaysia. Tekad yang lebih kuat ini seharusnya dipupuk untuk menempuh kejayaan -- satu ciri yang telah berjaya kita pupuk selama 40 tahun sehingga kita sanggup berdiri tegap hari ini dan membuktikan kepada dunia bahawa kita adalah sebuah negara yang dibina berlandaskan `substance' dan bukan bentuk yang kosong.

5. Di Malaysia, kita tidak berminat untuk membina tugu, patung ukiran dan simbol untuk melambangkan kejayaan kita. Sebaliknya, kita tidak takut untuk mendirikan struktur yang praktikal dan berfaedah.Putrajaya adalah contohnya. Tetapi dalam hal ini pun, sudah ada orang yang iri hati. Ini tidak dapat dielakkan, kerana Putrajaya akan menjadi sebuah bandaraya alaf akan datang yang kita bina sendiri. Ia benar-benar bersifat Malaysia. Putrajaya akan merupakan sebuah bandaraya yang unik yang dibina dengan semangat Malaysia dan untuk semua rakyat Malaysia.

6. Putrajaya akan mencerminkan ciri-ciri dan semangat Malaysia di samping menjadi satu lagi mercu tanda yang memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam pembangunan bandar, khususnya dalam membina bandaraya untuk kerajaan dan rakyat. Kerana di Putrajaya nanti dunia dapat melihat kejayaan simbiosis manusia, alam dan teknologi. Ramai antara hadirin telah mendengar tentang rancangan untuk menjadikan Putrajaya sebuah bandaraya taman dan juga bandaraya pintar.

7. Pusat pentadbiran baru Kerajaan ini akan menjadi pusat Kerajaan elektronik yang akan membawa Malaysia ke barisan depan Zaman Maklumat. Dan pada masa yang sama, ia akan menjadi sebuah bandaraya di mana manusia dapat menghayati keindahan alam semulajadi dalam suasana yang damai dan tenteram.

8. Kebanyakan bandaraya di dunia telah membangun dengan begitu pesat hinggakan manusia dan alam semula jadi tidak dapat wujud bersama. Ada yang terpaksa dikorbankan untuk yang lain demi pembangunan. Di Putrajaya, kita akan mengubah keadaan ini. Ia akan merupakan bandaraya serba baru yang dirancang dengan teliti dari awal lagi supaya dapat mengatasi masalah ini. Tumpuan akan diberikan kepada keserasian dan suasana yang berharmoni antara manusia, alam semulajadi dan teknologi. Ia akan menggabungkan perancangan bandar, lanskap dan pemeliharaan eko-budaya yang paling baik.

9. Tugas dan cabaran yang dihadapi oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan kongsinya adalah amat berat. Hakikat bahawa Putrajaya meliputi pembinaan serba baru akan menjadikan tugas ini kurang rumit berbanding dengan tugas membina semula bandar atau bandaraya yang sedia ada. Putrajaya mempunyai kelebihan kerana ia akan dibina tanpa mewarisi sebarang teknologi dan prasarana lama.

10. Teknologi dan prasarana yang lama boleh menjadi halangan dan rintangan dalam melaksanakan teknologi semasa dan yang bakal dicipta jika bandar lama perlu dibina semula. Ini bermakna Putrajaya tidak akan mempunyai kabel berserabut di bawah bandaraya yang hanya mampu menyokong penghantaran suara, data dan imej pada kelajuan 43 mega bit sesaat, umpamanya. Putrajaya boleh dibangunkan dengan prasarana maklumat paling baik dan terkini -- seperti rangkaian optik gentian bagi lebar jalur setinggi 2.5 gegabit sesaat dan 10 gegabit sesaat -- untuk menyokong teknologi semasa, teknologi baru dan teknologi yang akan dicipta dan boleh digunakan dalam persekitaran Kerajaan elektronik. Dengan ini, kita dapat pastikan bahawa kita tidak meletakkan Malaysia dalam perahu yang bergerak perlahan, daripada segi pelaksanaan Kerajaan elektronik.Sebaliknya, Malaysia akan berada di laluan pantas untuk membolehkan negara merebut peluang-peluang yang dibawa oleh Zaman Maklumat.

11. Sebagaimana yang telah saya katakan, tugas Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan rakan-rakan usahasamanya mungkin kurang rumit tetapi ini tidak bermakna kurang mencabar, kerana penggunaan tanah dan prasarana perlu dirancangkan dengan teliti. Dengan dasar dan garis panduan lengkap yang telah dirangka untuk pengagihan penggunaan tanah, sistem pengangkutan, utiliti dan prasarana, perumahan, kemudahan-kemudahan awam, teknologi maklumat, padang dan taman, saya yakin Putrajaya akan bangkit dari tapak seluas 4,581 hektar menjadi sebuah bandaraya yang memudahkan urusan perniagaan dan kegiatan ekonomi serta menyediakan kehidupan bandar yang berkualiti. Bila Putrajaya sudah wujud akan terdapat sekurang-kurangnya 570,000 orang, yang mana 300,000 adalah penghuninya. Ini cuma anggaran penduduk Putrajaya. Beribu-ribu lagi akan berurusan dengan 570,000 orang ini.

12. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pemaju bandar-bandar baru supaya memberi perhatian khusus kepada simbiosis manusia, alam semulajadi dan teknologi dalam pembangunan mereka, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Putrajaya. Ini, bagaimanapun seharusnya dijadikan kenyataan dan bukan janji kosong. Mereka mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh seperti dalam kes Putrajaya, di mana kawasan berair dan `wetlands' yang berjumlah 585.6 hektar atau 12.8 peratus daripada kawasan Putrajaya, merupakan komponen penting pembangunan dan identitinya. Usaha dan perhatian dalam menyediakan tasik buatan manusia dan `wetlands' adalah untuk membolehkan Putrajaya mempunyai ekosistem yang seimbang dan boleh dikekalkan.

13. `Wetlands', khususnya, telah direkabentuk sebagai tapisan semula jadi bagi air yang mengalir ke dalam tasik. Ia juga akan menjadi tempat bagi kajian ke atas `wetlands' dan penghuninya.

14. Sambil berdenyut sebagai pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga menampilkan kualiti kehidupan yang menyatukan manusia dan alam semulajadi secara harmoni. Kita berharap Putrajaya mendahului dan akan menunjukkan jalan ke arah bandaraya alaf akan datang.

15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan secara rasmi Bandaraya Baru Putrajaya, yang akan menjadi lambang kejayaan dan wawasan Malaysia.

One Response to “Tahun 1997 – PELANCARAN BANDARAYA BARU – PUTRAJAYA”

  1. SAYA BANGGA MENJADI ANAK MALAYSIA..SEMEMANGNYA PEMBANGUNAN YANG DIRANCANG MENGAMBIL KIRA SEMUA FAKTOR PERSEKITARANNYA.TERIMA KASIH UNTUK MAKLUMAT INI.MAKLUMAT INI BERGUNA UNTUK RUJUKAN KAJIAN SAYA TERHADAP SENARIO PERSEKITARAN EKONOMI, POLITIK DAN SOSIAL SAYA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: