Tahun 1982 – UPACARA MELETAK BATU ASAS BANGUNAN LEMBAGA URUSAN DAN TABUNG HAJI

Lokasi :BANGUNAN LEMBAGA URUSAN DAN TABUNG HAJI

Tarikh :15/01/82

Bismillahir rahmanir rahim.Yang Berusaha Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji; Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Tuan-tuan Yang Terutama; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia serta izinNya dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Meletak Batu Asas Bangunan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada pagi ini.

2. Majlis ini adalah satu acara yang penting dan bersejarah. Ia menandakan satu tahap kemajuan yang telah dicapai oleh LUTH sejak Lembaga ini ditubuhkan dua-puluh tahun dahulu. LUTH telah mara jauh ke hadapan sejak penubuhannya. Saya masih ingat keraguan yang telah disuarakan terhadap syor Profesor Di Raja Ungku Aziz mengenai kemungkinan mengumpul wang simpanan bakal haji di dalam satu tabung. Hari ini keraguan itu terbukti tidak berasas dan diganti dengan pendapat bahawa sudah sememangnyalah tabung seperti ini pasti berjaya. Saya ingatkan tentang keraguan ini kerana kita mudah lupa dan kerana lupa berkenaan sesuatu kita tidak mendapat pengajaran yang sepenuh daripadanya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian.

3. Apakah pelajaran yang boleh didapati daripada kejayaan penubuhan Tabung Haji? Pelajaran yang terpenting sekali ialah keraguan terhadap sesuatu rancangan yang baik tidak sepatutnya mengganggu pelaksanaaan rancangan tersebut. Kita harus berani mencuba. Pelajaran yang kedua ialah sesuatu rancangan tidak akan berjaya tanpa ketabahan hati dan ketekunan. Rancangan akan tinggal sebagai rancangan sahaja jika usaha yang gigih tidak ada.

4. Tabung Haji berjaya kerana ia dirancang dengan teliti dan diuruskan dengan penuh minat dan dedikasi. Segala tenaga dan kecerdikan yang ada pada umat Islam di negara ini telah dikerah untuk menyumbang dan memberi kejayaan pada Tabung Haji. Memang ada kelemahan dan kegagalan kadangkala dalam urusan Tabung Haji tetapi berbanding dengan kejayaannya kita masih boleh berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Tabung bukan sahaja dalam memudahkan urusan fardhu haji bagi kian ramai umat Islam di Malaysia, tetapi di samping itu dalam membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Islam di negara ini. Peranan utama Tabung Haji masih pengurusan ibadat Haji tetapi peranan ekonominya juga menjadi sebahagian besar daripada tugas keugamaannya. Kita tahu bahawa kemiskinan itu lebih hampir kepada kekufuran.Maka dengan itu adalah ditakuti masyarakat Islam yang miskin akan lemah imannya. Ini harus diingat kerana ada yang berpendapat bahawa kemiskinan adalah sama dengan keteguhan iman. Ini mungkin berlaku jika orang Islam yang miskin itu berada di kalangan orang Islam yang kaya yang boleh menolongnya. Tetapi jika semua orang Islam miskin mereka cuma boleh mendapat pertolongan daripada orang lain. Di waktu itulah iman mereka akan diancam. Oleh itu peranan Tabung dalam memulihkan ekonomi umat Islam di Malaysia adalah satu peranan yang penting bagi umat Islam dan agama Islam. Pengurusan Tabung mestilah dibuat dengan baik supaya sebahagian daripada kelemahan orang Islam di Malaysia dapat di atasi.

5. Pembinaan bangunan LUTH yang batu asasnya akan diletak pada hari ini adalah satu lagi usaha ekonomi untuk mempertahankan kedudukan orang Islam. Kita boleh adakan bangunan ini kerana agama Islam tidak menjadi penghalang kepada kemajuan ekonomi umat Islam. Sebenarnya jika tidak kerana kehendak satu dari lima rukun Islam, mungkin kita tidak dapat mengumpul wang yang cukup untuk pembinaan bangunan ini.

6. Tetapi di sini juga patut kita renung sejenak. Sudahkah kita boleh berpuas hati dengan kejayaan orang Islam di Malaysia. Kita sudah ada kekayaan yang sedikit sebanyak berkesan. Tetapi sudahkah kita mempunyai lain-lain kebolehan yang diperlukan oleh umat Islam. Di seluruh negara Malaysia kita melihat begitu banyak masjid-masjid yang baru dan indah. Tetapi orang Islam yang mendapat masjid ini tidak mampu membinanya sendiri. Kita bukan sahaja tidak mampu tetapi tidak mahu membinanya, tidak mahu mencebur diri dalam bidang pembinaan bangunan. Anak muda Islam lebih sukakan kerja ringan di pejabat-pejabat dan kilang-kilang dari berkerja dalam keadaan tidak selesa dan berat. Sikap ini mengekalkan kita sebagai umat yang bergantung kepada kecekapan orang lain. Dan orang yang bergantung kepada orang lain tidak bebas, hina dan mudah ditindas. Kita bernasib baik di negara ini kerana memiliki kuasa politik. Jika kita masih dijajah, penindasan yang tidak terhad akan dilakukan ke atas kita, seperti yang dilakukan di masa kita dijajah, dan seperti yang dilakukan kepada rakyat minority Islam di beberapa negara yang anti-Islam.

7. Oleh itu, sementara kita boleh berbangga dengan bangunan yang akan kita dirikan, kebanggaan itu hendaklah disertai dengan keinsafan terhadap kelemahan yang masih ada pada kita, dan kerana insaf kita membuat resolusi untuk mengatasi kelemahan ini. Apa yang diperlukan daripada kita amatlah mudah dan ringan berbanding dengan apa yang dibebankan ke atas orang Islam di zaman Nabi dan di zaman-zaman Islam berkembang. Mereka di zaman-zaman yang lepas ini terpaksa menghadapi berbagai rintangan hinggakan nyawa sendiri diragut kerana mempertahan dan memperbaiki nasib orang Islam. Tetapi kita cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan kecekapan tangan dan untuk sanggup berusaha. Kita amatlah bernasib baik dan bahagia. Tetapi kita tidak menghargai semua ini dan tidak berusaha bersungguh-sungguh mengekalkannya. Ramai dari kita memilih cuma amalan-amalan ibadat untuk diri sendiri di akhirat dengan tidak memikir tanggungjawab kita terhadap umat Islam yang ada.

8. Tumpuan semata-mata kepada diri sendiri baik bagi dunia atau untuk akhirat bukanlah apa yang dituntut oleh agama Islam. Di samping membuat ibadat untuk bekalan diri sendiri seorang Muslim harus berusaha untuk kebaikan dan pengekalan agama Islam dan umat Islam. Kita boleh berdoa kepada Allah s.w.t. seperti kita akan berdoa di penghujung upacara ini tetapi kita juga perlu bekerja dan berusaha bukan semata-mata kerana upah yang akan diperolehi tetapi kerana semangat ke-Islaman yang sebenar. Sikap ini bukan sahaja perlu untuk bangunan ini tetapi untuk semua kerja yang akan mempertingkatkan keupayaan umat Islam untuk berdiri di atas kaki sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan.

9. LUTH telah mara jauh ke hadapan sejak ianya ditubuhkan. Di samping itu kita tahu ada kelemahan-kelemahan dalam perjalanan Tabung ini. Sementara kita patut buat teguran, kita juga harus ingat bahawa pengurusan kerja haji bukanlah sesuatu yang mudah. LUTH hendaklah cuba memperbaiki pengurusan kerja haji tetapi bakal-bakal haji pula hendaklah memberi kerjasama dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah disediakan. Jika ini dibuat masalah akan berkurangan. Tetapi masalah tidak akan hapus sama sekali kerana dalam urusan haji ada lain-lain pihak yang terlibat, yang tidak berada di bawah kuasa LUTH atau kuasa Kerajaan negara kita. Sementara kita mesti berusaha supaya kita boleh mengerjakan ibadat haji tanpa sebarang masalah, kita juga patut ingat bahawa ibadat haji adalah sebagai cabaran kepada kita yang mana kita perlu hadapi dengan tidak hanya mengeloh sepanjang masa.

Tuan-tuan dan puan-puan.

10. Saya telah berucap panjang sedikit dalam majlis ini kerana saya anggap upacara hari ini mempunyai makna yang amat besar bukan sahaja kepada LUTH tetapi juga kepada umat Islam di negara kita ini. Saya berdoa ke hadrat Allah s.w.t. supaya usaha kita direstui oleh-Nya dan bangunan yang akan kita dirikan ini akan menjadi perangsang kepada kita untuk mengamal dan mempertahankan ajaran Islam.

11. Dengan ini saya dengan sukacita merasmikan perletakan batu asas bangunan Lembaga Urusan Tabung Haji dengan berdoa mudah-mudahan pembinaannya berjalan dengan selamat, Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: